Yong dan Ramadan

Yong dan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS pemergian apak dan mak suasana Ramadan di rumah pusaka yang didiami Yong tidak lagi meriah seperti dulu. Yong hanya diamanahkan menjaga rumah pusaka ini yang difaraidkan menjadi bahagian adik lelaki tunggalnya Muaz yang mendapat 2/5 bahagian berbanding mereka adik beradik perempuan masing-masing 1/5 bahagian.

Jika dinilaikan rumah dan tanah maka Muaz bersetuju mengambil tapak rumah dan tanah sementara dua adik perempuannya yang lain dan Yong mewarisi bahagian tanah. Yong kini meneruskan kehidupan dengan hasil pendapatan menjual kuih muih Melayu untuk sara diri sendirian.20 tahun dulu selepas kematian apak, Yong mengambil alih peranan apak membesarkan adik-adik kerana mak hanya seorang suri rumah tiada pendapatan.

Dengan hasil titik peluh Yong meniaga kuih adik beradiknya semua berjaya mendapatkan pendidikan terbaik dan kerjaya yang baik. Mereka tidak dapat menjaga kebajikan mak kerana masing-masing tinggal di bandar jadi mereka bersepakat memberikan belanja hampir 2 ribu sebulan untuk menampung keperluan susu dan lampin pakai buang mak. Selepas gemulah mak selamat kembali bertemu Pencipta, Yong sebatang kara ibarat berkandilkan bulan. Selepas pembahagian harta mak sepakat mereka bersetuju Yong menumpang di rumah pusaka.

Memahami tiada tanggungjawab adik-adik menyaranya Yong kembali mengusahakan pembuatan kuih muih tradisi. Bulan Ramadan, kuih Badak Berendam, bubur Anak Lebah, dan bubur sum sum mendapat sambutan. 20 tahun lalu kecantikan Yong bagai bulan penuh mengambang di kaki awan berbanding kini di usianya hampir 62 tahun seperti bulan di siang hari.

Dahulu hampir lima pinangan ditolak demi membesarkan adik dan selepas itu tanggungjawabnya berterusan demi memelihara gemulah mak. Kini, Yong sendiri. Airmata bertakung.

“Yong, Yong.” Wan Habi menggoncang bahu kiri Yong yang mengelamun jauh

“Rindukan Etonlah tu.” Wan Habi membuat andaian Yong merindui gemulah mak.

“Habis dah jualan kau, Yong. Bolehlah balik awal.” Ujar Wan Umi.

“Yong tunggu sini, tolong Wan berdua habiskan jualan,” ujarnya. Kedua-dua wanita sebaya gemulah mak yang dipanggilnya Wan itu bersyukur dengan budi baik Yong membantu mereka di gerai. Sepatutnya Yong dihargai adik beradik bukan sahaja ketika gemulah mak hidup kerana dia yang menggantikan peranan ketua keluarga.

Tapi Wan Habi dan Wan Umi tak berani bersuara tentang adik-adiknya. Yong ikhlas dan merelakan kerana baginya itu tanggungjawab dan dia tidak mahu adik-adiknya dibebankan dengan isu ralat, dosa, keberkatan dan sebagainya betapa mulianya hati Yong.

Kelibat kereta mewah berhenti di hadapan gerai niaga mereka membuatkan mereka saling berpandangan ketika tangan masing-masing ligat mengemas bekas jualan.

Maklum sahaja di bulan Ramadan kuih muih laku dijual sebagai pembuka selera jadi tidak sampai dua jam selepas membuka gerai semua jualan habis diborong.

“Said rupanya. Habis dah semuanya Said. Tinggal bekas kosong je.” Wan Habi menjelaskan ketika Said turun dari kereta.

“Alhamdulillah laku ya, Wan?” Tanya Said sambil menjeling Yong yang kelihatan lesu dan tidak menyapanya di sebalik mata redup Yong yang cuba diintainya.

“Yong sihat?” Yong bagai tersentak dari lamunan dan senyum tawar mengangguk perlahan. Walaupun senyum Yong tawar pada Said ia segaris senyum itu manis sekali. Inilah wajah yang pernah mengisi ruang hatinya 40 tahun yang lalu, pegun masa membeku walau usia mencemburui mereka Said tetap memandang Yong wanita terbaik yang pernah dikenalinya.

“Alhamdulillah. Saya hantar semua baliklah? Tak perlu jalan balik ke rumah.” Tawar Said. Wan Umi dan Wan Habi kedua-duanya setuju. Yong sahaja yang menolak sopan beralasan dia akan berbuka di masjid sahaja.

“Tak mengapa, saya pun hala ke masjid juga. Sekali jalan.” Penjelasan Said membuatkan Yong gagal mengelak.

Yong segan kerana hampir 40 tahun lalu pinangan Said ditolak kerana dia perlu menjadi ketua keluarga. Jika dibandingkan kini, Yong sudah kelihatan berusia berbanding Said yang masih segak dengan gaya korporat. Yong kurang selesa kerana dia tidak tahu sama ada Said telah berkeluarga dan bimbang menjadi bahan fitnah.

“Yong, kan nak ke masjid?” Soal Said apabila Yong terus turun apabila Wan Habi dan Wan Umi turun di perkarangan rumah mereka sambil mengucap terima kasih.

“Tertinggal telekung. Terima kasih.” Balasnya berdalih.

Wajah Said ibarat bulan mengambang di kandung awan mudah dibaca oleh Wan Habi dan Wan Umi. Mereka kasihan dengan layanan dingin Yong.

“Yong bukan ke nak ke masjid?” Soal Wan Habi sekali lagi. Sengaja.

“Kau mengecek Said ya?” Usik Wan Umi. Wan Habi ketawa terkekeh-kekeh.

“Tak manislah Wan.” Yong menjelaskan alasannya beralasan menolak dan berpusing cakap sekejap hendak ke masjid alih-alih turun di hadapan rumah Wan Habi dan Wan Umi. Yong menawarkan diri berbuka menemani kedua wanita itu.

“Said tu kan duda. Isterinya dah meninggal 10 ke 15 tahun sudah.” Wan Habi membuka bicara. Tersembur air sirap diteguk Yong.

“Kenapa Wan beritahu Yong, Wan nak kahwin dengan Said ?”

“Astarghfirullah. Kami berdua ini dah ganyut, kubur panggil mari. Agak-agak lah Yong. Said tu muda lagi.” Wan Habi membalas laju

“Yong yang dah tua. Said memang muda.” Jawab Yong jujur jika dibandingkan fizikalnya dan Said memang nampak bezanya kerana dia memikul segala beban mendirikan keluarganya dahulu.

“Said masih sayangkan Yong tu. Kami doakan yang baik-baik untuk kalian. Yong pun dah sebatang kara.” Tutur Wan Umi sambil mengusap belakang Yong. Sebatang kara kerana adik-beradiknya mempunyai komitmen sendiri, Yong faham sekali itu. Dia akur dan sebagai Yong doa tulusnya sentiasa mengiringi mereka.

Bulan jatuh ke riba

“Umur Yong dah 62, Yong hendak kahwin?” Ujar Muaz sedikit tidak percaya.

“Umur berapa patut Yong kahwin?” Balas Yong lembut. Muaz diam. Kedua-dua adik perempuannya tidak dapat pulang kerana masing-masing sibuk dengan urusan keluarga sebelah suami.

Ketika Yong menelefon Natrah, isteri Muaz memberitahu keputusan menerima pinangan Said dan meminta Muaz menjadi wali hanya Muaz dan Natrah sahaja yang lapang untuk pulang menemuinya.

“Kita bantu mana yang perlu ya Yong.” Lembut Natrah isteri Muaz meredakan ketegangan dua beradik dan mengusap lengan Yong.

“Yong bukan nak susahkan adik-adik, Yong hanya maklum untuk walikan Yong dan urusan perkahwinan semua insya-Allah Abang Said uruskan.” Yong berkata tegas.

“Bukan masalah siapa nak uruskan. Lepas kahwin rumah ini macam mana? Yong nak duduk mana?” Muaz masih tidak habis bersoal jawab. Natrah memberi isyarat agar Muaz tidak meneruskan pertanyaan yang baginya menyinggung dan tidak perlu diajukan kepada Yong.

Selama ini layanan suami dan adik beradik pada Yong sudah cukup tidak adil. Cuma dia tidak mahu ikut campur. Yong dilihat jelmaan mak pada pendapat Natrah yang sangat menghormati Yong. Natrah paling gembira apabila Yong menelefon memberitahu keputusannya berkahwin.

“Yong dah fikir masak-masak? Bulan-bulan puasa ini nak buat kerja kahwin. Bukan kebiasaan adat.” Muaz mengerutkan dahi dan menyatakan pendapatnya.

“Yong patut fikir masak-masak semua ini 40 tahun lepas Muaz. Bukan sekarang, bukan Ramadan kali ini. Ramadan 40 tahun yang lalu.” Jawab Yong melepaskan pegangan Natrah dan masuk ke dalam bilik gemulah mak. Muaz tersentak.

Betul kata Yong, kalau 40 tahun lalu Yong buat keputusan berkahwin, Yong mungkin jadi macam dua adik perempuannya yang sibuk dengan urusan keluarga suami dan tidak dapat membesarkan adik-adik dan juga menjaga gemulah mak. Muaz tersedar dirinya yang terlalu alpa.

“Yong, kami balik dulu ya.” Natrah memberi salam di depan bilik Yong kerana Muaz bergegas pulang tanpa sempat berbuka dengan Yong sedangkan Yong telah siap masak lauk kegemarannya gulai tempoyak ikan patin dan tenggiri masak taucu.

Yong tahu Muaz sebenarnya sudah berpakat membeli bahagian tanah daripada kedua-dua adik perempuannya dan yang masih belum menjual bahagian hanya Yong seorang. Yong menghantar pesanan ringkas kepada Natrah menyatakan persetujunnya melepaskan bahagian faraid kepada Muaz tanpa bayaran dengan harapan perkahwinannya nanti disambut baik ahli keluarga. Yong tidak perlukan restu mereka, kerana Yonglah ketua keluarga selama ini.

Majlis pernikahan Yong berlangsung meriah. Muaz, Natrah, Musalmah dan Maria turut pulang meraikan hari pernikahan Yong. Yong dan Said bernikah di masjid selepas Asar dan menjamu makanan berbuka dan moreh di masjid kampong mereka. Tujuh ekor kambing golek disediakan. Muaz sedikit terkejut melihat kemewahan majlis Yong kerana dia tidak menyangka abang iparnya agak berada.

“Yong, Muaz nak beritahu yang tanah dan rumah pusaka ini sebenarnya Muaz dah jual. Muaz malu nak beritahu Yong, Muaz ada masalah kewangan maafkan Muaz ya. Maafkan Muaz.” Muaz terpaksa menceritakan masalah dirinya agar Yong tidak salah sangka.

“ Tak apa. Jangan bimbang, Yong yakin adik-adik Yong akan bangkit dan Allah luaskan rezekinya. Benda tu semua pinjaman sahaja.” Yong memeluk Muaz erat.

Muaz tidak menyangka sebesar dan mulianya hati Yong tetap tidak berubah walau dia telah bersalah berkali-kali mengabaikan dan melukakan hati Yong. Yong berserah pada Allah untung nasibnya dan tidak ralat harta pusaka terpaksa dikorbankan demi ahli keluarga lain.

Selepas majlis pernikahannya Yong pulang ke rumah Said. Barang-barang di rumah pusaka pun hanya sedikit pakaian elok dan keperluan diri jadi tidak sampai dua beg troli sahaja diangkut ke rumah suaminya.

“Hadiah perkahwinan kita, ikhlas untuk Yong. Bukalah.” Said memberi geran tanah kepada Yong. Mata Yong berkaca.

“Subhanallah, tanah arwah mak dan apak, Abang yang beli?” Yong hampir menjerit wajahnya bercahaya.

“Ya, Muaz tak perasan sebab peguam yang uruskan semuanya. Nanti Yong beritahu adik-adik supaya jangan risau. Rumah kita terbuka untuk mereka bila-bila masa sepanjang tahun bukan Ramadan atau Syawal saja.” Said mengusap kepala Yong.

Ramadan kali ini ibarat bulan naik matahari naik bagi Yong. Segala-galanya seolah-olah terbalas walau sudah 40 tahun Yong menjadi sinar rembulan cahayanya tetap bergemerlapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN