Eks Lembing Sakti uji keupayaan Astross II - Utusan Malaysia

Eks Lembing Sakti uji keupayaan Astross II

Bom roket meluncur laju ke udara sebaik dilancarkan daripada kenderaan pelancar menuju ke sasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perolehan sistem lancar roket berganda (SLRB) Astross II telah melonjakkan keupayaan tempur Tentera Darat (TD) apabila buat pertama kali mengoperasikan senjata yang dianggap menggerunkan musuh di medan tempur.

Walaupun SLRB atau MLRS ini dikategorikan sebagai sistem persenjataan ofensif tetapi ia memainkan peranan tinggi dalam gerakan membedil sasaran musuh pada jarak jauh tetapi dengan kadar yang pantas.

Bagi merealisasikan kewujudan rejimen roket, maka pemerintahan tertinggi TD bersetuju untuk melengkapkan Rejimen Artileri Diraja (RAD) dengan sistem persenjataan ini yang dilihat sebagai tunjang kuasa tembakan yang diperlukan dalam menghadap cabaran pertempuran masa hadapan.

Penghantaran pertama sebuah bateri Astross Il diterima pada 13 Mac 2002 mengandungi kenderaan pelancar roket, kenderaan pembekal roket, kenderaan kawalan tembakan dan kenderaan stesen kawalan cuaca.

Operasi Astross II turut disokong dengan kenderaan worksyop bergerak yang membawa peralatan dan alat ganti bagi kegunaan unit dalam membantu baik-pulih kenderaan atau sistem persenjataan di barisan hadapan.

Bagi menandakan kemasukan sistem roket ini ke dalam inventori TD secara rasmi, satu majlis inaugurasi telah disempurnakan oleh Panglima TD pada masa itu, Jeneral Tan Sri Md. Hashim Hussein pada 16 Julai 2002 di Kem Gemas, Negeri Sembilan.

 

Perolehan sistem roket Astross II telah melonjakkan keupayaan tempur Tentera Darat dalam menghadapi ancaman musuh.

Sejak itu, latihan demi latihan sentiasa diadakan melibatkan atur gerak sistem roket ini selain ujian penembakan di lapang sasar untuk memastikan keupayaan anggota dan aset ini sentiasa dalam keadaan siap siaga.

Bermula dengan kekuatan satu rejimen, kerajaan kemudian melakukan pembelian tambahan bagi pembentukan rejimen kedua SRLB Astross II menjadikan jumlah sistem artileri roket berganda ini terus meningkat.

Terbaharu, ujian penembakan diadakan di Lapang Sasar Tanjung Hantu, Lumut, Perak pada Disember lalu menerusi Eksesais (Eks) Lembing Sakti yang disaksikan Panglima TD, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Kali pertama Astross II meledakkan peluru roketnya di lapang sasar ini ialah pada pada 27 Februari 2003 menggunakan peluru roket jenis jenis SS-60 dan SS-80 semasa mengadakan latihan penembakan dinamik.

Eks Lembing Sakti melibatkan seramai 59 pegawai dan 382 anggota dari pasukan iaitu 51 RAD, 52 RAD dan 61 RAD yang merupakan ketumbukan dalam Briged Artileri Roket (Bgd Arti Roket).

Ia merupakan latihan tembakan SRLB Astross II yang dilaksanakan setiap tahun bertujuan menguji tembakan Complete Round Proof (CRP) bagi memanjangkan jangka hayat roket.

Selain itu, Eks Lembing Sakti ini juga menguji dan menilai kompetensi pegawai serta anggota dalam melaksanakan tembakan roket sebenar dan tahap kesiagaan pasukan.

Turut membantu menjayakan latihan ini ialah unit-unit daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia dan agensi penguat kuasa awam setempat dalam keselamatan latihan.

Sebelum latihan dimulakan, Zamrose yang diiringi Pengerusi RAD, Brigadier Jeneral Datuk Dr. Ibrahim Yasir menerima ucapan aluan daripada Panglima Bgd Arti Roket, Brigadier Jeneral Zulmajdi Yunus.

Taklimat latihan kemudian disampaikan oleh Pegawai Memerintah 51 RAD, Leftenan Kolonel Mohd. Nidzam Yaacob seterusnya menyaksikan latihan tembakan SRLB Astross II.

Turut hadir menyaksikan eksesais ialah Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd Sany, Panglima Medan Barat TD, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Ruji Ubi.

 

Zamrose mendengar penerangan daripada Mohd. Nidzam (tengah) semasa berada di dalam kenderaan pelancar Astross II.

 

BRIGED ROKET PERKASAKAN ATM

Sistem SPRB dimiliki oleh hampir kebanyakan negara di dunia termasuklah negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Keberkesanannya di medan tempur memang tidak disangkal.

Astross ialah singkatan kepada Artilery Saturation Rocket System. Ia dibangunkan firma Avibras dari Brazil dengan pengeluaran pertama dimulakan pada 1983.

Perancangan bagi melengkapkan Rejimen Artileri Diraja (RAD) dengan sistem SLRB bermula pada pertengahan tahun 1990-an apabila trend untuk perolehan ini dilihat semasa penganjuran pada pameran kelengkapan pertahanan dalam negara.

Penganalisis pertahanan dan perunding keselamatan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 1999 (LIMA) dan Pameran Pertahanan Asia 2000 (DSA), beberapa buah firma pertahanan luar negara cenderung mengetengahkan sistem persenjataan SPRB masing-masing.

Katanya, ini termasuk syarikat tempatan, Syarikat Malaysia Explosive semasa LIMA 99 yang mempertontonkan gambar sebuah sistem SRLB teknologi Bosnia yang dikatakan telah diketengahkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Berbeza dengan meriam yang lazimnya melepaskan peluru ke sasaran dan meletup, Astross II pula melepaskan tembakan roket di dalamnya membawa puluhan rangkaian bom kecil dan akan tersebar keluar daripada bekas roketnya menghujani sasaran pada tahap ketinggian tertentu.

“Jumlah bom kecil yang boleh disebarkan serta impak kekuatanya bergantung kepada saiz roket dilancarkan. Inilah kelebihan sistem SRLB yang menjadikannya senjata digeruni musuh,” ujarnya.

Muhammad Fuad berkata, Astross II boleh dipasang dengan empat jenis sistem roket sama ada SS-30 yang mempunyai 32 unit pelancar roket, SS-40 (16 unit pelancar roket), SS-60 (empat unit pelancar roket) dan SS-80 (empat unit pelancar roket).

“Contohnya, peluru pada setiap satu tiub roket SS-40 membawa 20 butir kepala peledak jenis dua fungsi iaitu anti-armor dan anti-personal manakala setiap satu roket SS-60 membawa 65 butir kepala peledak jenis yang sama.

“Sistem artileri ini memberikan TD keupayaan serangan strategik yang mampu menjangkau jarak dari sembilan kilometer (km) sehingga 90km dengan menggunakan roket berkaliber pelbagai,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×