Cabaran Kalari Payat era baharu - Utusan Malaysia

Cabaran Kalari Payat era baharu

Aksi-aksi seni mempertahankan diri 'Kalari Payat' yang dilakukan semasa latihan Kalari Payat di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini- MINGGUAN/ AMIR KHALID / PEMBERITA - HAFIZ ( UTUSAN )
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU tidak kerana satu festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) saya sendiri tidak mengetahui secara mendalam tentang Kalari Payat.
Saya juga pasti ramai yang tidak tahu tentang salah satu seni mempertahankan diri ini lebih-lebih lagi generasi muda. Mungkin kerana Kalari Payat yang berasal dari Kerala, India ini jarang dipertontonkan kepada masyarakat umum.
Namun apabila melihat keunikan senjata yang digunakan dan kelincahan ‘pertarungan’ membuatkan sesiapa sahaja terpegun menyaksikan aksi pelatih seni mempertahankan diri ini.
Saya berpeluang melawat dan melihat sendiri latihan mereka di bangunan Persatuan di Jalan Liku, Bangsar bagi mengetahui lebih dekat perjalanan Kalari Payat. Ada banyak persoalan timbul sebenarnya sebaik melihat kesungguhan guru dan pelatih mempelajari ilmu ini. Masih ada lagikah generasi muda yang mahu mendalami ilmu pertahankan diri terutama di bandar-bandar besar ini?   Bagi Grandmaster Abdul Rahman Syed Muhammad, beliau sendiri yang telah berkecimpung lebih 20 tahun dalam seni mempertahankan diri dapat merasakan perubahan ‘angin’ golongan muda pada masa kini yang lebih cenderung kepada peranti dan permainan video.“Saya mula belajar Kalari Payat pada 1970 lagi dengan pengasas di Malaysia iaitu grandmaster Hamzah Abu.
“Saya masih ingat pada masa itu, anak-anak muda ramai mahu belajar ilmu memper­tahankan diri. Maklumlah tiada permainan video dan televisyen pun kurang. Cuma ramai terpengaruh dengan Bruce Lee dan Chuck Norris dan menjadikan mereka sebagai idola,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Selain Kalari Payat, Abdul Rahman turut mempelajari beberapa seni mempertahankan diri lain seperti karate do dan silat sebelum jatuh cinta pada Kalari Payat.
Antara senjata yang digunakan dalam silibus pelajaran Kalari Payat termasuk kayu pendek, pedang, lembing, kapak dan urumi atau pedang fleksibel yang boleh dilentur yang kelihatan seakan-akan cemeti.Di Malaysia, seni ini diasaskan Hamzah pada 1973 dan mula diajar kepada komuniti India pada ketika itu.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, Kalari Payat tidak dipertandingkan dalam acara sukan sebagaimana seni mempertahankan diri lain kerana berbahaya.
Selain itu, ia juga tidak diajar kepada pelajar sekolah dan dibuka penyertaan kepada yang berusia 16 tahun ke atas sahaja.
“Kalari Payat adalah 100 peratus seni mempertahankan diri dan bukan sukan. Malah kita banyak menggunakan senjata seperti pedang. Sebab itu, kita tidak buka penyertaan untuk pelajar sekolah,” jelasnya.
Ditanya mengenai perbezaan antara Kalari Payat di India dan Malaysia, Abdul Rahman berkata, terdapat dua aspek diubah berdasarkan keadaan semasa di negara ini.
“Bezanya, pakaian dan tali pinggang atau gred. Contoh, peringkat paling bawah bermula tali pinggang putih, kuning, hijau, merah dan coklat serta tertinggi tali pinggang hitam. Selepas tali pinggang hitam pun ada peringkat lain,” jelasnya.
Kalari Payat, katanya, terbuka untuk sesiapa sahaja yang berminat. Apa yang penting mempunyai kesihatan tubuh badan yang baik.
Mereka yang mahu mempelajari seni ini boleh berkunjung ke studio Kalari Payat yang terletak di No. 30 Jalan Liku off Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya