Masih ada lagi bermain congkak, konda kondi? - Utusan Malaysia

Masih ada lagi bermain congkak, konda kondi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARA hidup masa kini sudah banyak berubah. Tidak kira sama ada dewasa mahupun kanak-kanak, perubahan berlaku seiring zaman. Dengan ledakan teknologi canggih, segalanya tertumpu pada skrin telefon pintar yang ada.
Hampir kebanyakan masa dihabiskan bersama peranti dan kanak-kanak juga tidak terkecuali sama ada bermain permainan video atau menonton Youtube.Susah mahu mendengar jeritan dan melihat gelagat kanak-kanak bermain permainan tradisional seperti gasing, ­congkak, konda kondi, ketinting, tuju getah dan tuju selipar.
Menurut Presiden Warisan Anak Seni Malaysia, Datuk Ahmad Din, terdapat dua faktor utama yang menunjukkan jangka hayat khazanah warisan ini tidak akan bertahan lama untuk tempoh akan datang.
“Tokoh penggiat seni terdahulu sudah semakin hilang tanpa ada generasi kini yang meneruskannya.
“Selain itu, kita tiada langkah pemeliharaan dan pemuliharaan terutama di peringkat sekolah rendah yang sekaligus dapat menggalakkan mereka bergiat aktif dalam sukan permainan tradisional,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Ahmad memberitahu, sehingga kini tiga negeri yang paling kuat memegang adat dan tradisi sebelum ini turut terkena tempias sehingga menyebabkan ramai tidak mengenali sukan tradisional ini.
“Kedah, Negeri Sembilan dan Kelantan yang sebelum ini sangat kuat mempraktikkan adat dan tradisi ini juga terkena tempiasnya. Mujur Kelantan masih ada modul permainan tradisional di sekolah.
“Jadi pada saya sekiranya mahu dikekalkan, kita perlu melaksanakan langkah termasuk menerusi kerjasama antara Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memartabatkan kembali sukan ini,” jelasnya.
Antara langkah yang boleh dilaksanakan katanya adalah menerusi pengenalan modul kokurikulum berteraskan sukan tradisional di semua sekolah.
“Sukan tradisional boleh dipraktikkan dan dipertandingkan dalam kalangan pelajar. Alhamdulilah satu-satunya negeri yang ada modul sebegini adalah Kelantan dan mereka bermula di peringkat sekolah sehingga ke peringkat negeri.
“Apa yang kita mahukan supaya negeri lain ikut contoh yang ada bagi memastikan sukan tradisional tidak pupus pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, adalah sesuatu yang sangat merugikan seandainya situasi sebegini terus dibiarkan sehingga menyebabkan permainan tradisional pupus.
“Sukan tradisional memupuk jati diri dan menjadi akar tradisi lebih-lebih lagi Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.
“Malah kita ada pelbagai keunikan yang bukan sahaja ada pada permainan, sebaliknya kepada seni warisan lain. Justeru sekiranya masih ada yang kenal dan tahu mengenai seni budaya warisan, penghaya­tan yang dimiliki pasti tidak sama kerana konsep yang berbeza se­perti perkahwinan yang menjadi semakin mudah dan tidak memberi kesan yang besar,” jelasnya. – MINGGUAN MALAYSIA 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya