![]()
KETIKA ditubuhkan 88 tahun dahulu, hanya 25 orang sahaja yang berjaya dipilih sebagai pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu.
Mereka diarah melapor diri di Haig Lines, Port Dickson untuk memulakan latihan pada 1 Mac 1933. Peranan besar nukleus ini terus berkembang sejak zaman pendudukan Jepun sehingga kini.
Apa yang membanggakan, misi dan pencapaian Tentera Darat sepanjang hampir seabad bukan hanya terhad dalam negara semata-mata tetapi di peringkat global menerusi misi antarabangsa di Somalia, Kemboja, Filipina, Namibia, Bosnia Herzegovina dan Lubnan.
Namun pada saat ini, peranan anggota Tentera Darat diperluas dengan menentang musuh yang tidak dapat dilihat mata kasar bersama agensi lain selaras dengan dengan tema sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-88, ‘Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara’.
Ketika ditanya pemberita, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, kerjasama perkhidmatan itu membantu agensi kerajaan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras penularan pandemik Covid-19 secara holistik dapat dilihat dengan pelaksanaan Op Penawar.
Selain itu katanya, kerjasama Tentera Darat bersama agensi lain mengekang isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Op Benteng berkesan dengan kewujudan Pasukan Petugas Khas (NTF).
“Malah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diberi kuasa untuk menahan individu di bawah proklamasi darurat menambah keberkesanan peranan kami mengekang PATI dan dalam masa sama menghentikan penularan wabak Covid-19.
“Apa yang membanggakan, dalam misi berkaitan Covid-19, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab. Rahman terlibat dalam tugas khas program imunisasi membantu kerajaan memastikan vaksin disalur ke seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sesi wawancara eksklusif baru -baru ini.

Dalam pada itu, Zamrose ketika menjelaskan tiga prinsip dan lima tonggak Tentera Darat dalam Perintah Ulung berkata, pelan yang dirangka ketika mula memegang tampuk pemerintahan 11 Jun lalu kini menunjukkan pencapaian positif walaupun dalam situasi penularan Covid-19.
“Saya memberi fokus kepada 3P (Prinsip) dan 5 T (Tonggak) yang saya tekankan antaranya Kelangsungan Misi dan Kesiagaan dengan meneruskan tugas-tugas yang terdahulu dan melihat kepada tugasan terbaharu.
“Selain itu, penempatan anggota. Jika dahulu sekiranya apa-apa berlaku di Sabah atau Sarawak, kita akan menarik kekuatan di Semenanjung tetapi kini tidak lagi. Dengan pelaksanaan pengagihan tersebut, sekiranya berlaku konflik dan sebagainya, ia akan dikawal selia oleh pemerintahan formasi di sana” ujarnya.
Tambah Zamrose, Tentera Darat juga akan memastikan kebajikan anggota terjaga menerusi Pelestarian Kesejahteraan Warga dengan memastikan kira-kira 63,000 anggota memiliki rumah keluarga tanpa menyewa lagi.
“Kita tidak mahu mereka menggunakan elaun untuk membayar sewa rumah. Insya-Allah dengan kerjasama kerajaan, kita akan dapat pastikan bahawa setiap individu yang berkeluarga duduk di rumah keluarga angkatan tentera sepanjang tempoh berkhidmat.
“Kita juga mewujudkan inisiatif Satu Anggota Satu Rumah (SASaR). Ia merupakan inisiatif untuk memastikan setiap anggota dapat membeli rumah sebelum bersara. Apabila tamat perkhdimatan nanti, kita mahu mereka tinggal di rumah SASaR. Kita akan pastikan tanah-tanah yang ada digunakan untuk membangunkan rumah sasar. Kini terdapat tiga rumah sasar iaitu di Kem Sungai Besi, Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (Pulapot) di Jalan Genting dan Kem Wardieburn,” katanya.
Sehingga kini terdapat kira-kira 86,000 anggota Tentera Darat dalam perkhidmatan itu meliputi pelbagai kaum.
Dalam perkembangan lain, Zamrose yang menjelaskan tentang pembangunan keupayaan strategik Army For The Next Generation (Army 4NextG) berkata, tumpuan akan diberi kepada ketiga-tiga elemen tempur, bantuan tempur dan bantuan khidmat.
Menurutnya, jangka masa pelan tersebut adalah untuk tempoh 30 tahun bermula tahun ini dengan mengambil kira spektrum peperangan dan persekitaran geostrategik yang tidak menentu serta perkembangan pesat teknologi pertahanan.
“Kita ada blueprint Army 4NextG yang merangkumi masa 30 tahun bergantung pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Kita nak seimbangkan supaya ketiga-tiga elemen diperkukuhkan. Kita lihat keadaan sekeliling kita. Sebagai contoh apabila berlaku sesuatu di Sabah atau Sarawak kita sudah ada anggota di sana,” jelasnya.
Bertepatan dengan tema Sambutan Hari Tentera Darat Ke-88 pada tahun ini. Tentera Darat merancang untuk melaksanakan Projek Jiwa Murni (PJM), di seluruh negara. Sehingga kini 56 projek telah dikenalpasti untuk dilaksanakan. Namun, bilangan projek ini dijangka akan bertambah berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa.

Kata Zamrose, antara kerja-kerja yang akan dilaksanakan di dalam projek ini termasuklah kerja-kerja membaik pulih rumah, masjid, dewan dan juga jambatan, dengan anggaran kos keseluruhan adalah berjumlah lebih kurang RM 3 Juta Peruntukan akan diperolehi daripada pelbagai sumber antaranya Kementerian Pertahanan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan dan lain-lain
“Tempohari, saya telah merasmikan PJM di Gedong, Simunjan, Sarawak pada 23 Februari 2021. Projek membaik pulih kediaman seorang penduduk kampung di Gedong, itu dikira sebagai kick off kepada bermulanya PJM ini.
“Pelaksanaan PJM ini akan berterusan sehingga hujung 2021,” katanya
Pelan tersebut kata Zamrose, adalah bukti Tentera Darat komited dalam usaha merealisasikan Strategi Ketenteraan Negara (SKN 2.0) sebagai salah satu usaha mengukuhkan perkhidmatan itu pada masa depan.










