Bahasa Melayu ialah bahasa yang sentiasa hidup. Maka perbendaharaan katanya terus subur seiring dengan perkembangan ilmu semasa. Ini bermakna dari sehari ke sehari, muncul kosa kata atau perbendaharaan yang baharu selari dengan kemunculan ilmu baharu dan menjadi tanggungajwab DBP menangananinya.
Sebagai pengguna bahasa Melayu atau penutur bahasa Melayu, ini antara cabaran utama apakah kota kasa sesuai yang boleh digunakan dalam istilah ilmu tertentu. Apatah lagi penutur bahasa Melayu semakin ramai dan kini dianggarkan kira-kira 400 juta orang penuturnya terutama di rantau Asia Tenggara.
Lebih daripada itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan perancangan dan perkembangan bahasa Melayu berdepan cabaran lagi besar mendepani isu ini.
Ketika ini Perkara 152 Perlembagaan melindungi kepentingan bahasa Melayu tetapi itu bukan jaminan bahasa ini akan terus terpelihara jika penuturnya tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul.
Penggunaan bahasa Melayu akan terjejas sekiranya tidak berkembang mengikut masa. Maka, bagi mengatasi masalah itu, DBP sentiasa berperanan memantapkan penggunaan dan perkembangan bahasa Melayu dan mencetuskan inisiatif ke arah itu termasuklah menerbitkan Kamus Dewan sejak 1970 bertujuan menambah kosa kata menerusi penyusunan Kamus dan terus ditambah baik hinggalah kepada Kamus Dewan Edisi Keempat pada 2005.
Terbaharu DBP menampilkan Kamus Dewan Perdana (KDP) yang siap tahun lepas dan mula diusahakan sejak tiga dekad Kamus ini mengandungi 120,000 entri atau kata masukan berbanding 89,000 kosa kata pada kamus dewan terdahulu. Penerbitan kamus ini merupakan projek berimpak tinggi yang kini dalam usaha mempromosikannya untuk kegunaan pelbagai kumpulan sasar.
KDP ialah kamus bahasa Melayu yang pertama di dunia yang memanfaatkan sumber data daripada pangkalan data korpus yang dibangunkan DBP dan juga data Internet .
Data korpus yang besar dan luas ini membolehkan penyusun kamus memanfaatkan data secara optimum untuk menghasilkan pemerian makna kata yang jitu. Kata-kata baharu yang muncul hasil daripada kepesatan perkembangan ilmu dan keperluan komunikasi semasa turut dirakamkan dalam kamus ini
Kata-kata baharu yang terdiri daripada kata umum, istilah khusus, kata dialek, slanga dan lain-lain. Kata-kata seperti nama khas seperti nama tokoh negara, anugerah, dasar negara, keajaiban dunia yang sebelum ini tidak terdapat Kamus Dewan turut dijadikan kata masukan.
Sebagai usaha rintis, beberapa imbuhan awalan, akhiran dan apitan terpilih dalam bahasa Melayu turut dihuraikan. Setiap kata masukan disertakan dengan maklumat baharu seperti tulisan jawi sebutan kelas kata, nota pengguna bagi kata tertentu dan maklumat etimologi bagi kata terpilih.
Dalam KPD, maklumat kelas kata terdiri daripada kata nama, kata kerja kata adjektif dan kata tugas. Kata kerja dipecahkan kepada kata kerja transitif dan kata kerja tidak transitif manakala kata tugas pula dibahagikan kepada kata adverb, kata seru, kata hubung, kata sendi, kata bilangan, kata nafi, kata bantu, kata perintah, kata tanya, kata pangkal ayat, kata penegas, kata penekan, kata pembenar kata pembenda , kata pemeri dan kata penguat.
Ini julung kalinya kamus terbitan DBP memasukkan maklumat etimologi.
Sebanyak 7,000 kata terpilih telah diberikan maklumat etimologinya dengan sebahagian besar olahannya disediakan oleh pakar etimolog bahasa Melayu. Nota pengguna pula mengandungi maklumat tambahan bagi sesuatu kata yang dipaparkan di dalam kotak atau kurungan dan bertujuan untuk membimbing penggunaan dari segi penggunaan kata tersebut.
Pengguna sasaran utama kamus tersebut adalah penutur asli bahasa Melayu dan bukan penutur asli tetapi mahir menggunakan bahasa Melayu yang secara umumnya penggunaan dewasa terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat latar belakang pendidikan dan bidang pengkhususan.
Kamus ini tampil dalam saiz yang lebih besar dengan reka letak yang terbahagi kepada tiga lajur serta susun atur masukan yang menurut abjad dan maklumat bahasa yang mudah dibaca dan difahami penggunaannya.
Bekas Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera Dr. Rusmadi Baharudin, yang ditemui dalam Program Pembudayaan dan Pemasyarakatan KDP baru-baru ini berkata, kamus tersebut kini sedang dipromosi penggunaannya untuk pelbagai sektor termasuklah agensi kerajaan dan sektor pendidikan dan media. Kamus seberat lebih 30 kilogram itu dihasilkan menerusi 66 petugas termasuk informan dan empat ketua editor bagi kerja kerja penyusunan dan penambahan dialek negeri.

“Semua dialek negeri yang ada dalam Kamus Dewan terdahulu kita bedah semula untuk mencari makna baharu dan perluasan makna kata- kata terbitan baharu yang dibantu oleh informan ini.
“Kita turun ke lapangan untuk penambahbaikan entri-entri baharu daripada dialek negeri-negeri dan mencari perkembangan dan perluasan maknanya,” ujarnya kepada Mingguan Malaysia yang menyifatkan produk tersebut merupakan signature DBP yang dihasilkan menerusi salah satu projek berimpak tinggi agensi berkenaan yang dimulakan kerja-kerja penyusunannya pada 1993 dan dilancarkan pada 2022.
Justeru kamus ini wajar dimanfaatkan terutama golongan penulis sasterawan, wartawan sebagai usaha memperkemas penggunaan bahasa Melayu dalam apa juga bidang. Perkara yang lebih perlu adalah DBP harus terus mempromosi dan memasyarakatkan kamus supaya pengguna wajar memanfaatkannya.
Ini bukan sekadar menghargai penerbitan kamus berkenaan tetapi membantu pengembangan hahasa Melayu yang diusahakan selama puluhan tahun, satu usaha yang rumit dan lebih baik berbanding Kamus Oxford yang diusahakan selama 50 tahun.
Rakaman data bahasa Melayu dalam Kamus Dewan terbitan edisi pertama sebanyak 68,157 entri/subentri dan data kamus terkini telah meningkat kepada 120,000 entri/subentri yang dimasukkan dalam Kamus Dewan Perdana.
Mengulas penerbitan kamus itu, Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari berkata, sejak era pascamerdeka, bahasa Melayu berkembang dengan pesat dan merentas pelbagai bidang ilmu.

Katanya. rakaman data bahasa Melayu dalam Kamus Dewan terbitan edisi pertama sebanyak 68,157 entri/subentri dan data kamus terkini telah meningkat kepada 120,000 entri/subentri yang dimasukkan dalam Kamus Dewan Perdana.
“ Kamus Dewan Perdana mengandungi 2567 halaman dan tampil dalam saiz yang lebih besar dengan reka letak yang terbahagi kepada tiga lajur bagi setiap halaman, serta susun atur entri, subentri dan maklumat bahasa yang mudah dibaca dan difahami pengguna.
“Setiap entri dan subentri diberikan huraian makna berasaskan analisis, di samping maklumat ejaan Jawi, sebutan yang mengandungi transkripsi fonetik, kelas kata, maklumat etimologi serta nota pengguna,” ujarnya.
Kata beliau lagi, DBP akan terus mempergiat usaha pembinaan dan pengembangan bahasa agar terus berkembang subur dan unggul sehingga ke persada antarabangsa dan lantaran itu perakaman kosa kata dalam bentuk kamus akan diteruskan sebagai bukti kekuatan bahasa dan untuk rujukan dari generasi ke generasi. – UTUSAN










