Lihat rakan putus kaki terkena jerangkap samar - Utusan Malaysia

Lihat rakan putus kaki terkena jerangkap samar

MOHD. Ridhwan Mohd. Ali (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Zainal Sapie sempena lawatan WYF di rumahnya di Kampung Solok Jenuang, Ayer Molek, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Masih terbayang bagaimana kaki rakan saya putus sebaik terpijak jerangkap samar dan kami terpaksa meredah hutan dengan parang sambil menunggu helikopter yang tiada tempat mendarat.”

Itu antara pengalaman perit dikongsi Zainal Sapie, 77, seorang veteran tentera dari Kampung Paya Dalam, Ayer Molek di sini yang pernah berkhidmat menentang pengganas komunis sekitar awal 70-an.

Beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1970 ketika berusia 22 tahun di Kota Kinabalu, Sabah bersama Rejimen 2 Renjer sebelum ditempatkan di beberapa kem termasuk Kem Wardieburn dan akhirnya Kementerian Pertahanan.

Katanya, antara operasi yang masih segar dalam ingatan ialah Op Gonzalez dan Op Gubir termasuk pertempuran getir di Kelian Intan, Perak.

Ujarnya, ketakutan di malam hari ketika terdedah ancaman musuh adalah perkara biasa bagi setiap anggota.

“Peristiwa rakan terkena jerangkap samar di Gubir itu tidak akan saya lupakan. Cuaca tidak menentu, hutan tebal, kami terpaksa usung rakan yang cedera sambil tebas lalang dan tunggu helikopter menyelamatkan.

“Bila malam menjelma, memang ada rasa takut. Bukan senang duduk di kawasan operasi, musuh boleh muncul bila-bila masa.” katanya kepada Utusan Malaysia sempena kunjungan Pengerusi Yayasan Belia Sedunia (WYF), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali di rumahnya baru-baru ini.

Pada kunjungan sempena bulan kemerdekaan itu, Mohd. Ridhwan turut menyampaikan sumbangan kepada Zainal yang mempunyai lapan anak serta 30 cucu dan kini menetap di Kampung Solok Jenuang, Ayer Molek.

Zainal berkata, walaupun cabaran sebagai tentera dahulu amat berat, anak-anak muda hari ini perlu berani menceburi bidang ketenteraan kerana ia adalah kerjaya mulia untuk bangsa dan negara.

“Dulu kami teruk berperang, tapi sekarang latihan lebih tersusun. Malangnya, tidak ramai generasi muda minat jadi askar.

“Saya harap anak-anak muda pandang serius bidang ketenteraan. Ini tugas mulia, penuh pengorbanan dan tidak semua orang sanggup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×