Di sinilah aku beraya - Utusan Malaysia

Di sinilah aku beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS menyerahkan sejaras makanan tengah hari, Pak Samad terus mengadap Datuk Mujahid yang sedang membaca buku biografi seorang tokoh usahawan Jepun yang berjaya mengusahakan otomatif.
Datuk Mujahid meletakkan buku berkulit keras itu di atas meja kecil di kanannya sebaik melihat Pak Samad menarik kerusi kayu, mengadapnya.
“Apa hal Pak Samad mengadap saya tiba-tiba ini?” Pak Samad menyerahkan kunci motosikal ‘Honda Cup’ kepada Datuk Mujahid.
“Saya nak undur diri, Datuk. Terpaksa berhenti. Sudah seminggu isteri sakit. Saya kena jaga dia sepenuhnya, lebih-lebih lagi puasa dah dekat ni.”
Datuk Mujahid memegang tangan Pak Samad. Memandang wajah pekerja sambilan yang diajak menjaga halaman kediamannya yang agak besar dengan halamannya penuh dengan pokok hiasan.
“Kalau sebab itu, Pak Samad terpaksa berhenti, saya tidak kecil hati. Jaga isteri Pak Samad sebaik-baiknya. Tetapi kunci motor ini saya serah kembali. Saya beli untuk Pak Samad ulang alik ke rumah saya. Niat untuk Pak Samad selamanya.”
Pak Samad terpaku. Matanya bulat menatap majikan yang baik hati itu. Bibirnya bergerak-gerak. Ada sesuatu yang terbuku di hatinya. Tangan Pak Samad terketar-ketar menyambut penyerahan kunci motor itu ke tangannya semula. Airnya matanya tiba-tiba luruh, meniti pipinya perlahan-lahan.
“Datuk, selama ini saya beli makanan. Selepas ini saya tidak dapat lakukan lagi. Saya minta maaf. Kalau nak minta pengganti, saya cuba mencarinya.”
Datuk Mujahid menahan sebak. Kesulitan itu memang dirasakan amat sangat. Sejurus lamanya hatinya terpanggang. Tetapi dia tidak mampu menegah keluhuran pekerja sambilan yang taat dan jujur itu. Dan sekaligus bertekad, tidak akan mencari gantinya lagi.
“Saya nak amanahkan kepada Pak Samad. Jaga rumah saya, halamannya, sekurang-kurangnya pokok-pokok itu tidak kering dan rumah saya ini tidak berdebu. Saya akan serahkan kunci pintu pagar dan kunci rumah kepada Pak Samad. Buat sementara, sepanjang bulan puasa ini saya akan menumpang tinggal di rumah kawan. Jengoklah rumah dan halaman rumah saya sekurang-kurangnya seminggu sekali. Pak Samad jangan risau tentang diri saya.”
“Boleh saya tahu di mana Datuk akan tinggal ?” Pak Samad disinggahi kebimbangan. Datuk Mujahid dapat melihat perubahan wajah pekerjanya itu. Ada kerisauan memanjat.
Datuk Mujahid menyeluk saku baju labuhnya dan mengeluarkan beberapa keping duit yang ada di dalam baju itu. Ditariknya tangan Pak Samad.
“Buat berubat isteri kamu dan belanja puasa,” katanya.
Pak Samad mencium tangan Datuk Mujahid, sekali lagi pipinya basah. Terharu dengan kemurahan hati lelaki bertongkat itu.
“Saya akan menumpang tinggal di rumah sahabat.”Datuk Mujahid menepuk bahu Pak Samad dan menghantarnya sehingga di hujung tangga. Pak Samad mendongak lelaki budiman yang menambah rezeki pencennya selama hampir dua tahun itu.
“Amanah Datuk akan saya tunaikan. Insya-allah,” katanya.
Datuk Mujahid kembali duduk di kerusi sandar. Mengeluarkan telefon dari saku atas. Mencari nama sahabat jauhnya. Sahabat yang mampu membantunya. Terasa benar kekosongan tanpa Pak Samad. Rumah besar dua tingkat dengan enam bilik itu benar-benar akan menjadi sepi. Pada hari minggu, dia akan meminta bekas tukang kebun itu membeli dua akhbar mingguan. Cukuplah bacaan seminggu.
Buku-buku yang tersusun di dalam almari di ruang tamu itu banyak yang belum dibaca. Membeli buku, khusus biografi tokoh-tokoh berjaya dalam pelbagai bidang adalah salah satu hobinya. Pernah dileter bekas isterinya Datin Sakinah.
“Kalau baca tak apa. Ini tidak, simpan macam barang muzium,” sindirnya selepas lama menunggu di dalam kereta ketika dia memasuki gedung buku yang kerap dikunjunginya.
“Kerja jurutera tidak banyak masa membaca. Ini hobi saya sejak sekolah menengah. Saya beli sebagai bekalan waktu pencen,” demikian balasnya.
Dua tahun selepas persaraannya, dia diserang strok kecil. Pergerakan kaki kirinya sehingga terpaksa dibantu sebatang tongkat. Datin Sakinah menganggap sakitnya tidak perlukan jagaan. Aktifnya di dalam beberapa badan NGO semakin kuat. Pada waktu-waktunya isterinya menjadikan rumah mereka tempat persinggahan.
Datuk Mujahid rasa tersinggung amat sangat apabila dia membuka mulut, menegurnya. “Kurangkanlah aktiviti awak tu. Saya ini sakit,” katanya. Dia ingat teguran itu disambut baik tetapi leteran Sakinah sehingga terkeluar kata-kata mencabar dirinya.
“Terus-teranglah Sakinah, kiranya saya ini membebankan awak itu, awak pilihlah.”
Dia mengadu kepada anak-anaknya. Kalau tidak diserang oleh empat anaknya, dia tidak akan tahu sikap buruknya itu. Dan akhirnya, barangkali atas desakan emosinya yang melampau, Sakinah meminta dilepaskan. Bukan sekali tetapi berulang setiap hari selepas itu.
“Itulah keputusan berat saya Pak Samad,” ceritanya. Pada mulanya diam mahu sembunyikan kedudukannya, tetapi lelaki yang jujur itu mahu juga tahu.”
“Anak-anak memulaukan saya,” katanya.
“Sekarang Datin di mana ? “
“Dengar cerita tinggal dengan anak-anak. Tetapi lebih banyak bersama anak sulung saya.” Selepas mendengar ceritanya, Pak Samad tidak bertanya apa-apa.
Bukan Datuk Mujahid tidak sedih dengan kehilangan pendamping setianya selama 25 tahun itu, yang melahirkan empat zuriat yang sudah menjadi sebahagian keperluan negara. Seorang bekerja dan tinggal di German, seorang lagi di England. Itulah dua anak lelakinya. Dua lagi di dalam negara. Keduanya anak perempuan.
Beberapa sahabat sekerja, pernah mencadangkan dia mencari seorang pendamping baru, penjaga makan minum dan dan sakit demam dirinya.
“Kalau Datuk mahu, saya ada calon. Janda bergetah,” kata Halim, sahabat rapatnya.
“Dia sepadan dengan Datuk. Datuk cakap saja,” bersungguh benar sahabatnya itu.
“Jangan tergesa-gesa. Manusia bukan barangan di pasar, Halim. Ada banyak perhitungan perlu difikirkan.”
Dia teringat ketika jatuh hati kepada Sakinah, anak pegawai tentera darat. Empat lima kali juga mereka makan dan berjalan-jalan, merisik kegemaran dan tingkah laku. Serba indah, tiada cacat cela.
“Abang masuklah meminang,” bisik Sakinah malu-malu sambil meneguk Milo kosong kegemarannya. Matanya melirik kepada kekasihnya yang dilambung rindu yang amat sangat itu. Memang patut pun gadis itu malu. Sepatutnya dialah yang menyatakan hasrat lebih awal. Tetapi apa pun Datuk Mujahid masih ingat, bisikan manja itu tidak dibiarkan begitu lama kerana tiga minggu selepas itu, ibunya ke rumah anak Sakinah menghantar sebentuk cincin berlian. Dan enam bulan kemudian, mereka diijab kabul diikuti majlis persandingan meriah di dewan sebuah hotel.
“Pak Samad ini seperti bekas isteri saya, Halim,” katanya kepada sahabatnya itu selepas dia menolak cadangan memilih janda bergetah itu. Samad lebih bergetah, katanya kepada Halim. Halim terbahak-bahak.
Setelah separuh hari Datuk Mujahid menghubungi beberapa sahabat bekas sekerjanya, dia merasakan pilihan Rumah Muhajirin yang dikatakan oleh Mejar (Bersara) Rusli, memadai untuknya berehat di sana. Kata Rusli, ia sebuah lokasi yang nyaman.
“Bilik seorang agak mahal sikit, Datuk,” dia mendengar suara bekas pegawai tentera itu.
“Beritahu, saya tempah bilik sendirian. Masuk lusa,” balasnya.
“Saya nak berpuasa dan raya di sana.” Sejurus lamanya Rusli diam. Barangkali dirasakan ada keganjilan yang didengarnya.
“Isteri baru Datuk ikut sama?” tanyanya. Dia tidak menjawab. Diputuskan percakapan itu. Dan 15 minit kemudian, sahabatnya itu memanggilnya lagi – panggilan pengesahan dari Rumah Muhajirin. Kemudian Rusli menghantar lokasinya.
Malam itu, dia bergelut dengan pemilihan pakaian yang patut dibawa. Bagai menyediakan keperluan hendak menunaikan haji. Esok tentu jadi lebih sibuk. Sudah lama dia tidak menggunakan Grab ke bank, mengeluarkan baki yang ada untuk bekalan kehidupan yang mungkin panjang. 27 Syaaban, Grab yang dipandu pemuda Melayu keturunan Bugis itu, berjaya mengenali Rumah Muhajirin yang terletak di perbukitan. Kompleks rumah ini berpagar sepenuhnya. Di kiri kanan terdapat tiga blok bangunan setingkat. Di kiri bangunan itu terdapat surau dan beberapa meter dari surau itu ada bangunan terbuka. Sebaik Grab berhenti, seorang lelaki separuh umur menyambutnya di tangga.
“Datuk Mujahid?” tanyanya untuk kepastian nama tetamu itu. Dia ikut mengangkat beg-beg Datuk Mujahid. Selepas Datuk Mujahid meletakkan punggung di kerusi tidak jauh dari kaunter pendaftaran, lelaki itu sekali lagi mendekati.
“Kami menerima tempahan Datuk akan menginap di bilik bawah. Letaknya di hujung bangunan ini Datuk. Saya tunjukkan.”
“Khabarnya Datuk berpuasa di sini?” tanya lelaki itu lagi.
“Raya pun di sini,” balas Datuk Mujahid.
“Lama juga Datuk di sini?”
“Jika rasa selesa di sini saya akan menjadikan tempat ini rumah saya. Saya sedang mencari tempat yang damai. Apa pun saya nampak sangat sesuai dengan hati saya. Bilik pun luas. Ada rak untuk buku. Ada meja tulis. Alhamdulillah.”
Seorang wanita muda tiba-tiba muncul. Berbadan gempal tetapi kelihatan sangat cergas. Dia berdiri di pintu bilik.
“Datuk, saya Faridah pembantu pengurus , yang membawa beg-beg Datuk ini Pak Yusof. Apa-apa keperluan, boleh minta Pak Yusof ini.”
“Datuk, Pengurus kami minta Datuk menamakan waris dan nombor telefon sekali.”
“Nanti saya bagi.”
Datuk Mujahid menarik nafas panjang. Waris? Sudah dua tahun apa yang disebut waris tidak bertanya khabar. Apakah dirinya memiliki waris yang patut dikhabarkan sakit demam dan kematiannya?
Datuk Mujahid mengambil al-Quran. Mengeluarkan seuntai tasbih kayu purba Mesir, diletakkan di sisi bantal. Kemudian dia berbaring. Malam itu selepas solat Isyak, Faridah mengetuk pintu biliknya.
“Datuk, Penyimpan Mohor baru isytiharkan esok kita mula puasa. Sahur pukul 4 pagi. Pembantu kami akan datang bawa makanan sahur. Makan berbuka semuanya di surau diikuti solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah di sana.”
“Alhamdulillah!”
“Nama waris tu Datuk?”
“Saya akan bagi nanti.”
Perlukah nama anak sulung itu Muslimin yang menetap di German itu diserahkan. Untuk tindakan segera, rasanya tidak sesuai. Sama juga dengan Taslim yang bekerja di Utara London itu. Tidak mudah sampai ke tanah air jika dia sakit. Juga tidak sesuai. Nur Hidayah? Tinggal tidak begitu jauh, di negeri jiran. Tetapi dialah penghasut utama emaknya. Nora, adiknya juga serupa. Bukan tidak boleh menjenguknya di banglo itu. Tetapi keduanya menjadikan ayahnya sebagai seteru.
Kalau sudah menolak ayahnya begitu rupa, bermakna Datuk Mujahid sudah tiada lagi pewaris yang patut dihubungi.
“Aku akan hidup dan mati di sini. Biarlah kematian aku atas nama seorang ayah yang gagal melayari sebuah kehidupan. Aku reda. Ada waktunya aku akan bercerita kepada pengurus di sini supaya dia mengetahui mengapa aku tidak memiliki sesiapa! Aku benar-benar mahu menjadi seorang Muhajirin. Rintih Datuk Mujahid. Kedua telapak tangannya menutup mukanya.
Datuk Mujahid menahan sebak. Matanya berair. Kepedihan itu begitu terasa. Nyilunya ke ulu hati. Dia mencapai al-Quran di atas meja kecil. Membuka pada surah Yassin dan membacanya dalam suara sebak. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya