Seorang klien baharu - Utusan Malaysia

Seorang klien baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIBA-TIBA pandanganku tertarik kepada seorang pelajar baharu, bukan kerana rupa, bukan kerana warna kulit atau apa-apa yang istimewa, tetapi kerana namanya unik. Dia memperkenalkan dirinya Muhammad Yau bin Abdulah, berasal dari Temerloh, Pahang. Berbangsa Cina. Aku kaget seketika. Pemuda berusia 25 tahun itu, mudah senyum, berperut gendut, berkulit hitam legam, hidung mancung macam orang India.
“Yau, boleh jumpa saya di bilik kaunseling, selepas tamat kuliah nanti.”
“Boleh.” Jawabnya sambil senyum.
Beberapa minit kemudian Yau datang, mengetuk pintu bilik sambil memberi salam.
Selepas bercakap-cakap hal umum, aku langsung kepada soalan yang bergelodak dalam jiwa.
“Bagaimana Yau boleh mendapat nama Cina (Yau Beng Seng), walhal Yau berketurunan India?” Tanya ku.
Dia dengan senang dan lancar bercerita.
“Saya sendiri tidak tahu diri saya, dari mana asal usul ibu bapa saya. Melalui cerita keluarga angkat, saya dijaga mereka ketika masih merah lagi. Ibu bapa saya menyerahkan saya kepada mereka tanpa menjenguk dan bertanya khabar.
“Saya dibesarkan oleh keluarga Cina ini sehingga nama saya menjadi nama Cina. Saya boleh bercakap Cina dengan fasih seperti orang Cina bercakap. Saya langsung tidak boleh berbahasa India.
“Saya dihantar belajar ke sekolah Melayu (Kebangsaan), manakala adik beradik angkat saya dihantar ke sekolah Cina. Pada hari minggu saya diminta membantu ayah di kebun. Membersih rumput-rumpai, kadang-kadang menebas hutan-hutan kecil atau meracun rumput dan anak-anak kayu.
“Adik beradik lain tidak pernah bantu ayah. Mereka semua menumpukan persekolahan dan pembelajaran.
“Adik beradik angkat saya belajar tinggi-tinggi. Hanya saya belajar setakat darjah enam. Ayah minta saya membantunya di kebun. Bila ayah semakin uzur dia membahagikan tanahnya kepada anak-anaknya. Saya dipelihara dan diberi makan sahaja. Pun begitu saya bersyukur, kerana masih ada orang yang sudi menjaga dan memberi makan minum kepada saya.
“Bila saya besar sedikit, saya mulai berfikir tentang masa depan saya. Saya mencari kerja di bengkel motosikal.
“Ayah marah kerana dia kehilangan pembantu. Ayah minta supaya saya berhenti kerja di bengkel itu. Ayah memukul saya kerana enggan berhenti kerja.”
Yau menunjukkan beberapa kesan parut di belakangnya.
Aku terkejut dan semakin simpati kepadanya. Yau menyambung lagi ceritanya.
“Selepas itu saya melarikan diri. Saya tidur di surau. Tok Imam yang datang awal ke masjid, terkejut bila melihat saya tidur berseluar pendek. Dia bertanya sesuatu, saya ceritakan semua keadaan yang berlaku.
“Tok Imam membawa saya pulang ke rumahnya dan menjamu sarapan pagi. Tok Imam juga membantu saya bekerja di bengkel motosikal milik anak saudaranya. Bengkel itu tidak begitu jauh dengan masjid. Saya dibenarkan tinggal di bengkel tersebut.
“Sejak itu saya tinggal di kampung Melayu, sebelumnya di kampung Cina. Saya bekerja dengan tekun dan rajin. Upah yang saya terima, saya simpan dan sedikit saya gunakan untuk makan dan membeli keperluan. Saya rasa bahagia.” Katanya panjang lebar.
“Bagaimana pula Yau boleh masuk Islam?” Tanya ku.
“Saya sendiri lupa. Saya tidak pernah didakwah. Bapa angkat saya pernah ajak saya ke kuil Buddha beberapa kali, tetapi saya tidak tahu bagaimana mengamalkan agama itu.
“Baru saya ingat, ada dua tiga pendakwah tabligh datang ke bengkel tempat saya bekerja. Waktu itu saya dengan Mamat yang ada. Mereka mengajak Mamat pergi ke masjid mendengar tazkirah atau kuliah Maghrib. Agak lama mereka bersembang. Sesudah mereka pergi saya bertanya Mamat apa yang dibincangkan. Mamat beritahu tiada apa kecuali mereka ajak ke masjid dengar tazkirah. Saya bertanya boleh saya pergi, apa salahnya jawab Mamat.
“Saya ke masjid bersama Mamat memakai kain pelikat, tanpa kopiah. Saya berasa tenang di masjid. Saya seronok bergaul dengan orang dakwah, mereka peramah dan baik. Hati saya mulai jatuh cinta,” kata Yau.
Tambahnya, dia memberitahu Mamat hasrat hatinya itu.
“Mamat membawa saya berjumpa Tok Imam bapa saudaranya. Selepas syahadah rasmilah saya menjadi Muslim.” Terangnya.
“Selepas itu Yau ke mana?”Tanya ku lagi.
“Tok Imam membawa saya berjumpa pegawai Majlis Agama Islam . Saya diberi kad masuk Islam. Saya juga diminta datang berkursus tentang fardhu ain, setiap pagi minggu.
“Akhirnya saya dicadangkan oleh majlis agama supaya saya mendalami Islam dengan menyambung pelajaran ke Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa. Biaya pengajian ditanggung oleh majlis.” Cerita Yau.
Demikianlah temu bual aku kali pertama dengan Yau. Aku kagum dengan sejarahnya dan semangatnya. Kerajinan dan kegigihannya mengatasi pelajar lain.
Bila ada kelapangan Yau menghabiskan masa di bilik perpustakaan, sedangkan pelajar lain bergegas pulang untuk tidur atau rehat atau berborak kosong di asrama.
Asrama lelaki sebenarnya bangunan kayu lama bekas tinggalan pelarian Kemboja yang tinggal di situ suatu waktu dahulu.
Kini pelarian Kemboja itu sudah menjadi warga negara Malaysia dan ada juga yang memilih warga negara lain.
Suatu pagi Yau datang menemui aku di bilik kaunseling.
“ Ada masalah apa Yau datang jumpa saya?” Tanya ku.
“Sebenarnya saya tiada masalah. Saya datang nak minta keizinan keluar IDIP, kerana saya nak sambung belajar di sekolah pondok. Saya tahu peluang belajar lebih cerah di IDIP, tetapi saya berhasrat nak tumpu kepada ibadat.
“Saya sudah ada kerjaya sebagai mekanik. Selepas belajar di pondok saya akan buka bengkel membaiki motosikal, kerjaya lama saya.”
“Pada pandangan saya, awak patut tamatkan dulu, sekurang-kurangnya awak dapat Sijil Asas Pengajian Islam. Selepas itu awak boleh sambung belajar di sekolah pondok.
“Bagaimanapun, kalau itu pilihan dan keputusan awak, saya tak dapat halang. Saya doakan semoga awak berjaya dan bahagia,’’ kata aku kepada nya.
Yau terdiam, macam berfikir, kemudian dia berkata.
“Saya fikir dahulu.” Katanya perlahan.
“Baiklah, itu yang terbaik, fikir dahulu sebelum bertindak.”
Dua hari kemudian datang dua pemuda Cina berjumpa Yau. Mereka nampak sangat mesra.
Sesudah dua orang pemuda Cina itu pulang, Yau datang menemui saya di bilik kaunseling. Yau bercerita sesuatu.
“Sebenarnya yang datang itu adalah dua adik angkat saya. Mereka memberitahu, ayah angkat telah mati kira-kira dua bulan lalu.
“Kebun durian yang telah diusahakan oleh saya dan ayah angkat telah mula mengeluarkan hasil.
“Sebelum mati ayah berwasiat separuh daripada kebun itu lebih kurang enam ekar diberi kepada saya. Saya dikehendaki datang ke pejabat tanah untuk proses pembahagian pusaka.
“Kalau saya mahu jual mereka sudi membelinya.”
Yau lancar bercerita. Wajahnya nampak tenang dan gembira.
Yau tidak menyangka peristiwa penyerahan pusaka ini akan berlaku. Dia sama sekali nekad untuk mendalami ilmu Islam.
Soal harta dan rezeki datang daripada Allah. Dia yakin Allah Maha Pemberi rezeki. Setelah berbasa-basi dua orang adik angkatnya berangkat pulang.
“Hati-hati membawa kereta, jangan laju-laju.” Mereka tersenyum sambil mengangkat tangan.
Selepas selesai menunaikan kewajipan solat Maghrib Yau ke kantin untuk makan malam. Baru beberapa suap nasi dimakan, tiba-tiba telefonnya berdering.
“Selamat malam, awak Yau?”
“Ya”.
“ Ada apa?”
“ Saya dari Balai Polis, berdasarkan nombor telefon yang terdapat dalam telefon bimbit, adik awak kemalangan.
“Jangan cemas, mereka berada di Hospital Temerloh.”
“Terima kasih, tuan.”
Seleranya hilang tiba-tiba. Yau bergegas pergi berjumpa warden asrama dengan wajah sugul.’
Semoga Allah selamatkan mereka’. Doanya di dalam hati. Yau menyewa sebuah kereta dan langsung bergerak ke Hospital Temerloh. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya