Lagu loghat Pahang bukan sekadar hiburan - Utusan Malaysia

Lagu loghat Pahang bukan sekadar hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTANDINGAN lagu loghat Pahang 2021-2022 ‘Gema Loghat Pahang’ yang berlangsung di Kuantan, baru-baru ini bukan sekadar hiburan, malah ia mengutus mesej yang lebih besar sebagai wadah menghidupkan khazanah serta memartabatkan sebutan bahasa Melayu klasik di negeri itu.
Pahang merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia yang mempunyai 11 daerah dan uniknya setiap daerah itu mempunyai loghat (dialek) berbeza sekaligus boleh dibuat kajian ilmiah mengenai kekayaan bahasa Melayu klasik negeri tersebut.
Pertandingan lagu loghat Pahang yang dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Loghat Daerah Negeri Pahang (PPLP) dan dirasmikan oleh Datuk Seri Sh Mohamed Fuzi Sh Ali itu, adalah salah satu usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu setiap daerah dalam negeri berkenaan yang juga mempunyai nilai sastera dan budaya menerusi liriknya yang boleh diketengahkan untuk pendengaran umum.
Pengerusi PPLP, Afzainizam Ismail berkata, pihaknya kagum apabila ramai komposer tempatan berbakat dari seluruh Pahang tampil menyertai pertandingan itu tetapi pada akhirnya hanya memilih 10 lagu yang layak ke pertandingan akhir.
Menurutnya, idea untuk pertandingan Lagu Loghat Pahang 2021-2022 itu tercetus selepas percubaan menyanyikan lagu-lagu loghat Pahang berunsur jenaka dinyanyikan oleh bakat-bakat muda tempatan mendapat sambutan ketika dijadikan acara selingan dalam pertunjukan pentas di sekitar Temerloh pada tahun 2004.“Pada 2006 saya menubuhkan Kumpulan Anok Semantan untuk menyanyikan lagu loghat Pahang dan mereka berpeluang membuat rakaman pada 2008,” kata Afzainizam yang juga komposer dan penyanyi. Beliau mula mencipta nama apabila dirinya menyertai Pertandingan Bintang RTM sekitar tahun 1970-an.
Dalam pertandingan Lagu Loghat Pahang 2021-2022, antara 10 lagu yang menyertai pertandingan akhir itu adalah Ikan Mungkoih (lagu/lirik/nyanyian DJK Fakhrul Temerloh), Pahang Disanjung (lagu/lirik Abd. Razzak Abu Bakar/nyanyian Shamsul Bahri Muharis), Dulian Laot – Deghian Rauk (lagu/lirik/nyanyian Wafie M. Amin), Oteng Paler Kawan (lagu/lirik Rabiul Awal A. Anuar/nyanyian Mohd. Fawaz Ramli) dan Mengkala Koi Budok (lagu Baharom Jantan/lirik Farizsham Syahril Mustafa/penyanyi Ikhwan Sabri).
Keputusan pertandingan nyanyian itu menyaksikan lagu Nyor Sebatang berupa sebuah lagu nasihat muncul juara manakala lagu Turun Kair ciptaan komposer muda berbakat dari Tembeling, Jerantut di tempat kedua dan Oteng Paler Kawan, ketiga.
Sesuai dengan apa yang diperkatakan bahawa pertandingan itu mempunyai nilai sastera dan budaya, maka antara para juri juga antaranya tokoh sasterawan Datuk Dr. Aripin Said serta novelis Hasanuddin Md. Isa, penulis novel Mereka Yang Tertewas yang pernah dijadikan buku teks kesusasteraan Melayu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pelajar sekolah menengah (1991-2001).
Turut menjadi juri pertandingan lagu ialah penulis lirik Siso dan penyanyi popular Khairool Idlan yang popular menerusi lagu malar segar Aku Yang Kau Panggil Sayang yang masih kerap berkumandang di stesen radio nasional dan negeri, selain diputarkan dalam YouTube.

Aripin yang juga tokoh ilmuan ketika diminta mengulas mengenai pertandingan itu berkata, berlaku penyatuan istimewa yang sempurna meliputi tiga unsur utama iaitu proses penciptaan lagu, penulisan lirik dan persembahan, begitu juga dengan gubahan muzik pengiring yang berkualiti diselia oleh Afzainizam.
Kata Aripin lagi, loghat sedemikian dapat memperkayakan perbendaharaan kata atau kosa kata sebagaimana banyak perkataan pelik dalam bahasa Melayu dapat diterjemah dalam kebanyakan kamus diselenggara dengan baik oleh pakar bahasa berkenaan.
Tegas beliau, pertandingan itu bukan sekadar hiburan, malah dapat membuka mata para sarjana bahasa dan mencetuskan idea mereka untuk bangkit mengkaji dalam konteks disiplin keilmuan.
Apatah lagi, tambah beliau, apabila loghat sedemikian semakin popular menular ke peringkat nasional membuatkan netizen tercari-cari akan maksud setiap perkataan itu.
Antara loghat Pahang yang sudah mula diketengahkan di peringkat nasional adalah seperti perkataan ‘koi’ (saya), ‘kas’ (aku atau saya), ‘rodong’ (kawan), ‘di’ (awak), ‘cemus’ (bosan), ‘deras’ (mari atau cepat), ‘dan’ (sempat), ‘lekoh’ (leka), ‘pedo’oh’ atau ‘do’oh’ (bohong), ‘pandir’ (bodoh), hogoh’ (goyang), ‘gegor’ (gegar), ‘tumpir’ (tolak) dan banyak lagi perkataan lain. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya