Arus semakin deras - Utusan Malaysia

Arus semakin deras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kadangkala, musibah itu adalah peringatan untuk seseorang memuhasabah kembali dirinya tentang apa yang telah dia lakukan dan apa yang masih belum dia tunaikan.
Wajib bersyukur dengan rahmat Allah setelah sekian lama dilimpahi nikmat. Manusia adakalanya hanya diuji dengan sedikit musibah saja. Dan yang paling penting, menikmati kehidupan dengan perkara yang mendatangkan kemanfaatan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada orang lain.
Malam yang kelam, Rudin termenung di tebing sungai yang tidak jauh dari rumahnya. Dia menarik nafas lega, tanpa kesal dan tanpa rasa sedih.
Dua hari sebelumnya, Rudin pulang ke rumah dengan hati terluka. Syarikat tempat dia bekerja bankrap. Dia turut terima akibatnya. Semua pekerja diberhentikan. Jiwa Rudin jadi tidak tenteram. Dia banyak bermenung sejak hari itu.
Seminggu selepas itu, Rudin terpaksa terima satu lagi keputusan yang amat menyakitkan. Nuryati memutuskan hubungan mereka. Rudin terima dengan perasaan berat, walaupun dia cuba untuk tenang. Dalam hatinya, bagai lahar gunung berapi membuak keluar dari perut bumi. Dan hari itu juga adalah kali terakhir dia dapat melihat wajah Nuryati.
Dia tidak mengeluh setiap kali bermenung. Dia keseorangan. Emak dan ayahnya telah lama tiada. Dirinya anak tunggal. Di kampung itu, dia hidup dalam keadaan sederhana. Dari sehari ke sehari dia meneruskan kehidupan dengan menyendiri.
Di tebing sungai itulah dia selalu termenung mengenangkan nasib dirinya. Hampir 10 bulan Rudin berkelakuan baik dan biasa. Selepas itu, perangainya mula nampak perubahan. Jiran-jiran tidak pedulikan keadaannya. Mereka menganggap kelakuan Rudin masih dalam biasa. Sebelum itu pun, Rudin jarang menunjukkan kemesraan berjiran.
Sebaik saja kaki Rudin keluar dari pinggir tebing sungai, dia terus mengayunkan langkahnya cepat-cepat. Dia mencari bebayang cintanya yang lama hilang. Rudin tidak memandang kiri dan kanan lagi. Matanya, kian membulat menelan kegelapan malam yang semakin menjejak dinihari. Dia tidak letih. Dia tidak berasa kepenatan.
“Kenapa Yati membisu? Kenapa?”
Rudin bagaikan orang gila bercakap dengan pokok. Gayanya seolah sedang memegang bahu Nuryati. Dilurutnya batang pokok itu. Kemudian dia memeluk batang pokok. Seolah dia sedang memeluk Nuryati.
“Cakaplah Yati… Jangan lah macam ini.”
Rudin terus merayu. Namun Nuryati tidak juga muncul. Bayang Nuryati tidak kelihatan. Nuryati hilang entah ke mana. Rudin terus menggila bercakap dengan bayang yang tidak lagi nyata.
Malam semakin berengsot usia. Rudin memandang sepi pokok kelapa yang berdiri tegak di situ. Kemudian dia beredar dari situ. Dia menuju ke jambatan yang kian sepi dengan kenderaan. Jalannya, tunduk. Matanya, memandang lantai jalan. Hatinya, sedang berperang dengan alam ghaib.
Di rumah Nuryati tika itu turut sepi. Suami Nuryati telah lama berlayar di lautan mimpi. Tinggal Nuryati yang masih melayan baris-baris ayat novel yang sedang dibacanya. Tinggal separuh lagi dia hendak menamatkan pembacaannya.
Nuryati jadi seorang pembaca, bila cintanya putus. Dia terpaksa memutuskan kerana Rudin tidak siuman lagi. Hatinya tiba-tiba sedih bila kenangan dia bersama Rudin seketika dulu.
“Cuba Yati lihat olak air yang sedang menari-nari. Bagaikan lambaian selendang sutera dibuai ayunan badanmu mengikut rentak Serampang Laut. Aduh! Yati. Lembutkan lagi gerak badanmu. Biar mata jalang meratah puas setiap lenggok pinggulmu. Aku tidak marah. Biarkan mereka bergumam dalam kahak nafsu.”
“Ha… Ha… Ha…”
Bergema ketawa Rudin. Suasana alam semakin sepi. Rudin tidak pedulikan itu semua. Bayangan dalam fikirannya terus menghunjam laju ke hati. Perasaannya semakin bercelaru.
Rudin meneruskan atur langkah tari mengikut melodi lagu. Lagu yang hadir dalam dirinya. Namun, kelibat Nuryati tidak menampilkan dirinya. Rudin hanya berdendang keseorangan. Cahaya rembulan menemani gerak laku Rudin yang sedang melenggok-lenggok di tebing sungai.
Serumpun aur turut menemani gerak lengok tubuh Rudin. Aur bagaikan mengerti kemahuan Rudin. Jalan Rudin mula perlahan. Jambatan sudah tidak jauh lagi. Sepelaungan Rudin akan sampai ke jambatan yang tersergam kukuh.
“Dapat abang rasakan gegar suara Yati. Abang tahu Yati tak rindu abang lagi. Tak sayang abang. Tapi izinkan abang terus merindui Yati dan menyayangi Yati dan kiranya kita tidak dipertemukan, jangan nama abang, Yati lontar ke Laut Melayu Timur. Abang mohon pada Yati agar nama abang tetap di hati Yati. Walaupun kasih abang, Yati tidak boleh diterima, berikan sedikit ruang untuk abang bertapak di sudut hati Yati.”
Rudin masih membebel. Wajahnya tiba-tiba senyum. Kepalanya, didongak ke langit. Matanya, sayu menatap bulan yang terbit separuh sahaja. Malam kian menuju ke tabir siang. Walaupun ufuk merah masih belum kelihatan, ciri-ciri siang semakin menampakkan wajahnya.
Di suatu petang yang nyaman, Nuryati telah bertemu dengan Rudin kerana hendak menyatakan keputusan yang terpaksa dia ambil. Dia terpaksa melakukannya juga demi masa hadapannya.
“Setiap kali suapan juadah masuk ke mulut abang ia diiringi dengan senyuman Yati. Abang telan senyuman itu dengan rasa seribu nikmat. Walau Yati meminggirkan kasih sayang abang, namun abang tetap mengheret rindu Yati ke dalam hati abang. Janganlah Yati tinggalkan abang… Yati…”
“Yati tak boleh halang abang walaupun Yati tak suka abang simpan perasaan macam itu… Yati nak berkawan ikhlas dengan abang. Tanpa perasaan lain. Tapi, kalau abang tak nak buang perasaan itu dari hati abang… terserahlah,” ujar Yati.
Hari-hari seterusnya Rudin berubah. Pada awalnya sekadar bermurung. Lama-lama kemurungan yang melanda diri Rudin tidak dapat dibendung lagi. Membuak-buak bagaikan gelembung buih yang timbul ke permukaan sungai.
Rudin menangis sendirian. Hatinya menjadi sebak. Dia terduduk di birai tebing jambatan. Kepalanya, dimasukkan di celah kedua lututnya.
Rudin masih terngiang kata-kata Yati. Dia mengangkat kepalanya dan menoleh ke kiri kanan bagai sedang mencari sesuatu yang hilang. Tiba-tiba matanya dikerdipkan. Dia bingkas. Tangannya menggaru pangkal tengkuk. Mungkin gatal digigit nyamuk yang sedang mencari mangsa di situ.
Dengan lantang Rudin bersuara, “Keikhlasan Yati menerima abang selain dari kekasih, abang tetap terima kerana ia bermula dengan titik kawan dan berakhir dengan lakaran perkasihan rindu. Akan abang gamit sayang Yati agar ia bertapak dalam diri abang dan akan abang bisikkan kata-kata syahdu dibisikan hati Yati,”
“Biar mereka tahu cinta kita bukan kerana nafsu. Cinta kita kerana usia yang matang. Tidak sanggup abang menodai cinta kita berdua dengan nafsu serakah. Mencukupi ia digarami dengan rasa rindu seorang kekasih yang mahukan kedamaian.”
“Biar desir angin keresahan ini menggesel bibir telingaku, namun cinta dan rindu Yati akan abang alirkan hingga membawa ke muara dan tumbuhnya pulau rindu untuk kita.”
Rudin bermain dengan perasaannya. Matanya, tidak lepas memandang air sungai Kelantan yang mengalir deras. Pasir Pekan kian galak dengan urbanisasi. Perkataan kampung telah hilang dari sebutan warga Pasir Pekan kerana ia telah diserapkan ke dalam bandar Kota Bharu.
“Mungkinkah cintaku ini hanya gurauan bibir ramahmu, Yati. Atau kau sengaja mempersendakan igauan abang di siang hari. Ucaplah walau sepatah ayat. Abang ingin mendengar suara lunak dari bibirmu yang basah dengan senyuman. Alunkanlah suara hatimu, Yati,” rayu Rudin.
Rudin mengangkat sebelah kakinya ke atas palang pagar di jambatan Sultan Yahya Petra. Dia mendengar seruan menyuruhnya terjun dari atas jambatan itu.
Dada sungai yang airnya keruh seperti warna air teh tarik sedang menanti dengan deruan angin dinihari. Beberapa minit kemudian dia menjatuhkan semula kakinya berpijak di lantai jambatan itu.
Kenderaan yang mula lalu-lalang tidak menghiraukan Rudin yang menggila di situ. Bagi mereka hanya gurauan sahaja. Kerana Rudin tidak lagi berpakaian kemas. Pakaian yang membaluti tubuh badannya lusuh compang-camping.
Keadaan Rudin tidak seperti setahun lalu. Orangnya sentiasa berpakaian kemas. Walaupun sikapnya kurang bergaul dengan orang, tetapi setiap kali dia berselisih dengan orang ramai, dia tidak kedekut dengan senyuman. Namun, tidak lagi pada ketika ini. Dia akan menundukkan kepalanya bila berselisih.
“Jangan kau kuburkan cintaku ini di pusara usang. Hiasilah dengan bungaan mewangi haruman rindu semalam. Biar semerbaknya kasih melewati alam ini. Yatiii…” Suara Rudin meninggi dan keras.
Beberapa orang yang berjoging melalui jambatan itu, menoleh dan terus meninggalkan Rudin melayan dirinya. Mereka sudah faham kelakuan Rudin. Lebih baik dibiarkan saja. Kerana pernah ada yang cuba menegur, terus dikejarnya. Dan dibalingnya dengan batu yang dikutipnya di gigi jalan.
Rudin melangkah longlai. Mukanya, tunduk entah apa yang dipandangnya. Sekejap-sekejap Rudin menggeleng-gelengkan kepalanya seolah sedang mengikut rentak lagu yang berdendang dalam kepalanya.
”Yati. Biar sukar macam mana pun, salahkah aku mencintaimu?” Lembut suara Rudin.
Tangannya menggoncang tiang lampu jalan seolah dia sedang menggoncang tubuh Nuryati.
Tiba-tiba suara Rudin menjerit keras, “Kenapa kau tinggalkan aku…?”
Suasana malam itu semakin mendingin. Bunga-bunga hujan akan turun waktu dinihari mula berkembang mekar dengan kilauan cahaya di dada langit. Sayup terdengar guruh. Penghuni di desa Rudin semakin hangat dalam selimut mimpi.
Rindu Rudin semakin hangat.
“Kenapa kau tidak mempedulikan aku lagi? Adakah kerana aku lelaki yang hadir dalam hidupmu tanpa kau undang? Kenapa tidak ada sedikit pun kerinduanmu pada diriku, Yati,” suara Rudin berbisik lemah.
Rudin menoleh ke satu arah dan membalas senyuman. Dia cuba menghulurkan senyuman yang tidak berapa manis kerana dirinya sedang menggeletar kesejukan akibat dibasahi hujan. Sedikit pun dia tidak hendak beralih mencari tempat teduh dari terkena simbahan hujan.
Hujan masih belum menampakkan tanda-tanda hendak berhenti. Bagaikan mengerti memberi peluang pada Rudin supaya lebih lama di situ. Rudin bangun dari mencangkung begitu lama. Dia berdiri dan menjerit sekuat hati.
“Yatiii… tunggu abanggg…”
Tiba-tiba Rudin melompat dari tebing dan terjun ke dalam sungai yang arusnya menderas. Hujan terus menggila. Pokok-pokok di tebing sungai turut bercanda.
Hari semakin menuju pagi. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.