JAKARTA : Penyanyi terkenal Indonesia, Rossa, meluahkan hasrat dan angan-angan untuk menimang cahaya mata lagi, khususnya anak perempuan.
Meskipun mempunyai seorang anak lelaki, Rizky Langit Ramadhan hasil daripada perkahwinan terdahulunya dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo, Rossa bagaimanapun tidak menafikan hatinya teringin untuk mempunyai seorang anak perempuan.
Hasrat tersebut didedahkan Rossa ketika menjadi tetamu dalam program podcast YouTube Butik Haji Igun yang dikendalikan pereka fesyen dan personaliti televisyen terkenal, Ivan Gunawan, baru-baru ini.
Dalam perbualan santai itu, Ivan bertanyakan sama ada penyanyi berusia 46 tahun itu masih menyimpan keinginan untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.
Menjawab pertanyaan tersebut, Rossa berkata dia kini lebih mengutamakan impian untuk mempunyai anak perempuan berbanding memikirkan soal perkahwinan semata-mata.
“Saya sebenarnya lebih ingin ada anak lagi. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya mahu anak perempuan,” ujarnya.
Rossa turut berkongsi bahawa rumahnya kini semakin sepi kerana anak tunggalnya, Rizky, sudah meningkat dewasa dan memulakan kehidupan baharu sebagai mahasiswa di Universitas Padjadjaran (Unpad).
Malah, penyanyi lagu Terlalu Cinta itu turut mengakui pernah menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui kemampuannya untuk hamil semula, namun enggan mendedahkan keputusan yang diperoleh daripada pemeriksaan tersebut.
Tidak seperti sesetengah rakan artis, Rossa berkata, dia tidak pernah menjalani prosedur pembekuan telur (egg freezing) sebagai persediaan mendapatkan anak pada masa hadapan.
“Tidak, saya tidak pernah simpan telur. Sebab saya sudah ada anak, jadi saya rasa cukuplah,” jelasnya lagi.
Menyentuh soal jodoh, Rossa tidak menolak kemungkinan untuk kembali berumah tangga, namun mengakui bukan mudah untuk bertemu lelaki yang benar-benar memenuhi cita rasa dan kriterianya.
“Susah nak cari yang betul-betul idaman. Jadi mungkin terima sahaja siapa yang ada,” selorohnya.
Rossa pernah berkahwin dengan Yoyo pada tahun 2004, namun rumah tangga mereka hanya bertahan selama lima tahun sebelum bercerai pada 2009.
Walaupun punca sebenar perpisahan tidak pernah didedahkan secara terbuka, penyanyi itu pernah memberi bayangan bahawa ia berpunca daripada isu kecurangan.