Tuk Aki pergi mengundi - Utusan Malaysia

Tuk Aki pergi mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Macam mana ini, Atuk? Hujan turun tak berhenti-henti ini. Esok kita nak pergi mengundi,” kata Rafizi yang sedang berdiri di muka pintu sambil memandang hujan yang turun dengan kasar.
“Tu la pasal, Fizi. Yang kerajaan ni pun satu. Buat PRU masa musim tengkujuh. Atuk pun rasa teruja nak pergi mengundi. Mana tahu, ini kali terakhir Atuk mengundi PRU,” ujar Tuk Aki dengan selamba. Muka Rafizi nampak berubah.
“Hishhh Atuk ini!!! Kenapa cakap macam tu? Tak baik lah!” teriak Rafizi menyanggah cakap Atuknya.
“Apa pula tak baiknya. Ajal maut di tangan Tuhan. Tak salah kita mengingati mati,” ujar Tuk Aki.
Rafizi satu-satu cucu tunggal yang dibela Tuk Aki. Sejak kedua ibu bapa Rafizi meninggal dunia kerana penyakit Covid-19 kira-kira dua tahun lepas, Tuk Aki yang memeliharanya. Rafizi sekarang berumur 22 tahun dan sedang belajar diploma di sebuah kolej.
“Fizi lagi teruja. Inilah kali pertama Fizi mengundi di PRU. Tak sabar rasanya nak memangkah. Tak sabar mahu pilih YB pilihan hati,” kata Rafizi memberitahu perasaannya.
“Nanti Fizi nak pangkah siapa?” tanya Tuk Aki mengumpan Rafizi.
“Mana boleh beritahu. Rahsialah, Atuk!” jawab Rafizi.
“Nak rahsia apa, Fizi. Kita pilih la parti yang memerintah kita sejak dulu. Merekalah yang berjuang mencapai kemerdekaan,” terang Tuk Aki menyatakan pendapatnya.
“Eh! Mana boleh macam itu, Atuk. Sekarang ini orang pilih calon YB berdasarkan kriteria tertentu. Berpendidikan. Memiliki ciri-ciri kepimpinan. Seorang pejuang rakyat. Yang penting sekali berintegriti. Bersih daripada rasuah!” ujar Rafizi bersemangat.
“Tapi parti ini lah yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Jasa mereka terlalu besar,” tokok Tuk Aki mempertahankan pendapatnya.
“Tapi sekarang ini dah tak sama, Atuk. Ramai yang jadi YB atas tujuan tertentu. Perjuangan parti pun sudah lari daripada tujuan asal. Semua ada kepentingan sendiri!” Rafizi menyuarakan pendapatnya tentang politik masa kini.
“Setahu Atuklah, parti Atuk inilah yang membangunkan bangsa kita hingga berjaya menjadi bangsa dihormati di dunia. Selepas merdeka, ketiga-tiga parti gabungan bertungkus lumus melaksanakan pelbagai rancangan demi memajukan bangsa dan negara,” ujar Tuk Aki menyambung hujahnya.
“Tapi Atuk, itu perjuangan dulu. Sekarang ni perjuangan parti perlu dilihat siapa yang menjadi ahli politik itu. Dan bagaimana pemimpin parti menerajui parti itu. Jika pemimpin parti tidak berintegriti, parti akan turut musnah kerana sisi gelap pemimpin,” kata Rafizi selamba di hadapan Tuk Aki.
“Wahhh! Cakap Fizi sudah macam ahli politik. Ini ada bakat nak jadi YB ni,” usik Tuk Aki. Rafizi ketawa terbahak-bahak.
“Atuk jangan terkejut beruk, jika suatu hari nanti Fizi jadi YB. Silap haribulan Fizi jadi Presiden parti merangkap Perdana Menteri,” kata Rafizi menokok tambah usikan Tuk Aki.
“Atuk doakan semoga Fizi suatu hari nanti dapat jadi YB merangkap Perdana Menteri,” kata Tuk Aki menyokong. Rafizi semakin kuat ketawanya.
Hujan terus turun dengan lebat tanpa tanda-tanda hendak berhenti. Bunyi hujan yang turun pun agak menyeramkan. Lain macam sungguh bunyinya.
Rafizi mula berfikir yang bukan-bukan. Sejak kebelakangan ini, banyak tempat-tempat yang tidak pernah ditimpa banjir besar, tiba-tiba musnah ditenggelami banjir besar.
Rafizi memandang Tuk Aki. Tuk Aki sudah terlena di kerusi malas. Lepas solat Isyak, Tuk Aki terbaring di kerusi malas sambil membaca surat khabar. Akhirnya Tuk Aki tertidur dengan kertas surat khabar menutup mukanya.
Usai menunaikan solat Subuh, Tuk Aki sudah berpakaian kemas. Dia sudah bersiap sedia hendak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Atuk nak pergi juga ke mengundi? Jalan utama sudah dilimpahi air. Airnya deras dan laju!” tanya Rafizi yang mula rasa takut dengan air banjir yang sudah memasuki kampung.
“Kamu tengok dekat mana, Fizi? Kampung kita mana pernah kena banjir. Ini depan rumah kita masih okey lagi,” jawab Tuk Aki tanpa rasa bimbang.
“Saya tengok di WhatsApp la, Atuk. Ni Atuk tengok gambar ini,” Rafizi menunjukkan telefon bimbitnya pada Tuk Aki. Kemudian Rafizi menokok lagi.
“Atuk jenguk la laman rumah kita tu. Sudah digenangi air. Silap-silap rumah kita tenggelam kejap lagi,” Rafizi membuka tingkap rumah. Tuk Aki menjengahkan kepala.
“Kalau air naik tinggi, Atuk pergi naik perahu. Bawah rumah Atuk kan ada simpan perahu,” Tuk Aki tetap dengan pendiriannya akan pergi mengundi.
“Jangan pergi Atuk! Bahaya! Air banjir semakin mengganas!” ujar Rafizi melarang Tuk Aki mengikut kemahuan hati.
“Atuk akan pergi mengundi! Ini masa depan negara! Undi Atuk akan menentukan parti Atuk kembali berkuasa memerintah!” Tuk Aki masih tetap dengan pendiriannya.
“Tolonglah, Atuk! Jangan pergi! Fizi bimbang keselamatan Atuk!” teriak Rafizi dengan suara agak tinggi.
“Tahulah Atuk menjaga diri! Atuk ini kan bekas nelayan! Atuk tahulah macam mana nak menguruskan perahu tu!” Tuk Aki mempertahankan pendiriannya.
“Jangan pergi, Atuk! Di jalan utama, air banjir itu luar biasa arusnya. Ni Atuk tengok gambar terbaru yang dia orang hantar ni!” kata Rafizi menunjukkan telefon bimbitnya pada Tuk Aki.
“Alah arus biasa je tu. Di lautan, Atuk pernah rempuh arus gelombang yang lagi besar!” Tuk Aki tetap tidak berganjak dengan kemahuannya.
Menjelang pukul lapan pagi, Atuk turun ke bawah rumah mengeluarkan perahu. Air muka Rafizi semakin cuak. Tuk Aki tetap dengan pendiriannya hendak pergi mengundi. Tuk Aki tidak memikirkan langsung bahaya yang akan ditempuh.
“Atuk, tolonglah jangan pergi. Bahaya, Atuk!” Rafizi merayu dengan suara tersekat-sekat.
“Eh! Tak boleh. Atuk mesti pergi mengundi PRU. Atuk dah berjanji pada pemimpin parti yang Atuk akan keluar mengundi. Parti yang Atuk sokong ni mesti menang demi mengembalikan maruah parti!” ujar Tuk Aki bersemangat.
“Atuk tak kesian pada Fizi ke? Kalau jadi apa-apa pada Atuk?” rayu Rafizi dengan nada yang sedih.
“Fizi jangan risau. Insya-Allah, tak jadi apa-apa. Atuk selamat. Lagipun Atuk pergi ni demi menyelamat negara kita. Inilah jihad Atuk untuk negara!” Tuk Aki tetap dengan keputusannya. Tidak boleh diubah langsung.
Rafizi memeluk Tuk Aki dengan erat. Dia seperti tidak mahu melepaskan pelukan itu. Tuk Aki menolak tangan Rafizi perlahan-lahan. Kemudian Tuk Aki menuruni tangga masuk ke dalam perahu. Tuk Aki memakai baju hujan. Tuk Aki duduk di tengah-tengah perahu. Tangannya memegang pengayuh. Hujan masih turun tetapi tidak selebat malam tadi.
“Atuk pergi dulu ye! Nanti kalau hujan sudah berhenti, Fizi jangan lupa datang mengundi. Ini kewajipan kita pada negara!” beritahu Tuk Aki seperti memujuk Rafizi.
Tuk Aki mula mengayuh meninggalkan Rafizi keseorangan. Keras sungguh hati Tuk Aki. Rafizi memandang Tuk Aki sehingga kelibatnya hilang daripada pandangan.
Air banjir semakin naik ke lantai rumah. Rafizi segera masuk ke dalam rumah. Dia memindahkan barang-barang penting ke tempat yang lebih tinggi. Tiba-tiba Rafizi terdengar suara memberi salam di luar rumah.
Sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam telah berada di halaman rumah. Rafizi terkejut dengan kemunculan bot tersebut. Ada lima orang lelaki berpakaian seragam di dalamnya.
“Ada berapa orang tinggal dalam rumah ini?” tanya seorang lelaki yang dihadapan sekali.
“Berdua saja. Saya dengan Atuk,” jawab Rafizi.
“Kami datang ini nak menyelamatkan penduduk kampung. Air banjir semakin naik dan mengganas. Kami akan bawa ke pusat pemindahan banjir. Mana Atuk kamu?” kata lelaki itu sambil memandang ke dalam rumah.
“Atuk saya dah keluar naik perahu tadi, Encik. Dia nak pergi ke pusat mengundi PRU,” beritahu Rafizi.
“Allahuakbar! Beraninya Atuk kamu. Air banjir semakin deras dan laju. Ahmad, hubungi bot 3, beritahu ada seorang lelaki tua menaiki perahu seorang diri. Suruh mereka cari sampai dapat,” teriak lelaki itu dengan nada terperanjat.
“Baik, tuan!” jawab seorang lelaki di belakangnya.
“Adik pergi ambil barang-barang yang penting sahaja,” arah lelaki itu kepada Rafizi.
Setelah mengambil barang-barang yang diperlukan, Rafizi masuk ke dalam bot yang saiznya cukup besar. Kemudian bot itu meluncur laju meninggalkan rumah pusaka Tuk Aki.
Sampai di pusat pemindahan banjir, Rafizi nampak penduduk kampung sudah ramai berkampung di situ. Ada wajah-wajah yang dikenali Rafizi. Perasaan Rafizi bercampur baur. Wajah Tuk Aki tidak ada di pusat pemindahan banjir itu. Dia mula berasa bimbang.
Sewaktu Rafizi bersendirian di dalam khemah, dia didatangi seorang petugas.
“Ini Rafizi kan. Kami dah cari atuk kamu. Masih belum dijumpai. Yang kami jumpa hanya perahu atuk kamu tersangkut di pokok. Pasukan kami sedang berusaha mencari atuk kamu. Harap Rafizi bersabar ye,” beritahu petugas dengan nada perlahan.
Jantung Rafizi berdegup kencang. Dia terasa ingin pitam. Tetapi petugas dapat memaut badannya daripada jatuh. Air matanya merembes. Adakah orang tempatnya bergantung dan menumpang kasih telah tiada? Rafizi bagaikan kehilangan punca. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya