Lobster jadi pelaris Betul Urat Cafe - Utusan Malaysia

Lobster jadi pelaris Betul Urat Cafe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOBSTER Air Tawar atau juga udang kara air tawar kini menjadi lauk yang sedap untuk pelbagai resipi masakan.
Hidupan bersepit merah jenis krustasia yang induknya berasal dari sungai-sungai kecil di utara Australia kini banyak dibela oleh pengusaha tempatan di negara ini.
Bemula dengan hobi menternak kerana pasaran yang tinggi dalam kalangan penggemar akuarium yang terpukau dengan rupa bentuk dan hias badannya yang unik kini menjadi makanan eksklusif di hotel serta restoran ternama.
Satu-satunya kedai makan di Pasir Puteh, Kelantan yang menyediakan makanan bersama lobster atau nama saintifiknya, Cherax Quadricarinatus adalah Betul Urat Cafe selain menghidangkan minuman herba dan kopi pracampuran.
Cafenya hanya sebuah kedai makan biasa yang tidak setanding dekorasi hotel atau restoran bertaraf lima bintang. Namun air tangan pemiliknya sebagai tukang masak utama menggamit pengunjung datang buat kali kedua.
Pengusahanya, Nik Adib Nik Mat, 42, berkata, antara masakan yang mendapat permintaan tinggi adalah mi, bihun dan maggi celup serta rebus dengan citarasa kuah kampung dan sup dengan harga RM3 hingga RM4 untuk satu mangkuk.
Menurutnya, bagi masakan goreng termasuk nasi goreng biasa bersama telur mata kerbau atau telur dadar dijual pada harga RM4 hingga RM5.
“Ini adalah harga makanan mampu milik manakala pelbagai minuman termasuk berasaskan herba hanya dijual pada harga 50 sen hingga RM2.50. Minuman orang dewasa iaitu Halia Madu Telur Puyuh dijual pada harga RM2 untuk minuman panas dan RM2.50 bersama ais,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di cafe itu di Pasir Puteh, baru-baru ini.
Nik Adib berkata, dia tidak pernah mengikuti pengajian dalam bidang masakan tetapi berminat menerokainya selain mewarisi kemahiran memasak dari arwah ibu bapanya.
Menurutnya, piagam cafe itu adalah memastikan pelanggan berpuas hati dengan premis yang bersih, layanan pantas, mesra pelanggan dan masakan memuaskan selera.
“Kepuasan bagi saya apabila melihat pelanggan menghirup kuah sampai kering dan pinggan mangkuk kelihatan licin tanpa pembaziran,” ujarnya.
Nik Adib berkata, bagi masakan yang berasaskan lobster air tawar harganya agak tinggi sedikit berasaskan nilai setiap ekor ternakan air itu dipilih oleh pengguna.
Katanya, lobster bersaiz 15 sentimeter (sm) dijual dengan harga RM16 seekor, 13 sm (14) dan saiz 10 sm pada harga RM12 seekor.
“Walaupun nampak mahal namun ia mendapat permintaan tinggi kerana keenakan isinya. Bekalan lobster diperoleh dari penternak komersial di Johor selain bekalan tempatan. Lobster ini diletakkan dalam bekas khas untuk memberi pengunjung memilihnya sebelum dimasak,” katanya.
Nik Adib berkata, cafenya lebih berasaskan kepada hasil pertanian yang diusahakan petani termasuk mendapatkan bekalan telur puyuh gred A untuk dimasak bersama mi celup serta campuran bersama air halia madu.

Betul Urat Cafe
Lokasi: Jalan Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, Kelantan.
Waktu operasi: 4 petang hingga 12 malam.
Rabu dan Jumaat cuti
Menu utama: Lobster air tawar dan air halia telur puyuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya