Identiti, budaya negara bukan tarikan utama karya laris - Utusan Malaysia

Identiti, budaya negara bukan tarikan utama karya laris

Pauline Fan (kiri) bersama kakak kembarnya Lilianne dalam majlis pelancaran buku Luka Kenangan — 50 Sajak Paul Celan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA belum ketandusan bakat dan karya berbentuk penulisan. Buktinya ada. Daripada sekecil-kecil sehinggalah sebesar nama terutama mereka yang menerima anugerah di luar negara.
Malah di akhbar ini pun ramai penulis berbakat menghantar karya seperti cerpen atau puisi bagi tatapan pembaca.
Cuma saya tertanya-tanya adakah penulis tempatan berpotensi besar untuk menterjemah buku dalam bahasa asing, seterusnya dapat dipasarkan ke luar negara?
Persoalan ini timbul selepas saya membaca buku bertajuk Luka Kenangan yang menghimpunkan 50 sajak dihasilkan penulis dari Jerman, Paul Celan.
Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Pauline Fan dan ini bukanlah karya dari luar negara yang pertama diterjemahkan olehnya.
Ada beberapa lagi diterjemahkan Pauline antaranya Apa itu Pencerahan tulisan Immanuel Kant; Nathan yang Bijak (G.E. Lessing); Tell Me, Kenyalang (Kulleh Grasi ) dan beberapa karya lain.
Persoalan saya itu kemudiannya dijawab Pauline, antara individu yang berjaya menterjemah karya luar negara termasuk bahasa Jerman ke bahasa Melayu, bahasa Inggeris ke bahasa Melayu atau sebaliknya.
Katanya, pengkarya tempatan sebenarnya sangat berpotensi untuk menerbitkan buku dalam pelbagai bahasa lain dan boleh menembusi pasaran luar negara.
Bagaimanapun kata Pauline, ada beberapa keadah yang boleh difahami pengkarya bagi yang berminat untuk mencuba penterjemah ke bahasa lain atau luar negara.
“Bagi saya pengkarya perlu fokus untuk menghasilkan karya berkualiti. Cuma jangan fikirkan sangat siapa yang akan baca nanti di sana (negara luar). Lagipun pada saya pembaca luar peka kepada budaya dan sastera negara lain kerana banyak karya terjemahan dalam pasaran.
“Selepas itu kalau dia minat perlu berbincang dengan penerbit untuk mencari penterjemah. Malah sudah ada geran penterjemahan untuk menggalakkan karya-karya mereka diterjemah,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pauline ketika mengulas tentang hubung kait antara identiti negara dan budaya terhadap sesebuah karya berkata, ia bukanlah menjadi jaminan penerimaan atau tarikan masyarakat luar.
“Bagi saya tidak semestinya. Mungkinlah akan ada sedikit (tarikan). Akan tetapi setiap karya Malaysia tidak semestinya perlu ada identiti yang sangat ketara.
“Apa pun kalau karya itu dari Malaysia, unsur berkaitan secara automatik akan terselit juga (dalam sesebuah karya). Sekiranya kita lihat pemenang hadiah nobel kesusasteraan seperti Alfred Camus seperti dari Perancis atau Franz Kafka dari Jerman. Mereka dikira sebagai pengkarya agung. Tapi dalam karya mereka tiada yang mengangkat budaya negara masing-masing dan pembaca tahu kedua-duanya dari negara mana,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Pauline ketika ditanya tentang rahsia untuk menjadi penterjemah terbaik berkata, seseorang itu perlu minat dan faham serta ‘sayang’ sepe­nuh­nya terha­dap sese­buah karya itu.
“Kalau kita tidak rasa apa-apa, tidak mungkin kita dapat hasilkan sebuah karya yang betul-betul bagus.

“Misalnya, saya sendiri ketika menterjemah karya Paul Celan itu mengambil masa 10 tahun dengan meneliti setiap kata dan ayat secara terperinci bagi mengelakkan kesalahan,” jelasnya.
Selain itu kata Pauline, penterjemah juga perlu memahami satu-satu bahasa dan karya dan bukan menterjemah ke bahasa lain terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kesalahan.
Beliau dalam masa sama turut berpesan agar wang tidak dijadikan matlamat utama bagi mereka yang mahu meluaskan karya sehingga ke negara luar.
“Walaupun ia sudah diterjemahkan, tidak semestinya sesebuah karya itu akan mencatat jualan terbaik dan menjadi pilihan. Jangan harapkan sangat keuntungan. Yang penting untuk meluaskan pembaca sahaja,” jelasnya. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya