Wakil UMNO Sepang diminta mohon maaf, jenaka berunsur seksual

Wakil UMNO Sepang diminta mohon maaf, jenaka berunsur seksual

SALLEH SAID KERUAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Wakil UMNO Sepang diminta memohon maaf secara terbuka berhubung jenaka berunsur seksual yang mengaitkan biarawati dan paderi Katolik ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU), baru-baru ini.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, beliau bersetuju dengan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berhubung kenyataan tidak wajar pemimpin UMNO terbabit pada PAU lalu.

“Jenaka berunsur seksual mengaitkan biarawati dan paderi Katolik tidak boleh diterima,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, tindakan wakil parti berkenaan menunjukkan kurangnya kepekaan terhadap sensitiviti penganut agama Kristian di negara ini.

Salleh berkata, pemimpin UMNO berkenaan wajar memohon maaf secara terbuka dan ikhlas berhubung perkara itu kerana ia bukan isu politik, sebaliknya menyentuh soal rasa hormat dan tanggungjawab.

“Ini bukan soal politik, sebaliknya berkaitan rasa hormat, tanggungjawab dan memahami batas yang tidak sepatutnya dilanggar,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat di Sabah terdiri daripada pelbagai agama termasuk Islam dan Kristian yang telah lama hidup bersama dalam suasana saling menghormati.

Katanya, semangat toleransi dan keharmonian itu perlu terus dipelihara bagi memastikan hubungan antara masyarakat kekal baik.

“Sehubungan itu, sesuatu yang salah mesti berani menyatakan bahawa tetap salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya.

Sebelum ini, Madius menyuarakan perkara berkenaan yang disifatkan tidak wajar kerana boleh menyinggung perasaan masyarakat beragama Kristian di seluruh negara.

Beliau turut menggesa perkara berkenaan diberi perhatian serius supaya sensitiviti agama tidak dijadikan bahan jenaka, terutama dalam majlis yang menjadi tumpuan masyarakat.

Teguran itu dibuat susulan ucapan wakil UMNO Sepang pada PAU yang mengaitkan biarawati dan paderi Katolik dalam jenaka berunsur seksual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×