Selama ini, Manisah (bukan nama sebenar) tidak kisah apabila tekanan darahnya sentiasa rendah iaitu sekitar 110/60 apatah lagi dirinya sentiasa cergas dan aktif bersukan.
Kadangkala Manisah, 47, mengakui terasa mudah letih selepas berjoging atau berbasikal tetapi baginya ia bukan sesuatu yang pelik sekiranya kepenatan bagi mereka yang melakukan aktiviti lasak itu.
Namun suri rumah itu terkejut apabila baru-baru ini dia disahkan oleh doktor, mengalami injap jantung bocor. Sedangkan dia tidak pernah berasa sesak dada, nafas atau mengalami demam.
“Semuanya bermula pada suatu hari saya dapati belakang betis saya terasa membengkak sehingga sukar berjalan kerana menyakitkan apabila mahu bergerak.
“Suami segera membawa saya memeriksa kesihatan di sebuah hospital swasta dan selepas beberapa pemeriksaan dijalankan, saya terkejut apabila memang sah injap jantung saya bocor dan terdapat kuman di sekitar kawasan bocor itu,” katanya.
Ketua Unit Kardiologi dan Pakar Perunding Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Shawal Faizal Mohamad berkata, organ badan itu memiliki empat injap jantung utama.

“Injap jantung terdiri daripada injap mitral, aortik, pulmonari dan trikuspid. Ia bertindak seperti omboh di dalam enjin sebuah kereta. Injap memastikan kelancaran darah adalah optimum untuk jantung berfungsi sebagai pam yang efisien seumur hidup.
“Injap bocor atau regurgitation boleh berlaku apabila terdapat kerosakan mekanikal pada salah satu injap. Ia seperti pintu yang rosak dan gagal ditutup dengan rapat menyebabkan pam jantung tidak berfungsi dengan berkesan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Ini menyebabkan darah mengalir ke belakang selepas injap tertutup.
Regurgitasi menyebabkan ventrikel perlu mengepam isipadu darah yang lebih besar daripada biasa sekaligus boleh menyebabkan ruang jantung menjadi besar dan melemahkan otot organ itu.
Punca injap bocor
Terdapat pelbagai sebab kebocoran injap organ penting itu. Ia terbahagi kepada sebab penyakit kronik dan akut.
“Injap jantung bocor berlaku disebabkan kecacatan jantung yang terjadi sejak pesakit lahir dan boleh berlaku kebocoran injap jantung disebabkan berlaku jangkitan kronik jantung rheumatik.
“Injap bocor akut pula terjadi disebabkan serangan jantung yang menyebabkan injap jantung menjadi pecah dan seterusnya bocor. Ini juga boleh berlaku akibat jangkitan kuman endokarditis pada injap jantung,” katanya.
Dr. Mohd. Shawal berkata, masalah injap organ utama itu bocor boleh berlaku pada setiap peringkat umur termasuk kanak-kanak dan menjadi teruk apabila kanak-kanak terbabit meningkat dewasa.
Bagaimanapun tambahnya, kadar pesakit injap bocor adalah rendah di Malaysia kerana negara kita adalah negara membangun dengan penggunaan antibiotik lebih meluas untuk merawat jangkitan kuman.
“Namun keadaan ini agak berbeza dengan penduduk di Borneo seperti Sabah dan Sarawak di mana kadar pesakit injap jantung bocor disebabkan jangkitan adalah lebih tinggi dari di Semenanjung.
“Lebih ramai wanita didiagnosa atau dikesan dengan masalah injap bocor kerana mereka biasanya menjalani pemeriksaan kehamilan dan ekokardiogram (skan jantung),” katanya.
Tambah Dr. Mohd Shawal, ramai tidak tahu, membiarkan sisa makanan terselit di celah gigi dan malas membersihkan gigi serta gusi menyebabkan karies iaitu antara faktor menyebabkan penyakit jantung seperti injap jantung bocor.
Ini berlaku apabila kuman di sekitar kawasan karies merebak ke organ penting seperti jantung dan juga paru-paru.
Gejala injap bocor
Pada peringkat awal pesakit biasanya tidak mengalami gejala tetapi gejala hanya akan muncul selepas kerosakan jantung menjadi teruk.
Dr. Mohd Shawal berkata, antara gejala yang dialami pesakit biasanya adalah demam berpanjangan, sesak nafas, kaki bengkak dan akhirnya berlaku kegagalan jantung termasuk injap bocor.
“Biasanya apabila seseorang pesakit tahu atau sedar mereka mengalami masalah injap jantung bocor, penyakit yang dialaminya itu sudah berada pada peringkat yang serius,” katanya.
Rawatan injap bocor
Rawatan untuk injap yang rosak atau bocor adalah dengan mengantikannya dengan injap baharu yang diperbuat daripada injap mekanikal atau injap haiwan seperti lembu atau babi.
Injap baharu ini akan dipasang melalui kaedah pembedahan atau melalui teknologi baru yang kurang invasif iaitu mitra-clip di mana kos rawatan adalah amat mahal dan boleh mencecah lebih RM 100, 000.
“Injap mekanikal mampu bertahan seumur hidup tetapi untuk injap dan klip berasaskan haiwan sama ada lembu atau babi, ketahanan secara purata adalah sekitar 10 tahun saja. Bagaimanapun bagi orang Islam, injap babi tidak digunakan.
“Selepas pembedahan penggantian injap dijalankan, masih terdapat risiko untuk penyakit ini berulang sekali lagi terutama sekiranya terdapat masalah pada injap baru yang dipasang,” katanya.
Pesakit yang sudah menjalani pembedahan boleh menjalani hidup seperti biasa tetapi dinasihatkan supaya tidak menjalankan aktiviti lasak seperti berbasikal, mendaki bukit dan sebagainya.
Diet warfarin
Warfarin adalah ubat yang digunakan untuk mencegah pembekuan darah dalam kalangan pesakit jantung termasuk pesakit injap bocor.
Bagi yang menggunakan injap mekanikal dan mengambil ubat antikoagulasi warfarin perlu akur kepada diet tersendiri iaitu diet warfarin bagi memastikan ubat warfarin dapat berfungsi dengan lebih berkesan.
Diet warfarin adalah dengan mengurangkan pengambilan sayur-sayuran hijau atau sayur yang mengandungi vitamin K yang tinggi seperti bayam, kucai, sawi, brokoli, daun salad, kailan, selada dan parsli kepada setengah cawan sehari.
Pada masa sama, hadkan sayur-sayuran putih atau sayur-sayuran yang rendah kandungan vitamin K semasa mengambil ubat warfarin.
Wanita yang ingin hamil dan mempunyai masalah injap atau injap sudah ditukar, hendaklah mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum hamil kerana terdapat risiko yang boleh berlaku semasa hamil.
Dr. Mohd. Shawal menasihatkan orang ramai untuk berjumpa doktor sekiranya mempunyai gejala kegagalan organ tersebut.
“Berjumpalah pakar sekiranya mengalami demam berpanjangan dan jagalah kebersihan gigi. Gigi yang berkaries boleh meningkat risiko jangkitan kuman pada injap jantung,” katanya. –MINGGUAN MALAYSIA










