KONTEMPORARI adalah istilah Inggeris ‘contemporary’, yang bererti masa kini, zaman sekarang atau mutakhir.
Karya seni kontemporari pula bermaksud karya seni yang dicipta oleh pengkarya sama ada pada tahun ini, bulan ini atau hari ini.
Ciri-ciri karya kontemporari, ia seharusnya lain daripada lain. Bahan diolah secara tersendiri, karya gabungan multi-media seperti arca, catan, muzik, persembahan, dalam komposisi tanpa struktur, karya merujuk kepada isu semasa dan setempat.

Bagi memastikan seni kontemporari terus relevan, sebanyak 52 karya seni seperti lukisan dan arca dipamer di Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2023 (PTGSA23) yang berlangsung selama sebulan mulai 27 Januari lalu hingga hujung bulan ini.
Seorang artis seni arca yang terlibat dalam pameran itu, Muhammad Ikmal Danieal Mat Jusoh, mengambil peluang ini menghasilkan karya bertajuk Al-Safa.
Karyanya yang bermaksud bersih dan suci, merupakan sebuah arca bebas tegak.
“Media yang digunakan adalah media besi seperti batang besi bulat dan piring besi.
“Saya terinspirasi daripada ciptaan Tuhan dan Tuhan telah menciptakan akal fikiran dalam diri manusia.
“Oleh itu, saya terfikir Tuhan telah mencipta akar yang subur pada tumbuhan seperti biji benih kelapa dan memberi hasil yang bermanfaat kepada manusia di mana kelapa bukan setakat buahnya kita dapat guna tetapi dari umbut, batangnya, pelepah daunnya dan tempurungnya dapat dimanfaatkan, “ katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di Galeri Shah Alam (GSA) baru-baru ini.
Muhammad Ikmal Danieal berkata, secara tersirat beliau terfikir bahawa dari sumber alam, Tuhan sebenarnya mahu mendidik kita.
“Di mana sekiranya akar hati kita ada dua iaitu akar keimanan dan akar nafsu.
“Jika akar nafsu itu yang terdiri daripada maksiat batin (riak, ujub, takbur dan sombong) kita buang dari akar umbinya maka insya-Allah eloklah diri kita dan kita semakin dekat dengan Allah,”katanya.
Seorang pelukis, Ng Yen Te, 52, pula melahirkan rasa gembira apabila karyanya berjudul‘Menikmati Aiskrim Bersama terpilih dalam pameran tersebut dan menerima insentif wang tunai RM3,000.
Guru lukisan sekolah swasta dari Klang itu berharap karya-karyanya akan terus menyemarakkan semangat perpaduan dalam negara ini.
“Lukisan ini dihasilkan menggunakan dakwat Cina. Karya ini adalah hasil pengamatan saya untuk menggambarkan keharmonian masyarakat majmuk di negara kita.
“Saya memilih aiskrim yang dimakan bersama-sama sebagai simbolik penyatuan kaum dalam lukisan tersebut,” ujarnya.
Selain Muhammad Ikmal Danieal dan Yen Te, tiga lagi artis menerima insentif sama ialah Mohamed Zaki Zakaria (Nelayan Dalam Lautan 2023),Mohamad Hassan (Bebas) dan Nor Syuhada Mohamed (Darah Daging).
Sementara itu Pengarah Galeri Shah Alam, Badrul Kahar Mohd. Yusof berkata, pihaknya menerima 166 penyertaan dari seluruh negara dan hanya 52 karya seni terpilih untuk dipamer kepada umum.
“Sebanyak empat kategori karya utama diperkenalkan dalam PTGSA23 kali ini iaitu gabungan tema luas, naratif sosiobudaya hingga eksplorasi rohani menerusi pelbagai medium seperti karya 2D dan 3D serta media baru.
“Semua penyertaan yang dipamerkan di Galeri Shah Alam adalah karya seni terkini dihasilkan oleh 52 peserta sepanjang tahun lalu,” terangnya.
Justeru kata Badrul Kahar, pihaknya mempelawa penggemar seni dan masyarakat umum berkunjung dan melihat sendiri keunikan dan hasil kreatif pengkarya lama dan baharu di pameran tersebut.
Beliau menambah, pameran yang menjangkau usia lebih 30 tahun tersebut telah berjaya menampilkan bakat karyawan seni visual baharu khususnya pelukis muda dalam membina karier menerusi seni kontemporari seperti arca.
“Dengan kejayaan ini, kita berhasrat untuk mengembangkan lokasi pameran bagi menampung minat dan penyertaan yang berkembang dalam seni kontemporari Malaysia.
“Seramai 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan pameran yang berlangsung serentak dengan musim cuti persekolahan awal tahun ini,” katanya. –UTUSAN










