Mat Ragas - Utusan Malaysia

Mat Ragas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan raya datang lagi. Sedar tak sedar sudah hampir lima tahun Yang Berhormat Muthulingam menjadi wakil rakyat DUN Lubuk Ular. Siapa yang tak kenal YB Muthulingam. Dia sangat disenangi penduduk setempat, tanpa mengira bangsa.
Kini pilihan raya akan diadakan semula. Ketika inilah YB Muthulingam teringat akan seseorang. Mat Ragas. Nama itu sangat istimewa baginya. Sebetulnya dia terhutang budi dengan Mat Ragas yang ditemukan secara tidak sengaja.
“Encik, saya perlukan ubat,” kata Mat Ragas ketika mengunjungi dispensari milik estet, di Kilang Besar.
“Awak kerja di estet ke?” tanya petugas yang bekerja di dispensari itu
“Tidak Encik! Tapi saya tak ada duit nak ke klinik,” jawab Mat Ragas dengan nada perlahan.
Muthulingam diam seketika. Dia diamanahkan oleh pengurusan estet untuk menjaga dispensari itu. Sudah 40 tahun dia bekerja di situ. Hanya pekerja estet yang layak untuk mendapatkan ubat. Kebiasaannya orang luar tidak dibenarkan mendapat keistimewaan itu.
“Tak apalah. Saya akan berikan ubat yang awak perlukan. Tapi lain kali tak boleh sebab minggu depan saya akan bersara,” kata Muthulingam. Sebenarnya dia berasa simpati dengan keadaan Mat Ragas, seorang penduduk kampung di tanah rezab pinggiran estet.
“Terima kasih Encik! Bilakah Encik bersara?” tanya Mat Ragas. Ada riak kesedihan pada wajahnya.
“Minggu depan,” jawab Muthulingam ringkas.
Itulah permulaan Muthulingam mengenali Mat Ragas. Pada hari terakhir Muthulingam bertugas, Mat Ragas datang. Di samping meminta sedikit ubat untuk penyakit asmanya, mereka bersembang panjang.
“Encik nak buat apa selepas bersara?” tanya Mat Ragas.
“Tak tahu lagi. Mungkin rehat sahaja,” jawab Muthulingam.
“Encik bertandinglah dalam pilihan raya!” tiba-tiba Mat Ragas memberikan cadangan. Daripada pemerhatiannya, Muthulingam sangat dikenali ramai, bukan sahaja dalam kalangan pekerja estet, malah penduduk sekitar yang rata-ratanya Melayu. Kebaikannya juga menjadi buah mulut penduduk setempat. Sesiapa yang datang untuk meminta ubat, dia tidak pernah menghampakan walaupun yang datang itu bukan pekerja estet getah.
“Apa?” Tanya Muthulingam seraya ketawa kecil menampakkan barisan giginya yang putih.
“Saya yakin Encik Muthulingam ada peluang. Semua penduduk di sini kenal dengan Encik,” tegas Mat Ragas.
“Saya bukan orang politik,” kata Muthulingam jujur.
“Jangan bimbang. Encik tahu kenapa saya dipanggil Mat Ragas?” tanya Mat Ragas.
Muthulingam memandang tunak ke arah Mat Ragas, seperti mahu lelaki Melayu itu menceritakan rahsia dirinya.
Nama Mat Ragas memang sinonim dengan dunia politik di daerah itu. Dia bukan wakil rakyat, bukan calon, bukan penyokong mana-mana parti politik. Akan tetapi setiap kali pilihan raya, khidmatnya sangat-sangat diperlukan.
Siapa yang sanggup memasang bendera parti di atas pokok kalau tidak Mat Ragas. Siapa yang sanggup masuk ke hutan menebang buluh untuk dibuat tiang bendera dan gegantung kalau tidak Mat Ragas. Dia berkhidmat untuk semua parti. Sesiapa sahaja yang memerlukan perkhidmatannya dia tidak akan menolak. Yang penting dia mendapat rezeki. Di luar musim pilihan raya dia tetap melakukan pekerjaan yang sama. Mengambil upah menebang pokok, membersihkan kebun, membajak sawah dan seumpamanya.
“Mana boleh menang kalau saya bertanding,” Muthulingam masih ragu-ragu dengan cadangan Mat Ragas.
“Cuba dulu! Saya akan bantu Encik Muthulingam,” Mat Ragas memberi keyakinan. Baginya, budi Muthulingam terhadapnya dan penduduk sekitar tiada tolok bandingannya. Dispensari itulah ikhtiar terawal sekiranya ada penduduk yang sakit. Muthulingam tidak pernah menolak untuk membantu, walaupun sepatutnya dia tidak boleh berbuat demikian.
