Baka 'Hyphram France' potensi pengeluaran daging arnab - Utusan Malaysia

Baka ‘Hyphram France’ potensi pengeluaran daging arnab

MOHD. Edzuddin (kiri) bersama baka pejantan Hyphram PS119 memiliki kudrat mengawan yang tinggi diternak untuk tujuan pembiakan baka di Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEEKOR baka arnab dari luar negara mencecah RM1,500 bergantung kepada tekstur dan saiz badannya. Diterbangkan dari negara asalnya ke Malaysia khusus untuk mendapatkan baka yang subur, cantik dan berdaging.

Ia kini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar daging serta pencinta arnab sebagai haiwan kesayangan.

Haiwan mamalia ini tergolong dalam keluarga Leporidae. Mudah dikenali dengan tekstur telinganya yang panjang dan tirus kini menjadi lambang Playboy, gigi kacip tengah yang ketara dalam mulut, kaki belakangnya yang besar berbanding kaki depan dan ekornya yang pendek.

Arnab yang turut popular dikenali sebagai kelinci dalam kalangan penternak mampu hidup secara liar di habitat asalnya. Namun, mutakhir ia menjadi haiwan ternakan yang memberikan sumber makanan kepada manusia selain sebagai haiwan kesayangan kerana sifatnya yang mudah jinak serta bulunya yang cantik.

Berbeza dengan arnab tempatan yang memiliki kepelbagaian warna yang bertompok seluruh badan. Baka tempatan mempunyai lebih ketahanan terhadap serangan penyakit namun kadar tumbesarannya agak lambat. Harga pun tidak seberapa.

Lazimnya, mereka yang memulakan hobi menternak arnab lebih memilih arnab tempatan. Bagaimanapun, usahawan yang menjalankan penternakan komersial lebih fokus kepada arnab pedaging.

Arnab baka pedaging diimport dari negara luar dengan memilih ciri-ciri pedaging yang mampu membiakkan bilangan anak antara tujuh hingga sembilan ekor dengan kekal hidup selepas bercerai susu sebanyak enam hingga lapan ekor.

Arnab baka ‘Mat Salleh’ kini menjadi kegilaan penternak di negara ini khususnya di Kelantan.

Bermula dengan baka tempatan yang lambat matang mereka berubah angin membeli arnab import sekali pun harganya seekor mencecah ribuan ringgit melibatkan caj penerbangan, penginapan dan permit.

ARNAB CALIFORNIAN

Di Pasir Puteh, seorang usahawan arnab pedaging, Mohd. Edzuddin Abdul Majid, 39, sudah tiga tahun berpengalaman dalam penternakan arnab terutama arnab hibrid tempatan yang biasanya boleh dituai antara 70 hingga 90 hari dengan capaian timbangan berat 2.8 kilogram (kg) hingga 3.2kg.

Menurutnya, sebelum ini dia berjaya membekalkan daging arnab yang dikenali sebagai ‘karkas’ ke seluruh negara terutama kepada pengusaha sate dan penggemar daging bakar berempah.

“Saya kini berubah angin memilih baka arnab Hypharm France dari Perancis dengan harapan mendapat peluang usaha sama mempelajari teknologi baru menternak arnab yang memiliki dagang yang banyak dan dapat dituai hasilnya dalam tempoh yang masa yang pendek.

“Syarikat dari Perancis tidak kedekut ilmu dan bersedia membantu penternak membuka ladang arnab komersial selain memberi jaminan untuk tampil sebagai pembekal daging arnab ke negara luar termasuk Timur Tengah dan Cina,” katanya ketika ditemui di Kampung Bendang, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Pengusaha yang mengimport baka arnab diwajibkan memiliki permit yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar akan membuat tempahan secara dalam talian dengan pengusaha ternakan itu dari United Kingdom, Jerman Barat, ltali dan Perancis.

HOLLAND HOP

Urus niaga dan transaksi pembayaran adalah dalam nilai matawang dolar dan sebahagian negara menggunakan matawang Euro.

Mohd. Edzuddin berkata, peluang sebagai pengusaha pertama hypharm di negara ini tidak dilepaskannya dengan mencari rangkaian usahawan ternak di Kajang, Selangor dan Manir, Kuala Terengganu untuk memelihara induk jantan dan betina yang setakat ini hanya 50 ekor sahaja.

Katanya, tambahan 200 ekor lagi induk hypharm bakal tiba pertengahan bulan ini yang melibatkan variasi PS59, PS119, NGPC, GP25, PS Hyplus Optima,PS Hyla Optima dan GP Optima.

“Kesemua arnab ini menaiki pesawat kargo dari kota Paris tiba di lapangan terbang Doha, Qatar dalam tempoh lebih lapan jam akan bertukar pesawat dari Doha ke Kuala Lumpur untuk tempoh lebih 12 jam sebelum diberi penginapan di hotel haiwan dalam keadaan selesa dengan diet makanan yang mencukupi.

“50 baka hypharm yang terdapat di negara ini kesemuanya diternak dalam bangsal khas (ban) yang dilengkapi dengan pendingin hawa yang mengguna pakai suhu 18 darjah celsius dengan diet makan palet sebanyak 10 gram sehari untuk seekor selain makanan tambahan lain,” ujarnya.

KARKAS atau daging arnab yang diproses sendiri oleh Mohd. Edzuddin dijual pada harga RM35 hingga RM38 sekilogram bergantung kepada pasaran runcit dan borong di seluruh negara.

Mohd. Edzuddin berkata, spesis arnab ini mampu mencapai berat di antara 5.3kg hingga 7kg untuk tempoh usia empat bulan.

“Hasil teknologi yang dipelajari kami tidak digalakkan menjual daging mahu pun induk migran yang diterbangkan ke negara ini tetapi lebih digalakkan menjual sperma pembaka jantan kepada pengusaha baharu yang ingin menjalankan industri mengeluarkan daging arnab.

“Teknologi penyimpanan sperma turut diajar selain kaedah pemanian berhadas dalam menghasilkan anak hybrid yang lebih subur dan kukuh dengan iklim setempat.

“Saya yakin industri ini berpotensi dikembangkan secara komersial termasuk mampu menjadi hab halal daging arnab untuk dieksport pada masa akan datang,” ujarnya.

BIOLOGI ARNAB

* Kelas: Mamalia

* Order: Lagomorpha

* Famili: Leporidae

*  Subfamili: Leporinae

* Genus: Oryctolagus

* Spesies: Cuniculus

* Diklasifikasikan sebagai haiwan herbivor bukan ruminan.

* Tekstur: Arnab betina biasanya lebih besar sedikit daripada arnab jantan.

* Kelaziman: Arnab berkomunikasi melalui pandangan, pendengaran dan juga bau. Arnab mudah cemas. Jika ketakutan, haiwan ini akan menjerit dengan kuat dan berlari-lari mengelilingi sangkarnya. Arnab yang diternak menganggap sangkar kurungan sebagai kawasan jagaan dan ditandai dengan air kencingnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN