Potensi tanaman Sacha Inchi - Utusan Malaysia

Potensi tanaman Sacha Inchi

BAHAROM Udin menunjukkan tanaman Sacha Inchi yang diusahakannya di Kampung Purun, Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini. –UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula dengan sakit sendi dan lutut yang dialaminya, seorang pesara bidang perubatan mencuba minyak Sacha Inchi yang diberikan seorang rakannya bagi melegakan sakitnya itu.

Kemudian, daripada situ timbul idea untuk mereka mengusahakan tanaman Sacha Inchi atau nama saintifiknya plukenetia volubilis secara komersial di Kampung Purun, Jelebu.

Pokok kekacang yang berasal dari Peru dan Brazil ini adalah tumbuhan herba yang hidup dalam hutan Amazon dan dilihat berupaya mengeluarkan minyak jenis Omega 3, Omega 6 dan Omega 9 yang berfungsi membantu memulihkan tenaga serta kesihatan badan.

Lebih menarik, kekacang yang dikenali dengan nama ‘kacang gunung’ ini popular sejak 3,000 tahun dahulu dan mula digunakan sebagai sumber perubatan dan kesihatan oleh masyarakat Inca di Peru dan dikenali sebagai ‘inca peanut’.

Menurut Baharom Udin, 66, dia bersama rakannya, Toslan Ali bekerjasama mengusahakan kekacang berkenaan yang ditanam secara komersial menggunakan modal permulaan sebanyak RM50,000.

“Bermula dengan rasa sakit sendi dan lutut, saya membeli benih di laman web dalam talian dari Perak dan mula menggunakan produk ini, kemudian kami melihat produk ini sesuai ditanam dan mudah untuk dijaga.

“Kemudian kami dapati kekacang ini boleh mengeluarkan minyak jenis Omega 3, Omega 6 dan Omega 9 yang boleh membantu memulihkan tenaga serta kesihatan badan seseorang individu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

KEKACANG Sacha Inchi juga boleh menghasilkan sabun, biskut dan minyak yang mempunyai khasiat tinggi.

Menurut Baharom, sejumlah 2,500 tanaman pokok tersebut telah mula menampakkan hasil dan ia dijangka mengeluarkan buah hujung tahun ini di kawasan ladang seluas dua hektar yang sebelum ini terbiar.

“Sebanyak 80 peratus pokok Sacha Inchi yang ditanam mula menampakkan hasil dan dijangka berbuah hujung tahun ini.

“Kami juga ada permintaan daripada pelbagai pihak yang turut menyatakan minat untuk menanamnya,” katanya.

Sebagai satu-satunya pengusaha tanaman herba kekacang sacha inchi di Negeri Sembilan, Baharom memaklumkan pokok berkenaan mudah ditemui di Sabah dan Sarawak.

“Sacha Inchi adalah pokok renek jenis kekacang yang mudah ditanam malah pemerhatian mendapati tanaman itu kurang didatangi serangga perosak.

“Ketika ini, kami sudah menanam pokok ini di atas tanah seluas dua hektar di Muka Sauk berhampiran Kampung Purun sejak Oktober tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, tanaman pokok tersebut juga mampu menghasilkan pelbagai produk lain seperti minyak, sabun dan makanan seperti biskut.

“Tanaman kekacang ini boleh hidup sehingga 15 tahun dan sesuai dijadikan tanaman sampingan oleh pekebun kecil ketika mula menanam getah atau kelapa sawit.

“Ia mampu mengeluarkan hasil seawal usia lapan bulan dan bagi setiap satu kilogram kacang mentah ia boleh dijual pada harga RM3,” katanya yang bercadang menanam lagi pokok berkenaan di atas tanah seluas 2.4 hektar miliknya di kampung berkenaan.

 

Buah Sacha Inchi unik kerana ia berbentuk bintang berbucu empat, lima atau enam.

MUDAH DIJAGA

Sementara itu, jelas Baharom, dia juga bercadang mengadakan kursus kepada individu yang berminat untuk menanam kekacang herba berkenaan.

“Jika ada petani yang berminat untuk mengusahakan Sacha Inchi ini, kami sedia membeli kacang mentah secara terus tanpa melibatkan orang tengah.

“Kalau mereka menanam 100 pokok sekali pun ia akan memberi hasil lumayan kelak kerana ia sentiasa berbuah,” katanya.

Dalam pada itu, Baharom berkata, penanaman pokok berkenaan tidak rumit selain ia mudah dijaga.

“Apabila sudah berusia lapan bulan pokok sudah mengeluarkan kacang yang sudah boleh dituai berbentuk bintang berbucu empat, lima atau enam.

“Selepas itu akan kacang dikeluarkan daripada kulit dan sudah boleh diproses untuk dijadikan pelbagai produk termasuk makanan seperti snek kacang mahupun biskut,” katanya yang memaklumkan pokok berkenaan boleh hidup selama 15 hingga 20 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN