Polemik Kesusasteraan Islam dalam Kesusasteraan Melayu - Utusan Malaysia

Polemik Kesusasteraan Islam dalam Kesusasteraan Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Polemik kesusasteraan Islam dalam kesusasteraan Melayu yang disifatkan sebagai bukan karya sastera Islam masih belum selesai hingga kini. Bagaimanapun, kemunculan novel Al-Syiqaq dan Tok Guru, karya Shahnon Ahmad mengangkat nilai kekuatan diri manusia beriman kepada Allah SWT. Kemunculan novel Baldatun Toiyyibatun, karya Pelita di Dalam Kaca menampilkan dimensi baharu sastera Islam dalam usaha menjadikan Malaysia negara model Islam moden masa kini.
Polemik sastera Islam melibatkan polemik antara Shahnon Ahmad dengan Kassim Ahmad berkaitan konsep, ciri, kaedah dan teori sastera Islam bermula dekad 1970-an dan 1980-an. Shahnon mementingkan akidah dalam karya sastera manakala Kassim menumpukan kemunculan teori sastera Islam. Shahnon telah menghasilkan pelbagai buku kajian kritikan sastera Islam seperti novel-novel Malaysia dalam Kritikan (1982), Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Islam (1980) juga Kesusasteraan dan Etika Islam (1981).
Kesusasteraan Melayu tradisional lahir dalam dunia masyarakat Melayu tradisional di Alam Melayu. Hubungan karya kesusasteraan Melayu tradisional dengan alam sebagai guru yang terbentang selari dengan perkembangan syiar Islam di Alam Melayu telah menyinari dunia ilmu, sejarah, budaya, kesusasteraan, kearifan tempatan dan kosmologi bangsa Melayu. Kemunculan karya sastera menurut Ali Ahmad dan Siti Hajar Che Man dalam Bunga Rampai Sastera Melayu: Warisan Islam (1996) lahir daripada masyarakat yang menceritakan alam, pengarang dan khalayak. Hasilnya, kemunculan kesusasteraan Melayu tradisional telah mengubah anjakan paradigma pemikiran orang Melayu (Siti Hawa Haji Salleh, 2002: 205).
Perkembangan Islam di Alam Melayu telah mengangkat keunggulan bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu (Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 1972: 20). Selain itu, kearifan tempatan penglipur lara Melayu tradisional seperti Pawang Ana, Tukang Kaba, Tok Selampit dan Awang Batil menceritakan watak Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang dan Mat Jenin. Malah, terdapat pengajaran menerusi watak Pak Pandir, Pak Kaduk dan Lebai Malang. Tegasnya, keunggulan Tun Seri Lanang menghasilkan karya agung Sejarah Melayu berjaya memaparkan mesej dan pengajaran kepada raja-raja Melayu supaya bersifat adil terhadap rakyat jelata.
Kepahlawanan Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu telah menjulang falsafah “Takkan Melayu Hilang di Dunia.” Keunggulan falsafah “Takkan Melayu Hilang di Dunia” melambangkan pembinaan jati diri bangsa Melayu dan jati diri Islam di Alam Melayu setelah menempuh era penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun selama 512 tahun.
Kedudukan sastera Islam dalam sastera Melayu bukanlah karya sastera terbuka dan bebas daripada ikatan pihak yang mengongkong kebebasan penulisan. Sastera Islam menceritakan kisah menurut kaca mata Islam. Penghasilan karya sastera Islam memperkenalkan nilai murni dan pengajaran yang berguna. Keunggulan sastera Islam mendorong manusia memiliki ketakwaan dan ketinggian budi bahasa. Pendekatan Tazkiyyah al-Nafs dalam sastera Islam mendekatkan diri manusia dengan Allah SWT. Hasilnya, penulis karya sastera Islam merupakan khalifah yang menyeru manusia beriman kepada Allah SWT.
Penyebaran syiar Islam di Alam Melayu membawa sinar ilmu kepada masyarakat Melayu tradisional di Alam Melayu. Keunggulan karya kesusasteraan Melayu tradisional dan puisi Melayu menghasilkan nilai estetika dalam kesusasteraan rakyat, mitos, legenda, cerita lipur lara, hikayat, kesusasteraan agama, kesusasteraan kitab, pantun, syair, peribahasa, nazam, rubai dan masnawi.
Keunggulan karya sastera Islam dalam Melayu telah mengangkat kekuatan pemikiran dan kedudukan umat Islam sejagat. Secara keseluruhannya, karya sastera Islam merupakan “al-Kitab” yang menyuluh jalan mengenal Allah menerusi firman Allah dalam Surah al-Fajr: “Wahai orang yang berjiwa tenang kembalilah kepada Tuhan dengan hati yang reda dan diredai. Masuklah ke dalam kumpulan hamba-hamba-Ku itu dan asuklah ke dalam syurga-Ku.” (surah al-Fajr: 27 – 30). – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya