Bendera di tiang sana - Utusan Malaysia

Bendera di tiang sana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPI sekali dari hujung jalan di pinggir masjid sehingga nun di jalan mati menghala ke Kedai Kopi Ah Hau. Bendera yang megah berkibar menghiasi bahu jalan juga sudah tidak kelihatan. Tempat pelupusan penuh dengan sampah sarap dibuang parti tidak bertanggungjawab dengan kayu-kayu tiang bendera, botol minuman dan pelbagai sampah lagi.
Parti bertanding yang bertanggungjawab menjaga bendera sebagai kemegahan, kerana semuanya dikutip dan disimpan elok untuk digunakan semula di tahun akan datang. Kalah menang bukan persoalan kerana amalan baik ini bukan semata-mata untuk penjimatan malahan kelestarian alam sekitar. Bagi parti yang kalah tergolek, ibarat besar pasak daripada tiang, besar sandal daripada gelegar sudah tidak lagi kelihatan penyokong-penyokong dalam kumpulan besar mahupun kecil.
Ah Hau pun mengeluh perniagaannya tidak serancak seperti bulan lepas. Ketika itu semuanya dibayar untuk perbelanjaan ke hadapan. Keong setiap hari membayar RM500 berupa tajaan percuma makan minum untuk siapa yang singgah dengan syarat Ah Hau izinkan mereka letakkan kain gegantung dan risalah partinya.
Kedai kopi Ah Hau menerima nasi lemak daun pisang beraroma dan kuih muih tradisional hasil tangan Suria. Di penjuru kedai juga dia berkongsi dengan Pak Haidir yang menebar roti canai paling sedap dalam Kampung Aman. Namun kini perniagaan mereka tidak semeriah dulu.
“Berapa kilo tepung hari ini Pak Dir?” Ah Hau bertanya sambil membancuh kopi O pekat yang diminta pelanggan. Tangannya laju menggoyangkan sudu yang direndam air garam bagi menaikkan aroma minumannya.
“10 kilo lambat habis. Minggu lepas, aku terpaksa panggil pembantu tolong aku. Adatlah meniaga ada turun naiknya Hau.” Pak Haidir mengemas bekas kuah dalca di meja niaganya.
“Banyak lagi kuih Suria ini. Mujur nasi lemak cepat habis.” Ah Hau mengemas barang jualan Suria yang akan mengambil bekas dan wang selepas kedai kopi mereka tutup. Biasanya menjelang pukul 11 pagi tiada lagi makanan sarapan dan mereka akan rehat sebelum membuka semula gerai untuk minum petang sehingga ke tengah malam dalam masa sebulan sahaja suasana terus berubah. Kampung Aman kembali sunyi tiada hiruk pikuk, kesibukkan seperti biasa. Ah Hau mengelap peluh di dahi. Dia mengeluh, Pak Haidir dari jauh cuba menenangkan.
“Biasalah Hau, musim ‘raya’ memang meriah lain macam. Ni musim sunyi. Kita tunggu lagi lima tahun meriahlah,” ujar Pak Haidir. Ah Hau ketawa berdekah, dia tahu Pak Haidir bergurau.
“Mana tahu Pak Dir. Kalau ada aktiviti lompat melompat tikam menikam. Kena mengundi semula, meriah baliklah kedai kita ini.” Ah Hau pula berseloroh.
“Nauzubillah minta jauhlah Hau. Bagi la stabil betul negara kita. Jenuh cucu aku nak hafal nama Perdana Menteri weh.” Pak Haidir mengurut dada sambil senyum tawar. Begitulah cabaran kehidupan tetap diteruskan walaupun pemerintah silih berganti.
“Muda sangat YB kita tu. Apa pun dia tak tahu. Huhhhhh!” Khalid membebel sambil menghempas penumbuk ke meja.
“Apa pasal marah-marah Lid. Duduk dulu. Nak kopi ke air teh ais?” Pak Haidir memberi isyarat agar Ah Hau mengambil tempahan air. Ah Hau menghampiri Khalid menghulurkan segelas teh o’ ais kegemarannya. Khalid membuang straw ke lantai dan meneguk air itu dengan laju. Khalid mengelus bauknya sambil menghela nafas.
“Aku kacak macam ni pun, Suria tu tak mahu kan aku.” Khalid menukar topik bicara. Pak Haidir mengerling dengan ekor mata mengisyaratkan Ah Hau tidak menyahut.
“Kau tahu, Hau. Suria tu tergila-gilakan YB Arief tu. YB itu umurnya baru 28 tahun. Si Suria tu dah 40 tahun kot. Tak padan langsung.” Mulutnya dijuihkan panjang. Peluh dari dahi membasahi bauknya sedikit menjengkelkan Pak Haidir.
“Nah, makan kuih nagasari ni. Suria yang buat.” Pak Haidir menyuakan kuih kepada Khalid. Khalid dengan rakus menikmati kuih itu hampir saja tercekik.
“Biasalah Lid, Suria tu walaupun kau bilang umurnya 40 tapi jalannya saja seperti kapal tiga tiang. Orangnya serba boleh, air tangannya kegilaan orang kampung. Kau pun tahu dia bukannya duduk di kampung sebab terperuk, dia menjaga ibunya. Dek kerana itulah dia tinggalkan kerjayanya di bandar nun. Betul kah Suria yang tergila-gilakan YB Arief?” Pak Haidir membetulkan segala buruk sangka Khalid.
“Suria tu 40 ke Pak Dir, banyak cantik, banyak manis tidak tua.” Ah Hau menggaru kepala yang tidak gatal.
“Dulu dia bekerja di syarikat multinasional ka apa syarikat gergasi gitulah dalam bidang komputer, IT , IT ni. Bukan sebarang oranglah katanya.” Pak Haidir menambah. Khalid tidak puas hati dan meletakkan sekeping not merah sambil berlalu pergi tanpa pamit. Marah betul dia dengan Pak Haidir yang membela Suria dan YB Arief. Suria gadis idamannya, YB Arief? Bagi Khalid, YB Arief hanya ibarat baru belajar duduk, lepang sudah memanjat tiang ada hati hendak memikat Suria yang iras pengacara pujaannya Puan Sri Normala Samsudin. Wajah klasik ayu Suria menjadi igauannya.
“Tak guna betul. Aku dengar YB Arief itu akan jadi Menteri Besar.” Khalid merengus sambil mencabut bendera Parti Julang Negara. “Dulu dia mengata parti lawan macam-macam masa kempen. Alih-alih elok pula bergabung.”
“Apa lagi kau ini Lid. Pagi-pagi dah mengamuk ni.” Pak Haidir cuba meredakan kemarahannya.
“Muda macam tu dah jadi Menteri Besar, padahal kalau ikut ramai lagi yang layak.” Dengusnya keras.
“Aiyaaa, kau mau itu Cina kah jadi Menteri Besar. Baguslah itu YB Arief jadi, Menteri Besar.” Ah Hau menggeleng kepala dengan telatah Khalid. “Mau orang tua kah?” Ah Hau gelak mengekek. Khalid menjelingnya tajam. Ah Hau segera memaniskan muka dan berhenti gelak.
“Aku rasa YB Arief ni ada skandal dengan Suria. Hari-hari kereta dia ada di rumah Suria.”
“Allahuakbar Khalid. Berdosa fitnah orang. Dah tentu Suria itu tinggal pun berempat. Dia ada pembantu rumah, ada misi datang jaga maknya tu. Bukan seorang.” Pak Haidir geleng kepala.
“Apa kalau beramai-ramai bukan mahram tu, duduk satu rumah siang malam tak berdosa ke. Maksiat, maksiat. Macam mana boleh jadi calon Menteri Besar. Elok sebelum dia angkat sumpah kita pergi serang rumah Suria itu.”
“Aiyaaa, apa pasal. Itu Suria banyak baik. Tak kacau orang punya.” Ah Hau cuba memujuk. Cepat sahaja Khalid memangkas katanya, “Kau Cina apa tahu hal orang Islam.” Ah Hau menahan marah. Pak Haidir memberi isyarat membiarkan sahaja Khalid dengan amarahnya yang tergesa-gesa katanya mahu ke rumah Penghulu dan membawa Pegawai Pencegah Maksiat ke rumah Suria selepas waktu Maghrib. Segerombolan orang kampung bersama Penghulu dan petugas pencegahan maksiat bertandang ke rumah Suria. Mereka memberi salam dan mengetuk pintu. Hanya sekali ketukan disahut seorang wanita lewat usia 20-an yang menjawab lembut semua pertanyaan mereka.
“Waalaikumussalam. Datin Su, sedang solat. Puan tidur. Misi Laila juga, ya tidur.” Begitu jawab pembantu rumah warga Indonesia kepada Penghulu. Mereka keliru kerana wanita itu membahasakan Suria sebagai Datin.
“Lelaki? Ada, ada, 2 lelaki di rumah ini. Lagi, solat.” Begitu bersahaja jawapannya apabila ditanya oleh pegawai terbabit jika rumah itu turut dihuni lelaki.
“Kan, saya dah cakap bukan satu lelaki Tuan, sampai dua bukan mahram serumah. Apa contoh YB nak tunjuk ni?” Khalid senyum lebar.
“Sabar Encik Khalid kita ini bukan buat serbuan, kita datang nak menyiasat tanya baik-baik aduan Encik Khalid itu.” Pegawai itu menegaskan agar Khalid menjaga adab.
“Apa kecoh-kecoh ni, siapa tu Mirna?” Kedengaran suara lelaki menuju ke pintu. “Ya, apa boleh saya bantu?” YB Arief membetulkan cermin matanya dan bertanya lembut. Pegawai Pencegah Maksiat menerangkan maksud kehadiran mereka. YB Arief mengangguk tanda faham dan menjemput semua yang hadir masuk dengan tenang. Khalid jadi keliru. Kenapa YB Arief tidak melarikan diri mengikut tingkap atau pintu belakang.
“Umi dengan Abah, solat biasanya lama. Saya di bilik belakang. Maaf tak dengar tuan datang tadi. Rumah ini yang duduk tetap, di bawah Mirna pembantu rumah, Misi Laila dan nenek. Saya, abah dan umi bilik di atas. Macam mana ya boleh tersebar berita bukan-bukan ini? Umi Suria itu, ibu tiri saya. Dekat 7 tahun juga abah kahwin dengan Umi. Cuma yelah Umi tak keluar sangat, ayah dan Umi jaga privasi sebab ini pernikahan ketiga abah. Jadi, Umi kalau boleh nak jaga hati ibu saya dan madunya lagi satu.” YB Arief menjelaskan.
“Eh, kalau Suria itu Datin, suami dia mestilah Datuk kan? Duk sibuk menjual kuih bagai tu. Kau ini mereka ceritalah itu.” Khalid sengaja memprovokasi.
“Umi tak buat kuih. Kuih itu Umi bantu Mirna isi masa lapang dan cari wang saku lebih.” YB Arief memandang Mirna. Mirna mengangguk dan senyum bangga dia tahu ramai orang kampung suka dengan kuihnya tapi ramai menyangka Suria yang membuat kuih muih itu.
“Arief, kenapa bising-bising ini?” Datuk Feroz bertanya sedikit keras kerana melihat ramai tetamu tidak diundang di rumah isterinya.
“Tak ada apa, Datuk. Maafkan kami kerana ada berlaku sedikit salah faham dengan aduan orang kampung.” Pegawai Pencegah Maksiat menjelaskan. Khalid sudah menikus, wajahnya pucat melihat kelibat Datuk Feroz, Ketua Parti yang disanjungnya.
“Hah, Khalid pun ada? Apa kamu buat ramai-ramai ni?” Datuk Feroz mengecam wajahnya dengan bauk tidak rapi cuba bersembunyi di sebalik Penghulu.
“Saya…” Khalid gagap menutur kata. YB Arief pandai menenangkan keadaan dia berbisik kepada Datuk Feroz dan akhirnya kesemua bersalaman. Suria tidak berbicara sepatah hanya membiarkan suaminya, anak tirinya menyelesaikan kehangatan suasana. Dia membetulkan ikatan telekungnya dan menepuk lembut bahu suaminya memohon izin ke dapur.
Datuk Feroz mengangguk lembut melepaskan pegangan tangan Suria di bahunya. Hati Khalid pecah berkecai melihat kemesraan merpati dua sejoli itu. Jika hendak dibandingkan dirinya kerdil ibarat layar menimpa tiang tidak disangka YB Arief ialah anak kepada Ketua Parti yang disanjungnya.
Lebih menyedihkan, wanita idamannya yang manis bertahi lalat di bibir itu milik orang. Khalid meneguk air teh panas yang dihidangkan Mirna dengan sekelat-kelat rasa dan peluh penuh di dahi menitik-nitik tanpa henti. – MIngguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya