Konflik dalam ‘tari pasar perempuan’

Konflik dalam ‘tari pasar perempuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kumpulan Cerpen dihasilkan penulis Fazleena Hishamuddin mempunyai 17 cerpen memaparkan konflik-konflik ‘dalaman’ manusia yang rencam . Secara ringkasnya, Fazleena ialah seorang ibu, penggiat teater dan penulis lirik. Lirik sentuhannya ‘Pelukan Angkasa’ berjaya menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 pada tahun 2022.

Cerpen ‘Temasya Makan Malam’ menceritakan konflik Cahaya Maria (Cah) tertanya-tanya perubahan sikap bondanya, Zaleha yang menyukai telefon pintar. Kalau dulu Zaleha menggunakan pen dan kertas bagi mencatatkan sesuatu sebagai komunikasi pada anak-anaknya tetapi kali ini tidak. Zaleha lebih suka menggunakan telefon pintar. Dia juga tidak suka lagi menggunakan kaedah bersemuka seperti terdahulu.

Selain itu, konflik yang ditimbulkan penulis adalah tentang menu makan malam yang sama dari dulu hingga sekarang. Menu makan malam sekeluarga ini bersifat kekal iaitu tomyam ‘seafood’, ayam masak merah, kangkung goreng belacan dan betik sebagai pencuci mulut.

Zaleha juga mendatangkan konflik pada keluarganya apabila enggan menggunakan orang gaji bagi membantunya kerja-kerja di rumah. Dia menetapkan masakan ‘air tangan isteri’ sajian makanan untuk keluarganya.

Zaleha turut terancam dengan konflik dalam dirinya apabila tidak seorang pun ahli keluarganya yang ‘follow’ media sosial Instagramnya setelah menggunakan telefon bimbitnya kecuali Cah. Inilah konflik-konflik yang digarapkan penulis bagi mencernakan cerpennya.

Sementara itu, cerpen ‘Lagu Dalam Kelambu’ pula menceritakan konflik dalam diri Mak Yang yang menjadi gila apabila kekasihnya lari meninggalkannya sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan.

Kekasih Mak Yang itu ‘dikebas’ kawan baiknya sendiri. Tok Wan yang berasa terkejut dengan kejadian yang menimpa Mak Yang meninggal dunia kerana serangan jantung. Konflik dari diri Mak Yang semakin memuncak setelah kehilangan kekasihnya dan Tok Wan meninggal dunia. Apa yang paling mengecewakan

Sewaktu kematian Opah, Mak Yang mengamuk kerana melihat mereka memasukkan jenazah opah ke liang lahad. Setelah ketiadaan Opah, Mak Yang dijaga secara bergilir oleh Pak Long, Pak Ngah dan adik-adik lain.

Mak Yang menjadi pembunuh sewaktu istiadat menepung tawar di majlis perkahwinan Angah. Ketika bakal suami Angah menghulurkan tangan dan bersalaman dengannya. Mak Yang menikamnya bertalu-talu menyebabkan bakal suami Angah maut di tempat kejadian. Mak Yang dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk rawatan susulan.

Fazleena menghidupkan ‘plot twist’ dalam mengakhiri cerpennya ketika Angah mengeluarkan pisau dari beg sandangnya dan menikam Mak Yang ketika melawat Mak Yang yang dirawat di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

Bagi cerpen ‘Menjual Kenangan Di Jalan Memory Lane’ pula menceritakan Wani dan Atok Deris yang berdagang barang antik di Pasar Karat (juga dikenali Pasar Loken) terletak di Jalan Memory Lane itu. Konflik dalam cerpen ini terjadi apabila tidak semua barang-barang antik boleh dijual walaupun ada permintaan daripada pengunjungnya dan hanya layak disimpan untuk memelihara kenangan yang berada di dalamnya.

Konflik yang dibawa dalam cerpen ‘Bertenang dan Ciumlah Ubun-Ubun Kucingmu’ berlaku dalam rumah tangga mami dan suaminya dengan dua ekor kucing peliharaan mereka iaitu Wani dan Tun Teja. Mami dan suaminya sudah tujuh tahun berkahwin dan tidak mempunyai cahaya mata. Dua ekor kucing mempunyai keinginan ‘mengawan’ dan disebabkan itu, Wangi hampir melepaskan nafsunya dengan bondanya yang dianggap sebagai ‘sumbang mahram’ pada pandangan Mami.

ULASAN BUKU
Judul: Tari Pasar Perempuan
Genre: Kumpulan Cerpen
Pengarang: Fazleena Hishamuddin
Harga: RM 30.00
Tahun: 2024
Penerbit: Nusa Centre, Bangi, Selangor.
Pengulas: Ismail Hashim

Bagi mencegah perkara ini Wani dan bondanya (Tun Teja) dimandulkan. Namun, Tun Teja lebih menunjukkan sikap memberontak dan mendorongkan mami menghantar Tun Teja ke kampung dan meninggalkan Wani dalam kerinduan kerana terpisah dengan bondanya itu.

Cerpen ‘Berpayung Emas Di Puncak Tabur’ pula menceritakan konflik dalaman antara Zunaira dan bakal madunya, Kak Zakiah. Zunaira bakal berkahwin bulan depan. Zunaira dan Kak Zakiah bertemu di kaki Bukit Tabur bagi sama-sama mendaki bukit itu.

Bukit Tabur ini terkenal sebagai bukit berdarah dan Zunaira was-was terhadap pertemuan itu sendiri, terutamanya bakal berdepan dengan kehidupan berpoligami. Konflik lain pula terjadi apabila Kak Zakiah menghulurkan

Zunaira coklat di ‘check point’ ketiga kerana berasa bimbang cokelat itu sudah diletak racun, ia tidak dijamah Zunaira.

Mereka sampai ke puncak Bukit Tabur dan menikmati nasi lemak di ‘check point’ yang terakhir. Ketika sedang ber’selfie’ untuk kenangan di hujung lereng bukit, Kak Zakiah melepaskan pelukannya daripada pinggang Zunaira dan menyebabkan tubuhnya terawang-awang jatuh dari puncak Bukit Tabur ke tanah.

Cerpen ‘Kopi Jos dan Petikan Kecapi Di Angkringan’ menceritakan Neng yang membuat pelbagai jenis kerja bagi mendapat wang menyara diri dan anak-anaknya. Neng sudah tua dan rambutnya sudah beruban bermain kecapi untuk menghiburkan orang ramai yang menikmati kopi jos di pinggir jalan Angkringan. Setelah tugasnya selesai, Neng menyambung kerjanya di Dangdut Aman sebagai penyanyi di pusat seni budaya.

Cerpen ‘Tari Pasar Perempuan’ mengisahkan konflik yang dihadapi Mawar dan rakannya mahu menghidupkan tarian Makyung. Tarian ini kurang diminati oleh generasi muda.

Selain menguruskan kedai makan milik ibunya yang ada penyakit manis kritikal, mereka juga berlatih tarian ini di rumah Mok Su- seorang primadona Makyung sekitar tahun 70-an.

Ketika sedang membuat persembahan yang melibatkan tarian dan berdongeng bersama rakan-rakannya, Mawar didatangi sekumpulan lelaki berserban memintanya memberhentikan persembahan tersebut. Permintaan lelaki itu tidak diendahkan dan berlaku ketegangan di ruang persembahan berkenaan.

‘Panggung Budiman’ pula menceritakan tentang Cik Sal (Salmiah) yang bertugas di Gedung Lakon Negara. Tugasannya menguruskan kebajikan para pelakon teater. Cik Sal masih belum bersuami. Usianya sudah melangkah 70 tahun. Cik Sal bertemu dengan seorang duda kematian isteri dan jatuh hati. Duda bernama Amran Ibrahim dan merupakan seorang legenda yang telah lama terpinggir dari lakonan teater.

Konflik dalam diri berlaku bila Cik Sal yang jatuh hati dan lelaki legenda itu yang mahu menghidupkan kembali kegemilangan dirinya suatu ketika dahulu.

Cerpen ‘Di matanya ada lautan’ mengisahkan Harith, ‘Director of Photography’ dari produksi Kelembai Studio bersama penerbitnya Kak Raiha telah kesulitan penduduk pulau itu bagi mendapatkan air bersih.

Ketika merakamkan kecantikan rumah air di kampung Pulau Gaya itu, Harith terjatuhkan lensa kamera produksinya yang mana kos peralatan itu mencecah ribuan ringgit. Sonya yang secara kebetulan berada di tempat kejadian terjun ke laut untuk menyelamatkan lensa kamera itu.Di sinilah titik pertemuan Sonya dengan krew produksi Kelembai Studio. Apa yang menariknya, Pulau Gaya ini mahu dijadikan pusat peranginan yang terkenal tetapi kebajikan penduduk-penduduk tempatannya tidak diberikan perhatian pihak kerajaan, terutamanya dalam membekalkan air bersih.

Saya melihat penulis berjaya mengetengahkan tiga aspek dalam melahirkan cerpen-cerpennya yang menarik dan berkesan iaitu konflik (mendorongkan sesuatu kejadian itu berlaku), ‘suspen’ (tekanan yang timbul daripada sesuatu tindakan), kepuasan emosi berdasarkan pengalaman berdasarkan dua aspek yang dinyatakan tadi.

Untuk mengetahui lebih terperinci cerpen-cerpen di dalam Kumpulan ‘Tari Pasar Perempuan’ ini, pembaca digalakkan mendapatkan senaskah buku ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×