Kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya. Itulah pegangan hidup usahawan tani,
Norhashim Kamisan, 37, yang kini bertaraf jutawan selepas mengusahakan penanaman cili merah sejak 14 tahun lalu.
Menetap di Kampung Sijangkang, beliau sebelum ini adalah pekerja penghantaran (despatch) dalam bidang pemasaran produk jualan langsung yang berpendapatan sederhana.
Katanya, setelah beberapa tahun bekerja dalam bidang tersebut, beliau memberanikan diri terjun ke bidang pertanian dengan mengikuti kursus menanam cili merah yang disediakan pihak berkaitan pertanian.
“Semasa mula mengusahakan penanaman cili merah di tanah milik keluarga semuanya perlu dibuat secara manual daripada proses menyemai, membaja, menyiram hingga meracun.
“Pernah saya tumbang akibat kepenatan meracun. Proses meracun beberapa kali dengan tangki racun seberat 20 kilogram (kg) bukan sesuatu yang mudah,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Sijangkang baru-baru ini.
Norhashim yang juga pemilik syarikat Pewaris Bumi Hijau berkata, kejayaannya memperolehi perolehan tujuh angka bukan mudah ‘bak yang bulat menggolek dan yang pipih melayang’.
Sebaliknya, beliau pernah kerugian mencecah RM50,000 dan keluarganya bertanya sama ada usaha penanaman cili merah di atas tanah milik keluarga hendak diteruskan atau tidak.
“Semasa itu saya sedar saya perlu meneruskan perjuangan dalam pertanian dengan mencari kaedah dan teknologi terbaik untuk meningkatkan hasil dan meminimumkan kos,” katanya.
Katanya, peristiwa jatuh bangun beberapa tahun lalu mendorongnya untuk menanam cili merah dengan teknologi fertigasi.
Jelasnya, fertigasi asalnya daripada perkataan fertigation iaitu gabungan perkataan baja (fertilizer) dan pengairan (irrigation) yang mana pemberian baja atau nutrien melalui sistem pengairan kepada zon pengakaran tanaman.
“Aplikasi sistem itu membuahkan hasil. Daripada 2,000 polibeg tanaman cili seekar meningkat beberapa kali ganda. Selain tanah milik keluarga saya juga mengusahakan ladang lain.
“Hasil yang meningkat dan kolaborasi dengan pihak seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat memungkinkan saya menambahkan hasil dan memasarkan cili ke pasar raya besar sebanyak satu tan setiap kali penghantaran,” ujarnya.
GUNA TEKNOLOGI IOT
Terbaharu kata Norhashim, selepas cukup modal beliau mengguna pakai teknologi IoT (Internet of Thing) atau e-satelit untuk meningkatkan hasil dan meminimumkan kos buruh.
Mengulas lanjut, projek menggunakan teknologi digital ini dimulakan sekitar awal tahun 2018 dan pada peringkat awal ia meliputi sistem membaja sebelum ditambah baik kepada aktiviti meracun.
“Kedua-dua kaedah ini menggunakan sistem penyemburan secara automatik dengan menggunakan railing sepanjang 137.16 meter .
“Apabila kaedah ini mampu memberi semburan secara menyeluruh iaitu di bahagian atas dan bawah pokok iaitu daun dan di tanah (akar), barulah kami beralih untuk menggabungkan kedua-dua kaedah tersebut. Semua ini dikawal melalui satu aplikasi berdasarkan IoT,” katanya.

Beliau menambah, aplikasi pertanian tersebut, adalah hasil kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Norhashim yang menerima anugerah Ikon Agro Selangor 2020 kategori tanaman berkata, walaupun teknologi satelit agak mahal iaitu RM15,000 untuk satu kawasan penanaman namun hasilnya 30 peratus lebih tinggi berbanding secara manual.
“Hasil tuaian pertama menggunakan sistem e-satelit perolehan adalah sekitar RM1,500 hingga RM2,000. Peringkat pertama pada fasa awal memang perolehan sedikit kurang.
“Namun tuaian kedua dan seterusnya perolehan meningkat 30 peratus kepada RM2,000 hingga RM2,600 setiap kali,” katanya.
Pesanan kepada bakal usahawan tani, kata Norhashim, setiap kejayaan ada risiko yang perlu diambil namun dengan ilmu dan teknologi segala usaha insya-Allah berbaloi dengan modal yang dikeluarkan.
TANAM CILI JANA PENDAPATAN
Kewujudan usahawan tani seperti Norhashim Kamisan menjadi pendorong kepada kemunculan usahawan tani baharu di Selangor khususnya di Daerah Kuala Langat.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah berkata, pihak PPK Kuala Langat bersedia membantu mana-mana pihak untuk menjadi usahawan tani bukan sahaja dalam penanaman cili merah malahan tanaman lain.
“Kita juga bukan sahaja membantu petani dan peladang dalam aspek kaedah penanaman fertigasi, malahan membantu mereka dalam aspek pemasaran.
“Bahkan usahawan tani seperti Norhashim sedia berkongsi ilmu penanaman cili dengan pihak yang berminat,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang di Teluk Panglima Garang baru-baru ini.

Mengulas penanaman cili fertigasi secara e-satelit yang menguntungkan, beliau berkata, peluang itu seharusnya diambil oleh golongan yang hilang sumber rezeki akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik Covid-19.
Jelasnya, keuntungan penanaman secara teknologi tinggi berbanding secara penanaman tradisional adalah sebanyak 30 peratus.
“Oleh itu peluang untuk mempelajari ilmu menanam cili secara e-satelit perlu direbut oleh golongan yang kehilangan kerja yang semakin ramai.
“Setakat ini seramai 20 usahawan tani menggunakan teknologi tersebut telah diwujudkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
“Sejumlah 100 orang telah mengikuti kursus penanaman cili fertigasi secara teknologi e-satelit tersebut,” katanya.Kewujudan usahawan tani seperti Norhashim Kamisan menjadi pendorong kepada kemunculan usahawan tani baharu di Selangor khususnya di Daerah Kuala Langat.










