Sejarah baharu genre penulisan puisi semiotik - Utusan Malaysia

Sejarah baharu genre penulisan puisi semiotik

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Razali Che Mat (duduk, empat dari kiri) dan Aminah (duduk, tiga dari kiri) bersama-sama pegawai kanan DBP, pembimbing dan penulis yang menyertai Bengkel Pemurnian Manuskrip Kumpulan Puisi di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBANYAK 16 manuskrip kumpulan puisi karya 16 penyair Sabah bakal berada di pasaran untuk tatapan pencinta puisi tanah air selewat-lewatnya pada Mac tahun depan.
Manuskrip berkenaan adalah hasil daripada Bengkel Perolehan dan Pemurnian Manuskrip Kumpulan Puisi serta Bengkel Pemurnian Manuskrip Kumpulan Puisi masing-masing pada Jun dan Oktober lalu.
Bengkel dua fasa memfokuskan kepada teori semiotik itu adalah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah bersama Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS).
Bengkel dibimbing oleh pakar sastera dalam genre puisi semiotik, Dr. Mohammad Shahidan dan penerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2010, Zainal Palit atau lebih dikenali dengan nama pena Zaen Kasturi.
Fasa satu bengkel dihadiri oleh 25 peserta dan daripada jumlah itu 17 penulis menghantar manuskrip kumpulan puisi kepada urus setia, bulan lalu dan kemudian diserahkan kepada pembimbing dengan sebuah manuskrip ditolak.
Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Razali Che Mat menyifatkan kejayaan mengumpul 16 manuskrip kumpulan puisi tersebut sebagai sejarah baharu khususnya kepada dunia sastera Sabah.
Ini kerana, sebelum ini belum ada bengkel kelolaan DBP di negeri itu yang diakhiri dengan penyerahan manuskrip lengkap mengandungi 70 puisi yang sudah melalui proses pemurnian, selain mempunyai prakata, proses kreatif dan biodata penulis.
Justeru, katanya, beliau akan memastikan kumpulan puisi berkenaan dapat diterbit, dilancar dan dipasarkan dalam tempoh lima bulan atau selewat-lewatnya Mac tahun depan.
Bagaimanapun, beliau berharap pihaknya mendapat kerjasama daripada penulis-penulis dari segi pemasaran kumpulan puisi berkenaan untuk memastikan buku puisi itu terjual dan tidak hanya tersimpan dalam stor DBP.
“Saya percaya penulis tahu bagaimana cara untuk menjual buku masing-masing. Kita juga akan mengadakan program bicara karya buku puisi ini, namun pendekatannya haruslah berbeza, iaitu dengan cara mewujudkan polemik.
“Ini supaya buku puisi ini diketahui kewujudannya di pasaran dan secara tidak langsung peminat puisi akan membeli buku puisi ini.
“Penulis juga perlu memanfaatkan platform media sosial dengan menyiarkan puisi yang tidak lengkap kemudian meminta orang ramai membeli puisi lengkap berkenaan di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Penutupan Bengkel Pemurnian Manuskrip Puisi yang diadakan di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah, di Kota Kinabalu pada bulan lalu.
Sebelum itu, Norawi menyerahkan semua manuskrip kumpulan puisi berkenaan kepada Aminah yang kemudian menyampaikannya kepada Razali sebagai simbolik penerimaan buku puisi itu.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah DBP Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar dan dan Presiden PSBS, Norawi Kata.
Dalam pada itu, Aminah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penulis yang berjaya menghasilkan kumpulan puisi dalam tempoh yang ditetapkan oleh pembimbing, DBP dan PSBS.
“Saya percaya ini menjadi sejarah baharu genre penulisan puisi semiotik bukan saja di Negeri di Bawah Bayu, malah di peringkat nasional,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mohamad Shahidan pula memberitahu, pembimbing secara khusus memberikan komen dan pandangan terhadap semua puisi yang dihasilkan penulis yang menyertai bengkel dan menghantar manuskrip.
Katanya, puisi tersebut melalui proses pemurnian dalam sesi kritikan dan bedah puisi, iaitu penulis bersemuka dengan pembimbing masing-masing.
Sesi itu katanya, untuk membolehkan penulis mendengar sendiri kelemahan puisi mereka dan aspek yang perlu diperbaiki untuk mencapai tahap puisi yang mantap.
“Ada penulis yang berjaya mencipta puisi yang cukup baik, namun masih ada yang tidak mencapai tahap puisi seperti yang dikehendaki, terutama mengaplikasikan teori semiotik dalam penghasilan puisi.
“Indah dan menariknya puisi itu terletak pada kata-kata yang digunakan penulis dalam mencipta puisinya. Elakkan perkataan berganda, berulang dan frasa tiada unsur estetika kerana semua itu akan menjadikan puisi tidak berseni dan menarik,” katanya.

PENULIS ialah Ketua Penerangan Ikatan Penulis Sabah (IPS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya