Brazil mahu tenggelamkan kapal penuh toksik

Brazil mahu tenggelamkan kapal penuh toksik

GAMBAR menunjukkan kapal induk Sao Paulo di Lautan Atlantik, berhampiran Rio de Janeiro, Brazil.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIO DE JANEIRO: Brazil merancang untuk menenggelamkan kapal pengangkut pesawat yang sudah ditamatkan perkhidmatannya dan ditunda di sekitar Lautan Atlantik selama berbulan-bulan lamanya.

Menurut portal Channel News Asia, dilaporkan badan kapal berkenaan sudah rosak selain turut mendapat kritikan daripada pakar alam sekitar yang mengatakannya sarat dengan bahan toksik.

Kementerian Tentera Laut dan Pertahanan Brazil dalam satu kenyataan berkata, kapal perang berusia enam dekad itu, Sao Paulo, akan terapung tanpa nakhoda serta tiada pelabuhan untuk berlabuh.

“Memandangkan keadaan dan risiko yang semakin meningkat untuk menunda (kapal), memandangkan daya apungan badan kapal yang semakin merosot dan ketidakpastian akibat tenggelam secara spontan dan tidak terkawal, tidak ada pilihan selain menenggelamkannya secara terancang dan terkawal,” jelas kementerian itu.

Pencinta alam sekitar bagaimanapun membantah keputusan itu dan menyifatkan kapal pengangkut pesawat itu mengandungi bertan-tan asbestos, logam berat dan bahan toksik lain yang boleh meresap ke dalam air dan mencemarkan rantaian makanan marin.

Pengarah Rangkaian Tindakan Basel (BAN), Jim Puckett, turut menuduh tentera laut Brazil melakukan kecuaian teruk.

“Jika mereka meneruskan dengan menenggelamkan kapal yang sangat toksik itu ke dalam Lautan Atlantik, mereka akan melanggar syarat tiga perjanjian alam sekitar antarabangsa,” kata Puckett dalam satu kenyataan.

Kumpulan alam sekitar Perancis, Robin des Bois menggelar kapal itu sebagai pakej toksik 30,000 tan.

Sao Paulo dibina pada akhir 1950-an di Perancis yang tentera lautnya menggunakan khidmat  kapal tersebut selama 37 tahun.

Kapal itu dikatakan terlibat dalam ujian nuklear pertama Perancis di Pasifik pada 1960-an dan penempatan di Afrika, Asia Barat dan bekas Yugoslavia dari 1970-an hingga 1990-an.

Brazil membeli kapal induk 266 meter  itu dengan harga AS$12 juta (RM51.3 juta) pada tahun 2000.

Tahun lepas, Brazil membenarkan firma Turki, Sok Denizcilik untuk menjadikan Sao Paulo sebagai besi buruk.

Tetapi pada bulan Ogos, ketika sebuah bot tunda hendak menariknya ke Laut Mediterranean, pihak berkuasa alam sekitar Turki menyekat rancangan itu.

Brazil kemudian membawa kapal induk itu kembali, tetapi tidak membenarkannya masuk ke pelabuhan dengan alasan berisiko tinggi kepada alam sekitar.

Tentera Laut Brazil berkata, pihaknya menunda kapal itu ke lokasi 350 kilometer dari pantai Brazil. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.