Karya perlu asli, bukan ciplak – Gayour - Utusan Malaysia

Karya perlu asli, bukan ciplak – Gayour

Kartunis, Gayour
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WATAK-watak seperti Lin, Amar, Dollah, Pet dan Mat Tepet dalam siri kartun Bersama Selamanya ‘hidup’ dan sentiasa dalam ingatan bagi mereka yang membesar ketika zaman 90-an.
Kekuatan cerita dan watak yang ditampilkan kartunis Gayour atau nama sebenarnya Mazli Ibrahim dalam cerita tersebut menjadi tatapan dan siri yang dinanti-nanti pada setiap keluaran.
Tidak hairanlah ada yang membaca dan menjadi peminat setia siri Bersama Selamanya disebabkan watak-watak yang ada terutama ‘awek’ bernama Lin. Namun selepas lebih 20 tahun, segala watak dan cerita tersebut tidak lagi meniti di bibir remaja masa kini yang zamannya dipenuhi ledakan teknologi maklumat dan peranti selepas segala sumber hiburan boleh diperoleh di hujung jari.
Malah apa yang membimbangkan Gayour generasi muda yang mempunyai minat dalam menghasilkan karya berbentuk sedemikian tidak bersungguh-sungguh dan hanya syok sendiri tanpa dapat menghasilkan bahan berkualiti.
“Apa yang saya lihat sekarang kartunis baharu tiada hala tuju dan asyik meniru di samping hanya mahu cepat popular.
“Pada saya tiru tidak men­jadi masalah untuk peringkat permulaan iaitu sebagai lati­han sahaja. Selepas itu per­lu tukar cara dengan meng­hasilkan watak-watak asli.
“Kalau tidak cantik pun tidak mengapa kerana itulah permualaan untuk dapatkan karakter berkualti. Tiru ini sebagai latihan sahaja dan apabila ingin terbitkan hasil karya sendiri perlulah persembahkan sesuatu yang asli daripada kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Gayour yang terlibat dalam industri selama 37 tahun kini menjadi pelukis bebas dan berjaya menghasilkan beberapa karya terbaru seperti Badang Perkasa dan Metal Mascots .
Kedua-dua karya anak jati Bahau Negeri Sembilan ini diterbitkan di bawah syarikat sendiri Heart of Steel sejak tahun 2020.
Dalam pada itu Gayour berkata, masalah bertambah parah apabila ada kartunis baharu yang meniru daripada sumber yang sama.
“Sekarang ini tiada siapa yang boleh kata ini dia punya sebab mereka tiru daripada sumber yang sama. Apa yang menyedihkan mereka bandingkan pula karya sesama sendiri.
“Zaman emas sudah berlalu dan sekarang zaman tiada hala tuju.Apa yang parah, mereka tidak mahu bertanya dan show off sesama sendiri. Rasa diri bagus walhal tiada siapa mahu beli karya,” jelasnya.
Gayour kini melihat industri kartun serta komik semakin malap yang bakal menjadi tinggalan sejarah sahaja.
“Setiap dekad akan berubah-ubah dan pada awal tahun 80-an saya melukis, memang ada nilai pasaran untuk kartun seperti Gila-Gila dan selepas itu ada majalah humor seperti Geli Hati. Masa itu kita semua memang jenis membeli naskah fizikal dan tiada telefon pintar.
“Masuk tahun 2000 ke atas karya seperti ini jadi perlahan sebab banyak pengaruh luar terutama Jepun dan Hong Kong. Minat generasi baharu kepada komik buatan Malaysia kurang. Pengkarya pun sudah kurang menghasilkan bahan. Zaman sekarang lagilah semua orang boleh terbitkan karya masing-masing dalam media sosial. Tapi kebanyakan karya ini tiada kualiti,” jelasnya.
Beliau kini lebih selesa bergerak solo termasuk dalam aspek pemasaran dan penerbitan karya-karya terbaru miliknya dan tidak menolak kemungkinan untuk menghasilkan siri terbaru Bersama Selamanya pada masa akan datang.
Ketika ditanya sama ada terdapat perancangan untuk menggabungkan semula nama-nama besar dalam industri, Gayour berkata terdapat beberapa kekangan.
“Ada macam-macam cadangan. Akan tetapi kita perlu lihat keadaan. Pertama banyak kartunis lama yang sudah tidak melukis dan mencari kerjaya lain. Apabila kita jemput mereka mahu kita sumbangkan idea dan fikir. Keupayaan melukis sudah jadi perlahan.
“Selain itu, apabila kita buat majalah baharu, pasaran terhad dan pembaca adalah mereka yang membesar pada tahun 90-an sahaja. Untuk generasi baharu, ia agak kontra dan ini sudah semestinya risiko,” ujarnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya