Opereta Puisi Melayu Bitara 2025 angkat warisan tamadun dan jati diri bangsa

Opereta Puisi Melayu Bitara 2025 angkat warisan tamadun dan jati diri bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Teater Malaysia (PTM) akan  mementaskan sebuah manifestasi seni, bahasa serta jati diri bangsa melalui  persembahan Opereta Puisi Melayu Bitara: Warisan Jiwa Melayu – Dari Tamadun ke  Perpaduan di Auditorium DBP pada 27 November ini pukul 8.30 malam.  

Program anjuran PTM kerjasama DBP dan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus  Pendidikan Islam itu turut mendapat sokongan Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja  Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan IPGM. 

Presiden PTM dan Pengarah pementasan tersebut, Sakrani Samsuddin berkata,  persembahan teater puisi berkonsepkan opereta itu berdasarkan karya agung  Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang bin Sariyan yang juga Penyandang  Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM.  

“Opereta ini menampilkan satu bentuk pementasan teater puisi yang menggabungkan  deklamasi, lakonan dramatik, tarian dan nyanyian dalam satu persembahan  komprehensif dan bersifat intelektual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Beliau berkata, pementasan itu mengambil tema perjalanan tamadun Melayu dari akar  sejarah menuju penyatuan bangsa. 

“Karya ini memaparkan renungan mendalam terhadap makna jati diri, maruah,  perpaduan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai nadi tamadun. Persembahan  bermula dengan persoalan asas iaitu Melayu itu siapa? Penonton juga dibawa  menyusuri zaman kegemilangan, kejatuhan serta kebangkitan semula bangsa melalui  monolog, puisi, gerak tari dan penceritaan yang sarat nilai emosi dan simbolisme,”  tambahnya. 

Menurut Sakrani, pementasan tersebut bukan sekadar hiburan seni, tetapi wahana  untuk menghidupkan kembali tradisi dan estetika teater Melayu dalam konteks moden.  

“Lebih penting, ia bertujuan mengangkat kembali martabat bahasa dan sastera  Melayu sebagai teras pembinaan tamadun yang tinggi, selaras dengan agenda  kebudayaan nasional dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan,” ujarnya. 

Katanya, persembahan berkenaan menampilkan rangkaian puisi terpilih yang disusun  secara dramatik, antaranya Maaf Hamba Bertanya, Quo Vadis Bahasaku? Tragedi Perpecahan Alam Melayu Raya, Melayu Itu Siapa, Madah Jebat Ketika Rebah di  Pangku Tuah dan banyak lagi.  

Pementasan tersebut menampilkan penyair dan pelakon teater seperti Datin Seri  Haryani Haron, Datin Seri Nurmala, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Lin Haslinaz,  Lim Ah Nee, Dr. Ferri Anugerah Makmur dan Marzelan Perindu Seni

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN