Pusarnya ada tiga - Utusan Malaysia

Pusarnya ada tiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Amin merajuk panjang kali ini. Marahnya tidak dapat dibendung lagi. Geram. Sakit hati. Semuanya bercampur baur. Amin menangis. Amin menjerit sekuat hatinya. Menyepak, merentap dan menumbuk apa sahaja yang ada di sekelilingnya. Perasaan terluka dan benci yang meluap-luap. Hatinya cukup sakit. Kata-kata nenek dan emak saudaranya pedih menikam umpama dihiris belati. Kemudian, kata-kata Cikgu Halimah tiga hari lepas adalah kemuncak kemarahannya, bagaikan api disiram minyak gas, membakar seluruh hati dan perasaan.
Puas emaknya memujuk supaya pergi ke sekolah tetapi Amin tetap dengan keputusannya untuk tidak hadir ke sekolah. Sudah tiga hari Amin tidak ke sekolah. Amin tetap bangun seperti biasa, mandi dan solat subuh kemudian memakai pakaian seragam sekolah. Beg sekolah kemudian digalas dan bekal nasi akan dimasukkan ke dalam raga basikal tetapi Amin tetap tidak mahu ke sekolah. Sebaliknya , Amin pergi ke sungai kecil di hujung kampungnya dan akan duduk di situ sampailah tengah hari. Kemudian, Amin akan balik ke rumah. Sama seperti kawan-kawannya yang lain.
“Mak jangan risau. Amin tidak ke mana. Kalau emak tak percaya, pergi ke sungai. Amin ada situ. Amin tidak mahu pergi ke sekolah selagi tidak ada sesiapa pun boleh buang benda yang ada atas kepala Amin ini,” tegas Amin.
Senah mengurut dada sambil memandang sayu anaknya mengayuh basikal menuju ke sungai. Dia faham perasaan Amin. Namun, segalanya sudah takdir. Bukan dia tidak menegur emak dan Kak Siah tetapi semuanya bagaikan mencurah air ke daun keladi.
Di tepi sungai, Amin membina tempat berteduh dengan menggunakan daun kelapa, batang buluh dan dahan kayu yang ada di situ. Cukup untuk dia berbaring dan melayan perasaan sambil mengail ikan. Sesekali, Amin terjun ke dalam sungai dan mandi. Bunyi air dan unggas menenangkan jiwa Amin yang sedang kacau.
“Sudah-sudahlah Amin, jangan diambil hati kata-kata nenek, Mak Long Siah dan Cikgu Halimah itu,” pujuk emak Amin.
“Mereka bergurau. Bukannya ada apapun. Sudahlah, minggu depan Amin kena pergi ke sekolah,”sambung emak Amin sambil mengusap-gusap kepala anak tunggalnya.
“Emak tak faham perasaan Amin,” balas Amin sambil meletakkan beg dan bekal nasi ke dalam raga basikalnya.
Masih terngiang-ngiang di telinganya kata-kata nenek sebulan yang lepas.
“Kau, Amin nampak gaya ikut jejak langkah bapa kau,” kata nenek sambil ketawa sebaik sahaja kepalanya diusap.
“Tiga juga tu…,” sambung nenek sambil menjuihkan bibirnya. Amin merajuk. Hidangan nasi dengan sayur keladi kegemarannya tidak disentuh. Nenek gelak seolah-olah tidak ada apa yang pelik.
“Laparlah kau Amin,” tempelak nenek. Emak hanya menjeling. Malas agaknya nak layan bebelan emak. Nanti kalau dilayan mungkin lagi panjang ceritanya.
“Itulah kau Senah, lawan cakap aku. Sekarang siapa susah. Tidak bertanggung jawab langsung. Balik ke rumah pun jarang-jarang. Nafkah entah ke mana. Amin, anak lelaki tunggal kau tu memerlukan kasih sayang dan perhatian ayahnya,” nenek membebel dengan rasa kesal sambil menyuap nasi.
Esoknya, Amin terus ke kedai gunting Abang Rashid yang terletak dekat surau. Amin menyuruh Abang Rashid menggunting rambutnya dan buang apa yang dikatakan nenek semalam. Malangnya, Abang Rashid pun gelakkan dia. Terbahak-bahak Abang Rashid gelak. Entahlah apa yang lucunya.
“Sudahlah Amin, eloklah tu. Hebatkan jadi macam ayah kau,” kata Abang Rashid sambil mengelap air matanya.
Amin terus mengayuh basikalnya tanpa mempedulikan panggilan Abang Rashid. Amin menangis lagi. Kecewa dan marah.
Amin termenung melihat air sungai yang mengalir tenang. Terbayang muka Abang Rashid sedang gelak. Terasa tangan nenek menunjal kepalanya sambil mengomel tentang ayah. Terngiang-ngiang suara Mak Long Siah marahkan emak. Minggu lepas, emak mengajak Amin bertandang ke rumah Mak Long Siah. Amin berkali-kali menolak tetapi melihat emak bergenang air mata, Amin akur.
“Mana Mak Long hendak tengok kepala kau, nenek cakap ada tiga,” kata Mak Long Siah sambil tangan cuba menyentuh kepala Amin.
Amin mengelak sambil menarik muka. Mencuka wajahnya. Emak macam biasa. Diam seribu bahasa.
“Bulan ini berapa kali suami kau balik rumah?”
“Atau sudah lupa jalan nak balik ke rumah, maklumlah sudah ada yang nombor tiga. Muda pula,” sambung Mak Long Siah lagi. Emak tunduk sambil tangannya sibuk memasukkan buah kuini ke dalam plastik. Buah kuini Mak Long memang manis. Kata-kata Mak Long Siah walaupun pedih tetapi tetap ada betulnya.
“Amin, pakai songkok kalau pergi sekolah. Ni, Mak Long belikan. Tutup kepala nanti kalau kawan-kawan nampak mereka gelakkan. Kata orang tua-tua kalau ada tiga atas kepala, jawabnya ikut jejak ayah kaulah,” pesan Mak Long.
Amin tunduk memandang lantai. Songkok pemberian Mak Long Siah diletakkan di atas kepalanya dengan hati sebal. Walaupun Mak Long Siah suka marahkan emak tetapi dialah selalu menolong kalau emak terdesak duit.
“Jauh aku mengelamun. Jam sudah pukul 12 tengah hari. Sekejap lagi baliklah kawan-kawan dari sekolah,” bisik Amin. Dia membuka baju sekolahnya dan terjun ke dalam sungai yang airnya separas lutut. Dia mandi sambil mengejar ikan-ikan di celah batu.
“Sekejap lagi datanglah itu Shafiq mengajak aku pulang,” getus Amin. Sejak Amin merajuk dan tidak pergi ke sekolah, Shafiqlah yang selalu datang memujuk. Mereka akan pulang ke rumah bersama dan kemudian setiap kerja rumah akan disiapkan.
Amin duduk di atas batu sambil membuka bekal nasi. Ikan kukus goreng, telur dadar dan sambal. Air kopi. Amin makan perlahan-lahan sambil matanya melilau melihat lima batang kail yang dipacaknya.
“Tidak ada rezeki hari ini,” gumam Amin. Selepas siap makan nasi yang dibekalkan emak, Amin terus masuk ke dalam bangsal yang dibuatnya. Beg sekolahnya dijadikan bantal.
Amin melayan perasaan sambil memegang kepalanya. Melurut-lurut rambutnya. Sesekali menyentuh bahagian tengah kepalanya dan mengetus rambutnya.
“Kenapa mesti ada tiga? Satu cukuplah, sama macam kepala Shafiq, kepala Rayyan, kepala Azam dan Zahari. Aku tak suka. Semua orang sibuk kata aku akan ikut jejak ayah,” Amin bercakap seorang diri.
Tiba-tiba wajah Cikgu Halimah menerpa. Sayup-sayup terdengar suara Cikgu Halimah memanggil namanya setiap kali kelas kotor. Memang tugasnya memastikan lantai kelas tahun 4 Melor sentiasa bersih setiap masa. Tidak ada sampah. Cikgu Halimah sangat menjaga kebersihan kelasnya.
“Amin, mari sini kejap. Tolong sangkut gambar ini di dinding,” suruh Cikgu Halimah. Tanpa membuang masa, Amin terus menyangkut gambar tersebut. Secara tidak sengaja gambar itu jatuh. Amin membongkok dan mengambilnya.
“Eh! Amin kejap,” kata Cikgu Halimah.
“Satu, dua dan tiga.”
“Orang tua cakap esok-esok awak …,” sambung Cikgu Halimah lagi sambil ketawa kecil. Amin masih ingat semua kawannya sibuk bertanyakan Cikgu Halimah apa maksud tiga di atas kepalanya.
Amin tertunduk malu. Dia masih ingat bagaimana dia cuba menahan air matanya daripada menitik dengan berpura-pura mengikat tali kasut. Amin kemudian meminta izin ke tandas bersama Shafiq, kawan baiknya.
“Shafiq, kau tolong buang atau gunting. Ini gunting. Kau dengarkan kata-kata Cikgu Halimah tadi. Aku tidak mahu jadi seperti ayah aku. Aku kasihankan mak. Menangis setiap hari. Hari ini, aku tak bawa duit. Emak bekalkan aku makanan. Duit habis. Hampir sebulan ayah aku tak balik rumah. Emak aku cakap ayah kena jaga mak muda,” panjang lebar Amin bercerita.
Shafiq terdiam. “Mana boleh buang. Aku tidak pandai nanti rosak rambut. Petang nanti kau pergi kedai gunting Abang Rashid,” pujuk Shafiq.
Amin mengeluh panjang. Abang Rashid sama dengan nenek, Mak Long Siah dan Cikgu Halimah, tidak faham perasaannya.
Sebaik sahaja sampai di rumah, Amin terus mengambil cermin dan menilik kepalanya. Bersungguh-sungguh Amin menilik. Namun, hampa.
“Emak, tolong pegang cermin. Amin hendak tengok kepala Amin yang digelakkan nenek, Mak Long Siah dan cikgu,” arah Amin sambil menyuruh emaknya memegang cermin.
“Sudahlah Amin, itu cakap orang tua sahaja. Cikgu pun bergurau sahaja. Bukannya benda betul,” balas Senah.
“Amin tidak suka disamakan dengan ayah. Amin nak buang dua, biar tinggal satu sahaja,” jawab Amin sambil mengesat air mata.
Senah mengeluh. Mati akal dibuatnya. Jenuh Senah jelaskan yang mereka semua hanya bergurau tetapi Amin tetap yakin semua itu betul.
“Amin, bangunlah. Tidur rupanya. Tengok siapa datang,” Shafiq mengoncang tubuh Amin. Amin menggosok matanya berkali-kali.
Cikgu Halimah, emak dan Shafiq sedang memandangnya. Baju sekolahnya terus dipakai. Kakinya menguis-guis tanah. Amin tidak mahu melihat wajah Cikgu Halimah. Dia benar-benar merajuk.
“Amin, cikgu minta maaf. Cikgu tidak sangka gurauan itu menguris hati awak,” kata Cikgu Halimah. Dia memujuk Amin. Emak hanya memandang sayu.
“Amin, itu semua hanyalah kata orang tua. Tidak ada kaitan langsung. Sudahlah, esok Amin kena pergi ke sekolah,” lembut Cikgu Halimah memujuk.
“Saya malu cikgu. Kawan-kawan berebut hendak tengok kepala saya,” jelas Amin.
Amin masih ingat, Ramlan, yang duduk di belakangnya di dalam kelas sibuk melukis kepalanya dengan tiga pusar. Kemudian, lukisan itu ditampal di dinding.
Cikgu Halimah tertunduk. Rasa bersalah yang amat sangat menyelinap hatinya. Dia tidak tahu yang ayah Amin mempunyai tiga isteri. Dia juga tidak berniat menyentuh hati Amin. Gurauannya menyebabkan anak muridnya malu dan berkecil hati.
Cikgu Halimah kemudian membuka begnya dan menunjukkan beberapa keratan akhbar, majalah dan buku. Semuanya mengenai kepala berpusar lebih daripada satu. Bahan bacaan tersebut diberikan kepada Amin.
“Amin baca semua yang cikgu bawa ini,” beritahu Cikgu Halimah. Cikgu Halimah kemudiannya memberikan penjelasan panjang lebar mengenai pusar yang ada di atas kepala. Amin tersenyum. Emaknya tersenyum. Shafiq juga senyum.
“Sesiapapun yang berkahwin lebih daripada satu, tidak ada kaitan dengan pusar di kepala kita. Itu semua ketentuan Allah. Amin tidak perlu fikirkan benda itu. Sekarang masa Amin belajar,” sambung Cikgu Halimah lagi.
Amin tertunduk sedih. Air matanya menitik ke tanah. Tangan emaknya digenggam. Cikgu Halimah memejamkan matanya rapat-rapat. Shafiq hanya mampu tersenyum dan sesekali dia juga meraba-raba kepalanya sambil menjeling kepala Amin.
“Nasib baik satu. Kalau tidak aku pun mungkin jadi macam Amin,” gumam Shafiq.
Amin memasukkan semua bahan bacaan yang diberikan Cikgu Halimah ke dalam beg sekolah. Amin menggosok kepalanya sendiri sambil memandang emak, Shafiq dan Cikgu Halimah.
“Hanya kerana gurauan, aku telah mengecilkan hati anak yang tidak tahu apa-apa,” bisik Cikgu Halimah agak kesal sambil merenung Amin yang sedang mengemas begnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya