Taman mini sayur segar guna bahan terpakai

Taman mini sayur segar guna bahan terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINGGAL di kawasan perumahan yang mempunyai ruangan tanah terhad tidak menghalang Iszaynuddin Abd. Hamid untuk menanam puluhan sayur-sayuran.

Berbekalkan kreativitinya, bapa berusia 49 tahun itu menggunakan barangan terpakai seperti botol minuman dan pengisar lama bagi tujuan tersebut.

Antara sayuran yang ditanam di halaman rumah yang bersimen adalah sawi, kailan, pakchoy, bayam Brazil, lettuce, cili, limau kasturi, serai, pandan, halia, kunyit dan limau purut.

Katanya, minat bercucuk tanam sudah lama ada, namun segalanya bermula apabila negara dilanda wabak Covid-19.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan, dia mula aktif menanam pelbagai jenis sayuran dan ulaman yang boleh digunakan dalam masakan harian.

“Kisahnya bermula apabila ketika PKP, kami mahu masak asam pedas, tetapi susah betul hendak cari daun kesum pada masa itu.

“Jadi, saya tanam sendiri. Walaupun orang kata daun kesum susah hidup tetapi alhamdulillah saya berjaya menanamnya,” katanya yang menetap di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor.

Sejak itu, dia mula menanam pelbagai jenis sayuran dengan memanfaatkan barangan terpakai sebagai wadah tanaman.

Caranya adalah dengan menggunakan medium tanah kompos 6 dalam 1 dan habuk kelapa (cocopeat) mengikut nisbah 3:1.

Baja yang digunakan pula adalah AB dan NPK 18:18:18.

“Pertama, saya gunakan dulang semaian yang diisi dengan tanah mengandungi cocopeat tinggi supaya medium tersebut agak longgar.

“Medium yang longgar memudahkan pembentukan akar. Buatkan lubang pada setiap bekas tapak semaian dan masukkan tiga biji benih. Tutup lubang tersebut dengan vermiculate,” ujarnya.

Jelas Iszaynuddin, vermiculate adalah media yang dapat mengekalkan kelembapan pada pot semaian.

Pada peringkat awal, semaian diletakkan di tempat redup dan apabila bercambah, dipindahkan ke kawasan yang mempunyai cahaya matahari dengan perlindungan jaring hitam.

“Jika tidak didedahkan pada matahari anak benih akan menjadi kurus dan meninggi kerana anak-anak sayur ini berlumba untuk mendapatkan matahari.

“Dulang semaian digunakan supaya apabila proses mengalihkan ke bekas tanaman, akar anak pokok tidak terganggu dan kadar kejayaan juga tinggi,” katanya yang banyak belajar ilmu pertanian daripada pembacaan dan Youtube.

Berkongsi tips tanaman salad yang segar-bugar, katanya, benih sayuran itu disemai dengan menggunakan rockwool yang dibeli secara dalam talian.

“Masukkan dua hingga tiga biji benih dalam lubang dan letakkan dalam bekas berisi air.

“Medium yang digunakan adalah tanah kompos 6 dalam 1 dan juga baja AB untuk menyuburkan tanaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya