Air asam ustaz Imran - Utusan Malaysia

Air asam ustaz Imran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MULUT Jalal, mesti berbunyi. Ada sahaja yang tidak senang kepadanya. Ada sahaja tidak kena. Dia mesti put-pit-put-pit. Tidak kira tempat. Paling dia suka majlis kenduri walimatul-urus. Jika tuan kenduri mengadakan gotong-royong. Lagi dia suka. Sambil menghiris bawang. Mulalah mulutnya membuka topik. Mengatur strategi. Dia pun ikut membawang. Mengalahkan orang perempuan!
“Aku hairanlah dengan kariah masjid kita. Dah lama sangat tak buat mesyuarat agung!” Jolok Jalal membuka gelanggang.
“Aa, betullah. Memang lama AJKnya tak buat mesyuarat agung!” Tokok Jamil, di sebelahnya. Kebetulan mereka duduk di tengah-tengah. Di antara tiga deretan 10 meja empat segi di bawah khemah di situ. Sempena kenduri walimatul-urus Pak Uteh Hamdan.
“Kata mereka. Pihak atasan tak benarkan. Nanti babitkan pemilihan AJK baru!” Menguatkan lagi luahan Jalal tadi.
“Yang penting bentangkan penyata kewangan. Kalau nama-nama AJK tak mahu dipilih. Penyata kewangan tu penting dulu!” Jalal semakin lebar membuka laluan.
“Ni tidak! Langsung tak mahu adakan mesyuarat agung. Pelik sungguh. Ahli kariah tak tahu duduk hujung pangkalnya, berapa duit masjid. Berapa duit masjid terkumpul! Buatlah pembentangan kewangan. Barulah ahli kariah puas hati! ” Panjang lagi Jalal melontarkan pandangannya.
Hanya Jalal dan Jamil yang berpandangan begitu. Yang lain sekadar menelinga.
Mereka tidak gemar mencampurkan urusan AJK masjid itu. Jamil pun sama naik. Lebih kurang Jalal. Mulutnya lagi berbisa. Juga, tidak kira tempat. Sebelum tunggu masuk waktu solat Maghrib. Di bangku batu, di pekarangan depan Masjid Bertam. Di situ pun menjadi luahan rasa tidak senang Jamil dengan AJK masjid itu.
Ketika hari lain itu, kira-kira 30 ahli blok pakatan kenduri Jalan Temusu berkumpul,di laman rumah Haji Sahak. Tiga khemah dipasang di situ. Haji Sahak, mengadakan majlis walimatul-urus. Anak perempuannya yang bungsu, Murni di ijab kabul, esok.
Sebelum itu. Sebelah petang ahli blok pakatan kenduri berkenaan turun bergotong royong. Dikepalai Ustaz Imran. Ustaz Imran, bolehlah dikategorikan sebagai chef. Dia berkemahiran bab masak-memasak. Bahkan di rumahnya, Ustaz Imran sering memasak. Kadang-kadang, isterinya, Ambariah bolehlah goyang kaki. Apabila Ustaz Imran, ligat ke dapur manakala ahli kariah Jalan Sentosa, mesti mengidamkan air asam Ustaz Imran. Menurut mereka, air asam dari tangannya, lain daripada yang lain. Sedap! Terasa sangat kelainannya.
Pendek kata, mereka sering memuji pengalaman Ustaz Imran itu. Sukar menandingi kemahirannya. Adunan resipinya paling mudah. Main campak-campak! Tapi, menjadi!
“Selain air asam. Lagi satu yang aku kagum kuah masakan ikan talang kering. Boleh aku hirup kuahnya. Tak terasa masin pun. Memang bestlah Ustaz Imran!” Ujar Nasir, salah seorang penduduk ahli kariah Jalan Sentosa. Selepas dia bersama rakannya selesai makan kenduri walimatul-urus di Jalan Temusu.
Kemudiannya berselang ketibaan Ramadan…
Masuk puasa yang keenam. Betul-betul hari Khamis jatuh malam Jumaat. Pakatan kenduri Jalan Temusu, mengadakan jamuan moreh berbuka puasa di Masjid Jamek Kampung Bertam.
Tentunya peminat air asam Ustaz Imran, menjadi tumpuan. Dan, kebetulan pula menunya hanya rebus daging cecah dengan air asam, serta kari ikan bawal putih. Termasuk hidangan nasi merah. Huh! Licin! Alhamdulillah, ramai jemaah hadir berbuka puasa. Diadakan di balai lintang, di situ. Kemudiannya, diikuti solat Maghrib berjemaah.
Dan, berlalu di situ…
Masih di satu lagi majlis walimatul-urus lain. Mesti ada Jalal. Jalal pandai cari lorong.Pandai cipta agendanya. Perkara sama diulanginya lagi. Dan, lagi…
“Masjid kita. Tak tahu duduk perkara penyata kewangannya,” kata Jalal membuka belat dulu.
“Pengerusi takut hilang jawatan. Itu tak berani hendak buat mesyuarat agung,” celah Jamil pula. Seperti diatur. Ada Jalal, mesti ada Jamil. Memang kena regunya. Yang lain menelinga saja.
Turut mendengar Kahar, salah seorang AJK masjid. Kahar diam. Tidak mahu masuk campur. Bagi Jalal, memang dia sengaja menyaringkan suaranya, supaya Kahar mendengarnya. Kahar memang arif perangai Jalal. Bukan setakat di majlis walimatul-urus, selepas solat Maghrib di masjid itu pun dia akan berleter.
“Siak buat kerja apa. Sawang penuh di kipas angin,” kata Jalal memanah pula kepada Berahim, selaku Siak masjid. Pada hal semalam, Siak Berahim, telah mencuci lima kipas angin. Cuma tiga lagi yang belum sempat dibereskan. Kerana terpaksa bergegas pulang isterinya telefon mengadu tergeliat kaki terjatuh di bilik air.
Kipas angin itu kebanyakan wakaf dari orang ramai. Sejak masjid itu digunakan pada 1982. Di samping, kipas angin itu sebagai persediaan jika penghawa dingin berlaku kerosakan! Lima jemaah lain, membisu. Pancingan Jalal tidak mengenai sasarannya. Malah ada yang angkat kaki. Mereka tahu sengaja Jalal mencipta skripnya untuk memperlekeh Siak Berahim.
“Tengok tandas. Buat baru. Tapi, najis penuh,” leternya lagi. Seolah-olah semuanya hendak hempuk kepada Siak.
“Kitalah kena cuci sendiri. Bukan nak tunggu Siak juga,” Kata salah seorang jemaah, mencelah dan berlalu.
“Lagi satu. Penghawa dingin. Pasang, tapi panas juga! Beli beribu ringgit. Tapi, tak sejuk manapun!”
“Siak sepatutnya datanglah cepat sikit. Pasang dulu, setengah jam. Ni tidak, lebih kurang sama naik dengan jemaah lain,” tambah leteran Jalal lagi. Dia memang berbulu dengan Siak Berahim. Di mata Jalal, semua tugas Siak itu tidak memberi kepuasan kepadanya. Bukan setakat Siak. Imam pun turut dibalun semacam. Jangan sebutlah nama Haji Fuad. Lagi Jalal merengkam. Pantang sangat dengan nama Haji Fuad, selaku Imam di situ.
“Assalamualaikum Tuan Haji,” sambil Jalal menghulurkan tangannya bersalaman dengan Haji Fuad.
“Lawa karpet baru Tuan Haji,” kata Jalal.
“ADUN baru kita wakaf,” jelas Haji Fuad.
“Dia wakaf sebagai mengenang jasa pengundi kepadanya kerana menang pilhan raya!” Tambahnya. Haji Fuad berlalu. Dia mengambil tempat menanti masuk waktu Isyak. Dan, solat sunat Tarawih. Kebetulan malam itu Jalal, datang agak awal. Berbanding malam lain. Belum masuk Isyak. Jalal ada modal lagi.
“Buat kolah beribu-ribu. Tapi, tak boleh digunakan. Tak sampai sebulan. Dah bocor,” umpan Jalal lagi.
“Yang tu. Akupun tak puas hati. Sepatutnya tak payahlah buat kolah terlalu besar,” kata Pak Leman.
“Ala buat kolah macam yang duk ada. Pasang kepala paip untuk berwuduk. Kan senang!” tambah Pak Leman. Dia salah seorang ahli JKK, di Kampung Bertam. Pak Leman, berani melontarkan pandangannya. Itupun selepas Jalal meranduk dulu.
Perihal kebocoran kolah yang menelan ribuan ringgit itu kerap menjadi bualan ahli jemaah. Selain itu sering menjadi isu bersambung iaitu isu tanpa mengadakan mesyuarat agung.
Entah. Hati Jalal, cukup merengkam. Selagi tidak meluahkannya habis-habisan. Lagi dia tidak senang duduk. Sebelum ini, Jalal pernah dilantik selaku Siak di Masjid Bertam itu. Tapi, hanya lima tahun dia bertugas di situ.
Dia menghantar surat meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan Pengerusinya. Puncanya, kerana permohonan Jalal ditolak. Dia minta dinaikkan saguhatinya. Namun tidak dilayan. Perihal Jalal, membuat permohonan kenaikan saguhatinya itu dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa Masjid Bertam. Bagaimanapun, ditolak oleh AJKnya kerana setiap tahun, Jalal memohon perkara sama.
“Kita abaikan permohonannya kali ini!”
“Bukan untuk bertugas seikhlas hati. Asyik nak menaikkan saguhati saja!”
“Kita tengok dulu. Setakat mana dia nak bertindak!”
AJK bertukar pandangan. Keputusannya, permohonan Jalal itu ditolak. Jalal rasa tercabar. Sebulan kemudian, Jalal nekad hantar surat letak jawatan. Selepas itu agak kelam kabut AJK Masjid Bertam. Mereka terpaksa membuat pengiliran petugasan Siak. Mesti datang awal. Buka kunci masjid. Pasang lampu. Pasang penghawa dingin.
Hanya Jamaludin dan Rashid, dua AJK yang sanggup melaksanakan tugasan Siak itu. Hampir dua bulan juga mereka bergilir-gilir memikul tugasan Siak. Barulah masuk Siak Berahim, memikul tugasan Siak Masjid Bertam. Siak Berahim, agak pendiam. Dia tidak banyak kerenah.
Untungnya Siak Berahim, sering dibantu isterinya. Setiap pagi Jumaat, isterinya, mesti datang mop lantai balai lintang. Mencuci tandas. Bubuh pewangi manakala semua telekung dibawa pulang untuk dicuci. Tempat telekung disusun rapi di rak-rak yang disediakan.
Tambahan bulan puasa, kerja-kerja di Masjid Bertam, dilipatgandakan. Memandangkan jemaah bersaf-saf hadir, untuk menunaikan solat Tarawih termasuk jemaah perempuan.
Siak Berahim, akan mencuci lidah kipas angin. Menyedut tahi cicak di karpet dan celah-celah tingkap. Pendek kata, jemaah berpuas hati. Nampaknya, masjid sentiasa bersih. Berbanding, Jalal dulu. Tidak tegur tidak buat. Sebaliknya rungutan Jalal pula memanjang.
Kadang-kadang Siak Berahim, akan mengalunkan muazin. Sedangkan Siak Berahim, sudahpun balun beduk. Iaitu tanda masuk waktu. Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada empat Bilal dilantik, muncul. Siak Berahim, tunggu lagi. Masing-masing masih tidak nampak batang hidung. Di antara jemaah yang pernah menyumbang muazin, juga tidak nampak. Kalau mereka itu ada. Mereka tidak banyak kisah. Mereka hendak mencari pahala. Mahu tidak mahu. Akhirnya, terpaksalah Siak Berahim, mengambil-alih tempat Bilal berkenaan.
Walaupun suara Siak Berahim agak rendah. Namun, tiada rotan, akarpun berguna juga. Ketiadaan Bilal yang dilantik itu sering berlaku. Lazimnya waktu Zohor dan Asar. Situasi itu masih ditakuk lama. Tup tup sepantas ia berlaku. Berlaku tanpa diduga. Bagaimanapun, hanya ada di antara jemaah sempat terpandang. Aksi malam yang penuh sejarah itu. Yang lain masih khusyuk menunaikan solat Tarawih. Yang hanya berbaki tiga atau empat hari lagi hendak sambut Aidilfitri.
“Aku ternampak Siak Berahim, menujah-nujah jarinya ke dahi Jalal.”
“Kena penumbuk ke?”
“Entah! Yang aku nampak macam tulah…”Begitulah selitan cakap-cakap di antara jemaah pada malam itu.
“Aku agak Jalal, malu kut.”
“Cepat-cepat Jalal, belah ikut pintu belakang!”
Sambung suara-suara jemaah itu lagi. Masing-masing tidak berapa pasti duduk perkara sebenarnya.
Esoknya, lain pula cerita yang terdengar. Jalal kena penumbuk dengan Siak Berahim! Lagi panjang cerita. Hanya Siak Berahim, yang dapat menjelaskan perkara yang sebenarnya. Andaian itu! Andaian ini! Pelbagai yang tidak tepat muncul ketika itu.
Siak Berahim, datang ke masjid seperti biasa. Tidak nampak perubahan berlaku. Siak Berahim, mengunci mulutnya. Bagaimanapun, kelibat Jalal langsung tidak nampak berjemaah.
“Baru bertemu buku dengan ruas,” kata Pak Leman, ketika menyimbang di kedai kopi Cik Mah.
“Baru padan muka Jalal. Tu bukan nak serik-serik,” tokok kawannya yang menyimpan janggut sejemput.
“Orang lain, bolehlah dia makan. Kena Siak Berahim, tak pasal-pasal meletup!” tambah Pak Leman, sambil menghirup kopi. Melepaskan ketagih. Ketika pulang selesai menunaikan Tarawih, pada malam itu.
Dan sejak Ustaz Imran kembali ke Maha Esa, setahun lalu. Air asamnya turut redup. Tidak lagi menjadi tarikan ke situ. Walaupun Timah, Maliah, Siah dan Om, selalu membantu Ustaz Imran ketika mengadun air asamnya. Cuma adalah sikit-sikit tempiasnya kepada mereka peroleh menu air tangan air asamnya. Namun sukar menandingi kehebatan Ustaz Imran itu! – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya