Negeri Pahang Inderapura kini Pahang Darul Makmur melakar banyak sejarah kebudayaan, kepahlawanan dan kesenian turun temurun yang diwarisi generasi terkini.
Dalam filem Hang Tuah lakonan seniman Agung, Tan Sri P.Ramlee yang bertandang ke Pahang bagi memikat Puteri Tun Teja turut menari dan menyanyi Joget Pahang.
Usaha Radio Televisyen Malaysia (RTM) mempelopori dan mengetengahkan Seni Warisan Senandung Rakyat Pahang di kaca televisyen baru-baru ini telah membuka mata banyak bahawa Pahang amat kaya dengan khazanah budaya dan kesenian bertaraf mega.

Keberangkatan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menambah seri dan aura program berkenaan.
Program hampir dua jam itu lebih ‘hidup’dan ceria dengan gandingan pengacara dan pelakon Norkhairiah Ahmad Shapie dan DJ Saiful Harun Selamat yang menyampaikan dengan loghat Pahang.Namun alangkah baiknya sekiranya dalam ruang yang ada itu loghat berkenaan disampaikan mengikut ‘aliran Sungai’ kerana loghat Pahang berbeza mengikut daerah.
Penampilan Istimewa Man Kayan, Anok Semantan, Roslan Madun, Chik Asan, Farah Waheeda, Iera Malik, Safar Shah, Soul Bahari dan persembahan undangan Datuk Zainal Abidin menyerlahkan program ini sebagai khazanah rakyat Pahang.

Bagaimanapun, Seni Warisan Rakyat Pahang lain perlu juga diketengahkan antaranya dikir rebana, nazam, syair, gurindam seloka atau bahasa berirama yang menjadi mainan setiap kali ada keramaian dan majlis perkahwinan.
Persembahan pembukaan Farah Waheeda dengan lagu Uwelah Atuk,Ayam Denok’ dan Seri Peterana dengan iringan penari mencetus mood penonton untuk melihat persembahan seterusnya daripada artis tempatan.
Kumpulan Semantan yang mengetengahkan muzik loghat Pahang ditubuhkan pada 2006 dianggotai oleh Fadlina, Zurin, Putra, Pyan dan Hariz mempserembahan lagu popular mereka Gema Loghat Pahang, Kole Semantan dan lain-lain.
Sul Bahari pula dengan penuh gaya loghat Temerloh menyampaikan lagu Makwe Koi dan Anok Ayam Didik. Safar Shah pula terus menyemarakkan suasana dengan lagu Pahang di Sanjung dan Tenun Pahang.
Penampilan Noor Azman Norawi atau Man Kayan dengan Kumpulan Anak Kayan yang dianggotai anak dan cucu-cucu serta saudara terdekat menyemarakkan lagi program ini.
Man Kayan menyampaikan lagu Baler-Baler, Mudik Ke Hulu yang diiringi muzik tradisional seperti gendang, dan gong yang menambah nilai estetika dalam persembahannya.
“Saya menubuhkan Kumpulan Anak Kayan untuk memastikan seni tradisional Pahang seperti lagu rakyat dan Gendang Pahang dipelihara,” katanya yang juga susur galur Pahlawan Semantan Tok Bahaman.
Persembahan anak jati Chenor Hasan Abu atau Chek Asan mewarnai loghat daerah Chenor dengan lagu Mainan Jaman Tori, Omtiner Koi yang menyegarkan ingatan permainan semasa kanak-kanak.
Persembahan lagu Menyusur di Sungai Pahang dan Walinong Sari oleh penyanyi Irama tidak kurang hebatnya yang membangkitkan nostalgia zaman silam.
Satu persembahan yang dianggap klasik dan adaptasi kecantikan dan kependekaran Puteri Walinong Sari dipamerkan Suzi Sulaiman yang mewakili Persatuan Seni Silat Cekak Harimau Malaysia.
Ketangkasan Suzi berpencak sambil bersajak sangat kena dan santun tetapi tegas bahawa manifestasi anak Pahang yang merendah diri tetapi pantang dicabar !
Kemunculan penyanyi Roslan Madun yang membawa lagu popularnya Menghilir di Sungai Pahang dan Lemak Manis menjadikan anak Temerloh itu lebih dekat di hati peminatnya yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak.
Persatuan Pencinta Loghat Daerah Negeri Pahang ( PPLP) Afzainizam Ismail yang juga komposer sangat teruja apabila medium Kerajaan memberi ruang kepada penggiat seni Pahang untuk tampil di kaca televisyen.
‘Ini kerana penggiat seni rakyat ini perlu diberi peluang mengetengahkan bakatnya di medium arus perdana setelah mereka disaingi hebat dengan unsur hiburan lain di hujung jari,” katanya.
Menurutnya lagi, Seni Warisan Senandung Rakyat Pahang bukan sahaja mengetengahkan loghat Pahang tetapi juga cara berbusana ikatan Pahang yang menggunakan tanjak Melayu Pahang. – UTUSAN









