Dewan Bahasa Pustaka (DBP) yang merayakan sambutan ulang tahun penubuhannya ke-68 semalam, banyak berjasa sebagai agensi yang mendukung dan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini.
Berdasarkan kepada usia penubuhannya itu , banyak peranan dan sumbangan yang dibuat setakat ini, malah lebih daripada itu.
Sempena sambutan ulang tahunnya itu, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari berkongsi iltizam agensi tersebut.
Kata beliau , sambutan ulang tahun kali ini membawa kelainan kerana diadakan bukan di premis DBP tetapi di Pulau Pinang, atau lebih tepat lagi di SMK Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Hal ini membuktikan bahawa DBP sentiasa dekat dengan khalayak tanpa mengira lapisan masyarakat.

Segala benih usaha yang disemai oleh DBP selama 68 tahun, khususnya dalam aspek pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa moden, bahasa pentadbiran, bahasa pendidikan, bahasa ekonomi dan bahasa komunikasi, rakyat sedang menuai hasilnya.
Pelbagai pihak melahirkan kecaknaan mereka dan percaya akan fungsi dan peranan agensi tersebut dengan meletakkan kembali DBP sebagai peneraju bahasa dan sastera kebangsaan.
DBP sebenarnya telah pun mendekati masyarakat dan lebih enam dekad melakar sejarah bersama-sama rakyat negara ini, menjalankan fungsinya sebagai institusi nadi penggerak dalam upaya memartabatkan bahasa dan persuratan kebangsaan.
Hazami berkata, beliau mahu DBP terus mendukung matlamat utamanya menjadikan Bahasa Melayu Bahasa Utama Dunia menerusi enam fungsinya seperti termaktub dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Akta 213).
DBP dapat berevolusi dan beradaptasi dengan cepat kepada perubahan supaya terus kekal relevan. Langkah berani mengabadikan “Kesaktian Lidah Rakyat” sebagai slogan sambutan tahun DBP yang ke-68 yang dipetik daripada satu daripada baris seni kata yang terkandung dalam lagu Dewan Bahasa karya Sasterawan Negara Datuk Usman Awang.
Slogan tersebut amat signifikan dengan suasana dan situasi kini dan masyarakat sudah pun memperaku kelahiran organisasi ini adalah atas desakan daripada kesaktian lidah rakyat, yang menuntut kedudukan istimewa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ungkapan Kesaktian Lidah Rakyat merupakan metafora atau perlambangan ampuh yang menyoroti suara kolektif dan pengaruh rakyat tidak hanya merujuk kepada kekuatan suara rakyat, tetapi juga kepada kesaktian bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan yang kita gunakan di negara ini.
Ini kerana Bahasa Melayu berperanan utama dalam membangunkan, mempersatukan, dan memajukan bangsa Malaysia.
Selain itu, DBP juga melestarikan dan mengembangkan bahasa Melayu, bererti melestarikan dan memperkuat kesaktiannya dalam kehidupan berbangsa dan bernegara di bumi Malaysia tercinta ini.
Bahasa Melayu juga menjadi pancang utama pembinaan negara bangsa akan terus dilestarikan melalui program penggalakkan, pemupukan dan pembudayaan tiga teras utamanya, iaitu bahasa, sastera dan penerbitan kepada segenap lapisan masyarakat.
“Secara peribadi, saya menyasarkan usaha gigih kepada serampang dua mata sebagai iltizam utama, iaitu status bahasa Melayu dan benahi harapan masyarakat terhadap bahasa Melayu,” ujar Hazami.
Menyingkap kembali lipatan sejarah awal penubuhannya, DBP ditubuhkan di Johor Bahru sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pendidikan pada 22 Jun 1956 bertujuan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu. Nama asalnya ialah “Balai Pustaka”.
Matlamat penubuhan DBP seperti yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan, mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain.
DBP juga berperanan membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;
Selepas Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16 hingga 21 September 1956, Balai Pustaka dinamakan sebagai “Dewan Bahasa dan Pustaka” atas cadangan kongres tersebut.
Dengan kepesatan dunia tanpa sempadan melalui penggunaan pelbagai aplikasi dalam talian, impak media sosial, dunia pendigitalan dan terkini teknologi kecerdasan buatan (AI), menjadi antara cabaran baharu buat DBP, bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu terus kukuh sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa negara.
Berdasarkan sejarah yang dikongsikan oleh DBP, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Jamalullail ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail dalam satu perhimpunan kanak-kanak pada 17 September 1963 bertitah dan menyeru agar rakyat, khususnya kanak-kanak yang hadir memberikan keyakinan yang teguh kepada negara Malaysia yang baru ditubuhkan ketika itu.
Yang terpenting dalam titah tersebut, baginda mengumumkan tujuh simbol asas negara tercinta Malaysia.
Satu daripada simbol tersebut ialah DBP.
Hari ini selepas 68 tahun penubuhannya, banyak pencapaian yang telah dicapai oleh DBP, antaranya • Penciptaan lebih satu juta istilah dalam pelbagai bidang.
• Portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dibina awal era tahun 2000.
• Kamus Dewan Perdana yang mempunyai 120,000 entri dan 7000 data etimologi (asal usul kata).
• Pelantar Digital JendelaDBP pada 2022 yang telah mencapai lebih 2 juta pengunjung.
• Pada 2023, DBP menerbitkan 366 judul am baharu, 177 judul am ulang cetak, 133 keluaran majalah, lapan keluaran jurnal dan kanun, 215 buku teks skim pinjaman (buku cetak semula) dan 98 judul buku teks pasaran terbuka (buku cetak semula.) Pada setiap tahun, DBP akan mempertingkat jumlah penerbitan antara lima hingga 10 peratus dengan bilangan staf editorial yang ada.
• Usaha yang berterusan menerusi aktiviti Majalah Dalam Kelas (MDK).
• Bulan Bahasa Kebangsaan disambut oleh negara saban tahun dengan fasa pelabelan nama seperti Minggu Bahasa Kebangsaan, Bulan Bahasa Kebangsaan, Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Dekad Bahasa Kebangsaan.
• Penerbitan buku poket Hadis 40 Imam al-Nawawi serta pelaksanaan program pembudayaan Hadis 40 Imam al-Nawawi. Sambutan ulang tahun ini bukan diraikan di sekitar Kuala Lumpur sahaja, malah turut diraikan di DBP Cawangan Sabah, DBP Cawangan Sarawak, DBP Wilayah Timur, DBP Wilayah Utara, DBP Wilayah Selatan dan DBP Wilayah Tengah. – UTUSAN