“Kawasan ini majoritinya orang Melayu. Saya India, macam mana boleh menang?,” balas Muthulingam sambil ketawa kecil.
“Encik Muthulingam, orang Melayu hatinya lembut. Orang Melayu sangat mengenang budi. Pernah dahulu, calon bukan Melayu menang di kawasan Melayu. Calon tersebut hanya berjanji untuk menghantar pengundi menunaikan umrah, dia menang besar,” jelas Mat Ragas dengan sungguh-sungguh.
Muthulingam diam sejenak. Dia teringat perkara yang diperkatakan oleh Mat Ragas. Nampaknya Mat Ragas bukan main-main.
“Betul juga apa yang encik cakap ini?” ujar Muthulingam sambil memandang ke arah Mat Ragas.
“Encik Muthulingam tinggal dalam masyarakat Melayu. Encik fasih berbahasa Melayu. Semasa kempen nanti, Encik Muthulingam belajarlah sedikit bahasa Arab, sepotong dua hadis dan ayat al-Quran. Encik Muthulingam juga boleh berjanji untuk membantu penduduk yang ingin mengerjakan umrah atau haji,” cadang Mat Ragas.
Cadangan Mat Ragas akhirnya diterima. Encik Muthulingam bertanding atas tiket calon bebas. Dia mengikut petua yang diberikan oleh Mat Ragas. Akhirnya Encik Muthulingam memang besar.
Yang Berhormat Muthulingam benar-benar mendapat kepercayaan masyarakat setempat. Budinya ketika menjadi pengurus dispensari estet dikenang oleh masyarakat. Dia menang besar mengalahkan parti-parti politik dominan.
Mat Ragas telah menunaikan janjinya. Oleh sebab rasa terhutang budi kepada YB Muthulingam, Mat Ragas membantu calon bebas itu dengan ikhlas. Dialah yang memacak bendera parti YB Muthulingam. Dialah yang memasang gegantung di sekitar kawasan Lubuk Ular, Paya Mat Insun, Bukit Jenun, Kilang Besar, Pokok Tai dan lain-lain. Sebagai orang Melayu dia sangat mengenang budi.
Selepas pilihan raya, YB Muthulingam semakin sibuk. Dia cuba menunaikan janjinya satu persatu. Ramai juga penduduk warga emas Melayu yang dibantu untuk menunaikan umrah. Ada yang diberikan bantuan untuk mengerjakan haji.
YB Muthulingam tidak pilih bulu. Pengundi-pengundi India di Kilang Besar sangat menyayangi beliau. Pengundi-pengundi Cina di Bukit Jenun juga sangat menyayangi wakil rakyat mereka itu.
Setelah dua tahun menjadi wakil rakyat, suasana berubah secara tiba-tiba. Serangan wabak penyakit mengubah kehidupan manusia sepenuhnya. YB Muthulingam tidak dapat memantau penduduk di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri yang dimenanginya. Dia tidak lagi mendengar berita tentang Mat Ragas.
Apabila wabak penyakit pulih sedikit, YB Muthulingam mengambil kesempatan untuk meninjau kawasan. Mula-mula dia ke Bukit Nibung, tempat tinggal Mat Ragas anak beranak. Alangkah terkejutnya dia ketika itu apabila ternampak bendera putih lusuh di depan rumah Mat Ragas. Itu petanda Mat Ragas dalam kesempitan hidup.
“Encik Mat!” sapa YB Muthulingam. Dia sangat terkejut melihat keadaan Mat Ragas yang sangat daif. Terlantar kesakitan. Ternyata Mat Ragas tidak dapat bangun dan bergerak seperti dulu.
“Kenapa dengan kaki Encik Mat?” tanya YB Muthulingam.
“Sebenarnya, dah lama saya sakit kaki ini,” Mat Ragas terdiam sejenak. Air mata mula bergenang di kelopak.
“Saya terjatuh semasa memasang bendera YB dulu,” tambah Mat Ragas. Suaranya lemah sekali.
YB Muthulingam tergamam. Dia langsung tidak tahu akan kemalangan yang menimpa Mat Ragas.
“Kenapa tak beritahu?” soal YB Muthulingam.
“Dulu tak teruk sangat. Tiba-tiba sekarang saya tak boleh bangun,” kata Mat Ragas.
YB Muthulingam tidak menunggu lama. Mat Ragas bukan sekadar penduduk kampung di kawasan yang dimenangi. Bagi orang lain Mat Ragas mungkin orang biasa-biasa. Seorang lelaki yang sering ke hulu ke hilir mengambil upah menebang pokok, mengerjakan sawah, menebas semak.
Akan tetapi bagi YB Muthulingam, Mat Ragas ialah orang yang mencetuskan ilham untuk bertanding dalam pilihan raya. Dia tidak menjadi wakil rakyat jika tidak berjumpa dengan Mat Ragas dulu. Jasa Mat Ragas terhadapnya sangat besar. Mat Ragaslah yang bersungguh-sungguh membantunya dalam pilihan raya lalu.
Mat Ragas segera dihantar untuk mendapatkan rawatan. Semua kos ditanggung YB Muthulingam. Setelah keadaan baik, Mat Ragas pulang. YB Muthulingam sering juga menjenguk Mat Ragas di rumahnya. Dia juga menyumbangkan kerusi roda untuk kegunaan Mat Ragas yang tidak boleh berjalan lagi.
“YB kena bertanding lagi kali ini,” kata Mat Ragas suatu petang ketika YB Muthulingam melawatnya.
“Saya rasa dah tua. Kita kena bagi orang muda pula bertanding,” jawab YB Muthulingam.
“Tapi… khidmat YB masih diperlukan. Penduduk setempat semua suka akan YB. Sebenarnya YB belum menyempurnakan amanah terhadap penduduk setempat,” sambung Mat Ragas.
“Tapi, kali ini saya tidak dapat bantu YB macam dulu,” Mat Ragas bersuara lemah sambil bersandar di atas kerusi roda yang disumbangkan oleh YB Muthulingam.
YB Muthulingam memikirkan kata-kata Mat Ragas. Dia memang belum menyempurnakan semua yang dijanjikan dalam pilihan raya lalu. Kekangan pandemik selama dua tahun telah menyekat kesungguhannya untuk berkhidmat.
Masih ada warga emas sepatutnya dibantu mengerjakan umrah yang masih tidak mendapat peluang. Ada keluarga yang masih belum mendapat pembelaan sewajarnya. Masih ada golongan belia menganggur. Masa ada banyak lagi tugasan yang perlu dilakukan.
“Kalau YB nak membela nasib kami, YB bertandinglah lagi,” kata-kata Mat Ragas mengiringi perpisahan mereka pada petang itu.
Kini, pilihan raya datang kembali. YB Muthulingam tidak pasti mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negerinya. Hatinya berbelah-bahagi. Semangat ingin berkhidmat terus meluap dalam jiwa. Semangat Mat Ragas masih kuat mendorongnya untuk menjadi wakil rakyat. Akan tetapi, usianya semakin tua. Kalau boleh biarlah generasi muda menerajui pentadbiran negeri dan negara.
Hari penamaan calon akhirnya tiba. YB Muthulingam masih serba-salah. Segala dokumen pencalonan sudah sedia. Akan tetapi dia tidak dapat membuat keputusan.
“YB! Saya dapat mesej dari keluarga Mat Ragas,” tiba-tiba pembantunya memberitahu.
“Apa katanya,” hati YB Muthulingam mula berdebar.
“Mat Ragas meninggal dunia,” khabar itu benar-benar mengejutkan YB Muthulingam. Semangatnya tiba-tiba mencair dan hilang. Kesedihan mula menekan jiwanya. Dia terkedu tidak berkata-kata.
YB Muthulingam segera bergegas ke arah rumah Mat Ragas. Dia mahu membantu urusan persediaan pengebumian Mat Ragas. Dia memang terhutang budi dengan Mat Ragas. Dengan cara itu sahaja dia dapat membalas jasa Mat Ragas yang besar.
Selepas usai persediaan pengebumian Mat Ragas, YB Muthulingam teringat akan kata-kata terakhir ketika mereka bertemu buat kali terakhir.
“Kalau YB nak membela nasib kami, YB bertandinglah lagi,”
Tengah hari itu YB Muthulingam bergegas ke pusat penamaan calon. Dia akan bertanding lagi. Dia mahu berbakti kepada penduduk setempat. Sebaik-baik sahaja sampai, pusat penamaan calon sedang ditutup. YB Muthulingam panik.
“Tunggu. Saya nak hantar borang pencalonan,” jerit YB Muthulingam sambil tercungap-cungap.
“YB nak bertanding parlimenkah?” tanya pegawai yang bertugas.
“Tidak! Saya mahu mempertahankan kerusi saya di sini! Balas YB Muthulingam.
“Bertenang YB. Hari ini proses penamaan calon untuk parlimen sahaja. Dewan Undangan Negeri belum bubar,” terang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya.
YB Muthulingam terduduk di tepi pintu dewan. Wajah Mat Ragas bergentayangan dalam fikirannya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya