Inovasi hulu keris jangan keterlaluan - Utusan Malaysia

Inovasi hulu keris jangan keterlaluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERIS dan masyarakat Melayu sangat dekat. Bukan sekadar senjata, keris turut menjadi perlambangan kuasa dan antara alat kebesaran bagi Raja-raja Melayu.
Keris turut mempunyai falsafah sendiri, cukup menceritakan bagaimana kaitan keseluruhan bahagian yang bukan terletak pada bilahnya semata-mata.
Malah falsafah ada mengatakan keris itu jika hulunya Raja, maka bilahnya adalah rakyat dan sarungnya pula adalah negara.
Ini sekaligus turut menunjukkan ‘kekuatan’ atau pentingnya keris itu bukan terletak pada bilahnya sahaja, sebaliknya hulu dan sarungnya.
Bagi tokoh pengukir keris, Norhaiza Noordin, setiap hulu senjata tersebut mempunyai identiti yang digunakan masyarakat pada zaman dahulu kala bagi mengetahui asal-usul seseorang.
“Keris ini seadainya dilihat pada luaran iaitu bahagian hulu pun kita sudah boleh agak identiti pemiliknya. Analoginya mudah. Ia macam pasport. Kalau orang Barat atau Mediterranean, kulitnya putih dan bermata biru. Begitulah juga dengan keris.
“Kita boleh lihat perspektif zaman dahulu bagaimana keris ini berfungsi termasuk mengetahui asal-usul seseorang menerusi keris selain mewakili keseluruhan aspek dalam seni bina masyarakat Melayu,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menceritakan tentang hulu keris, Norhaiza berkata, terdapat beberapa jenis di antaranya hulu tapak kuda, jawa demam, serindit, hulu tajong dan hulu anak ayam sejuk dengan diperbuat daripada beberapa jenis kayu.

Katanya, antara jenis kayu digunakan termasuk Kemuning yang banyak terdapat di Johor dan Pahang di samping pokok Kenaung yang berwarna hitam dan hanya terdapat di Selatan Thailand sahaja.

“Kebanyakan hulu dihasilkan daripada bahan kayu yang elok dan keras sama ada daripada pokok-pokok itu yang kini amat jarang ditemui,” jelasnya.
Norhaiza ketika ditanya tentang motif pada setiap ukiran hulu keris berkata, ia merupakan hiasan dan banyak digunakan pada bahagian hulu tajong yang disifatkan sebagai lengkap dan mempunyai susur galur sejarah tersendiri.
“Motif ini adalah hiasan dan ia selalu digunakan pada hulu tajong yang wajib dan mesti berukir. Ia selalu terdapat di Pattani.
“Kalau serindit atau tapak ayam pula ukiran motif terpulang kepada daerah atau negeri masing-masing. Tidak semestinya hulu tapak ayam, atau serindit perlu menggunakan motif-motif tertentu. Ia adalah hiasan dan memberi gambaran kepada si pembuat.
“Kalau sekarang ukiran yang elok datang dari Besut, Terengganu. Ini berlaku sejak zaman dulu lagi,” jelasnya.
Sementara itu, Norhaiza turut menzahirkan kebimbangan terhadap pengukir baharu yang mengubah atau menokok tambah setiap bentuk ukiran pada hulu keris yang disifatkan keterlaluan.
“Ada pengukir muda cuba mengubah ukiran tersebut beberapa peratus dan ini sesuatu yang membimbangkan.
“Akan tetapi kita tidak boleh menyekat anak muda hasilkan sesuatu yang nampak menarik. Cuma kena sedar bahawa tidak boleh ubah lebih 15 peratus ukiran tersebut. Ini penting supaya apabila jika dunia belum kiamat untuk 100 tahun lagi pun, generasi muda boleh tahu dari mana asal usul ukiran berkenaan,” jelasnya.
Tambah Norhaiza, setiap pengukir juga perlu mempunyai azam dan mentaliti untuk menyampaikan ilmu kepada generasi seterusnya bagi mengekalkan warisan.
“Macam saya, saya belajar dengan guru lama yang turut belajar daripada guru sebelumnya. Ia konsep macam belajar Islam. Jangan putus sanad. Biarkan ilmu bersambung. Generasi sekarang perlu jaga ia sebagai satu khazanah,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya