KEDUDUKAN geografi yang luas di sempadan Sarawak dan Kalimantan iaitu sejauh kira-kira 600 kilometer (km) panjangnya memberi cabaran kepada pasukan keselamatan.
Bagi penyeludup dan pendatang asing tanpa izin (PATI), kawasan luas pasti membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk melakukan kegiatan haram mereka.
Kalau itu tanggapan mereka, ia tidak benar sama sekali. Dengan penubuhan pasukan petugas khas (NTF) bersama 19 agensi kerajaan, kerja ‘haram’ mereka dapat dihidu dengan mudah .
Di kawasan sempadan ini, pasukan 1 Divisyen Infantri dengan cogan kata ‘Pertama Perkasa’ mewakili Tentera Darat dipertanggungjawab bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Kementerian Kesihatan.
Semua pasukan keselamatan dan agensi kerajaan yang bersama-sama di bawah NTF berganding bahu memperkasa lagi tahap keselamatan persempadanan negara melalui Op Benteng menerusi kaedah Pencegahan, Pengesanan, Penghindaran, Pelencongan, Penahanandan Pengusiran.
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, selain Op Benteng, pasukan itu turut melakukan Op Awas operasi kawalan persempadanan darat Sarawak-Kalimantan yang melibatkan kawasan sektor Biawak, Kandaie, Serikin, Tebedu, Balai Ringin dan Lubok Antu di bawah kawalan 3 Briged.
Katanya bagi Op Jagakawan pula, ia melibatkan kawasan Limbang, Ba’kelalan dan Bario di bawah kawalan 9 Briged.
“Kedua-dua operasi ini merupakan operasi teras bagi 1 Divisyen yang dijalankan sepanjang tahun dan bermula pada Mei 2020 Op Awas dan Op Jagakawan adalah sebahagian daripada Op Benteng.
“Kejayaan Op Awas sepanjang pelaksanaan Op Benteng adalah sebanyak 620 PATI dan 37 tekong ditahan dengan nilai rampasan barangan yang dicatatkan sejak Mei 2020 hingga 31 Disember lalu sebanyak RM3,281,014.37,” ujarnya.

Tambah Dzulkafli, untuk tempoh tiga minggu pelaksanaan operasi bagi tahun 2021 sahaja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 72 PATI dan merampas barangan seludup di mana kebanyakannya barangan keperluan harian bernilai RM78,937.70.
Dalam pada itu, beliau berkata, cabaran utama dihadapi dunia kini adalah bagi anggota keselamatan yang turut terdedah kepada wabak Covid-19 ketika dalam penugasan operasi.
“Peringatan berterusan diberikan kepada semua agar sentiasa ditekankan aspek kebersihan dan langkah-langkah pencegahan wabak Covid-19 terutama apabila berhadapan dengan PATI yang cuba menceroboh masuk.
“Aspek keselamatan diri amat dititik beratkan selain terus siaga dalam melaksanakan tugas,” jelasnya.
Sementara itu, Dzulkafli berkata, bagi meminimumkan risiko jangkitan, prosedur baharu dilaksanakan di mana PATI yang ditahan terpaksa diusir keluar.
“ATM khususnya pasukan di bawah naungan 1 Divisyen akan terus memperkasakan lagi Op Benteng bagi memastikan tiada PATI dan cubaan jenayah rentas sempadan yang mampu menggugat keselamatan serta memberi ancaman kepada peningkatan penularan wabak Covid-19 terutama di Sarawak.
“Melihat kepada trend penularan kini yang makin membimbangkan dengan kes positif harian empat angka di seluruh negara, di samping penambahan bilangan PATI dan aktiviti penyeludupan sejak akhir-akhir ini,” ujarnya












