Bila ayah sudah tiada, saya rasa kosong - Erysha Emyra - Utusan Malaysia

Bila ayah sudah tiada, saya rasa kosong – Erysha Emyra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon, Erysha Emyra yang mengakui dirinya masih bergelut dengan kesedihan selepas kehilangan ayah tercinta, Datuk Zakaria Abdul Rahman pada 29 Mei lalu.

Menurut Erysha, dia sehingga kini masih cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu tanpa kehadiran seorang bapa yang selama ini menjadi tempat bergantung dan sumber kekuatan.

“Saya tidak tahu. Pemergian ayah ini, buat masa sekarang, saya hanya cuba yang terbaik untuk ketepikan perasaan itu seketika. Bagi saya memang sangat sukar. Sangat berat untuk semua orang.

“Tetapi buat masa ini saya hanya cuba yang terbaik kerana saya masih ada komitmen kerja. Setiap hari saya masih perlu masuk ke set penggambaran dan meneruskan tanggungjawab seperti biasa. Saya rasa selepas habis cerita ini baru saya fikirkan semula,” katanya.

Berkongsi detik-detik terakhir bersama arwah, Erysha mengakui antara perkara yang paling ralat buatnya ketika ini adalah tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ayah sewaktu lelaki itu sedang sakit kerana jadual kerja yang padat.

“Ketika ayah sakit, saya sangat sibuk dengan penggambaran. Jadi mungkin saya terkilan kerana tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama dia. Tetapi saya sangat bersyukur dengan pasukan produksi dan kru drama ini. Apabila saya hubungi mereka dan memaklumkan ayah saya dimasukkan ke unit kecemasan, mereka terus memberikan saya cuti.

“Apabila saya tiba di hospital, ayah terus dimasukkan ke ICU dan ditidurkan dalam tempoh kurang lima jam. Produksi drama Ikatan Terlarang terus memberi saya cuti selama seminggu dan saya sangat bersyukur kerana dapat meluangkan masa bersama ayah.

“Ayah menghembuskan nafas terakhir di depan saya sendiri. Ketika itu hanya saya yang ada bersamanya. Saya rasa jika ketika itu saya berada di set penggambaran dan menerima panggilan tersebut, saya akan lebih sedih. Jadi saya sangat bersyukur atas peluang yang diberikan untuk bersama ayah pada saat-saat akhir,” jelasnya.

Tambah Emyra, pemergian bapa tercinta membuatkan hidupnya terasa kosong, namun reda dengan ketentuan takdir dan hanya mampu mendoakan kesejahteraannya di sana.

“Saya rindu semuanya. Saya sangat rapat dengan dia. Saya sangat manja dengan dia. Bila dia sudah tiada, saya rasa kosong. Selama ini kita ada ibu dan ayah. Kita ada doa daripada ibu dan ayah. Sekarang saya masih ada doa seorang ibu, tetapi sudah tiada doa daripada seorang ayah.

“Ia memang bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui oleh sesiapa pun. Tetapi mungkin dengan masa, keadaan akan menjadi sedikit demi sedikit lebih baik. Sekarang mungkin kita sudah tiada doa daripada seorang ayah, tetapi kitalah yang perlu terus mendoakan dia,” katanya.

Dalam pada itu, Erysha turut berkongsi pesanan terakhir yang dititipkan arwah bapanya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Dia minta saya jaga keluarga dan amanahnya. Dia cuma mahu saya bahagia. Dia mahu kami semua terus bersatu sebagai sebuah keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN