fbpx

Langit beransur menjadi terang

Aku menatap misteri dan keajaiban hidup yang semua diatur dan ditetapkan Allah SWT dengan tata kelola kehidupan berjalan sesuai ketetapan-Nya. Namun hidup hanya akan berhujung pada dua hal husnul khatimah atau suul khatimah.
“Hanya kerana kasih sayang Allah hidup seorang durjana boleh berakhir dengan husnul khatimah. Dan, hanya kerana murka-Nya, seorang ahli ibadah boleh mengakhiri hidupnya dengan keadaan suul khatimah.”
Berbisik percakapan suami yang meninggal dunia setahun lalu, hari ini menyambut hari kematian dengan syahdu.
Teringat hadis Nabi, maka demi Allah yang tiada Ilah selain-Nya, ada seseorang di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga kecuali sehasta sahaja, kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli neraka dan ia masuk neraka. Ada di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli neraka sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta saja. Kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli syurga dan ia masuk syurga.”
Memikirkan usia terus bertambah, apa lagi ketika telah memasuki usia 60 tahun. Nabi bersabda, “Allah memberi uzur kepada seseorang yang Dia akhirkan ajalnya, hingga sampai usia 60 tahun.”
Usiaku setahun lagi 60, masih sihat dengan strok ringan di belah kanan sejak enam bulan yang terus menguja. Bersyukur Allah memberi angin ahmar yang ringan dan masih boleh bergerak seperti biasa selain jantung berdetik perlahan.
Membaca lagi hadis yang memberi pelajaran berharga bagi yang usianya mendekati atau sudah tiba atau yang sudah lebih dari 60 tahun. Tidak ada yang pantas untuk dilakukan selain banyak istighfar, meningkatkan kualiti ibadah, dan konsentrasi penuh untuk mempersiapkan kehidupan akhirat.
Sambil membaca kitab al-Hilyah, tentang Fudhail bin Iyadh pernah bertemu dengan seseorang yang sudah tua.
“Berapa usiamu?” tanya Fudhail.
“Enam puluh tahun,” jawab orang tua itu.
“Engkau selama 60 tahun berjalan menuju Tuhanmu dan sebentar lagi engkau akan sampai.”
“Innalillahi wainnailaihi rajiun,” orang tua itu kehairanan.
“Engkau faham makna kalimat itu? Engkau faham tafsirnya?”
“Tolong jelaskan tafsirnya?”
“Engkau menyatakan Innalillah, ertinya kita adalah hamba Allah dan akan kembali kepada-Nya. Siapa yang yakin bahawa dia hamba Allah dan akan kembali kepada-Nya seharusnya menyedari dirinya akan berdiri di hadapan-Nya. Siapa yang meyakini hal ini, dia harus sedar bahawa dia akan ditanya. Siapa yang yakin akan hal ini, ia harus menyiapkan jawabannya.”
“Bagaimana jalan keluarnya?”
“Caranya mudah.”
Kemudian Fudhail menyebutkan sebuah teori bertaubat. “Berbuat baiklah di sisa usiamu, dengan itu diampuni dosa-dosamu yang lalu dan yang akan datang. Jika kamu masih rajin bermaksiat di sisa usiamu, kamu akan dihukum kerana dosamu yang lalu dan yang akan datang.”
Termenung aku membaca kerana jangan menunggu sampai usia 60 tahun baru beramal soleh untuk hidup yanghusnul khatimah.
Hanya tinggal setahun untuk memasuki usia 60-an di kala ramai yang masih hidup telah bersara dengan menjaga cucu dan berehat di rumah. Ada terus bekerja untuk kepuasan atau mencari rezeki kerana duit pencen tidak mencukupi.
Aku mahu terus bekerja menyemarakkan dan berkongsi pengalaman dengan generasi muda walau dunia berubah sekelip mata. Anak-anak muda dengan gajet dan sosial media dengan pertambahan penduduk yang cepat.
“Mungkin hari tua adalah penerokaan sensitif tentang usia tua dan dunia emosi warga tua yang kompleks dan tersembunyi dalam populasi yang semakin tua.
“Ramai orang tua bercakap seolah-olah tahu segala-galanya, tetapi pada usia tua mereka sebenarnya sama jahil seperti kanak-kanak. Ramai warga emas tidak bersedia dengan apa yang akan mereka hadapi apabila sudah tua dan jalan yang menanti mereka.”
Cakap Nasir, seorang duda kerana kematian isteri akibat kanser. Bekas kekasih lama 45 tahun dahulu, kembali mengubah kehidupan setelah bergelar duda dan balu. Terasa ada jalinan semula yang mendekat perhubungan di sisa usia. Namun suami seolah masih hidup dan memerhati.
Pada masa antara seseorang yang mencecah 60 tahun, apabila mula berumur, sehingga semua lampu padam dan langit menjadi gelap. Ada situasi yang perlu diingat, supaya aku akan bersedia untuk apa yang akan berlaku.
Biar usia 60-an datang dan aku tidak akan panik untuk berkahwin semula. Anak-anak merelakan kerana tiada siapa mahu menjaga seorang ibu tua.
“Keindahan kehidupan adalah kematian itu pasti, masanya tidak pasti. Tiada usia ditetapkan untuk pemergian terakhir dan manusia boleh hidup dengan harapan keabadian sehingga saat terakhir. Harapan adalah kekal walaupun kewujudan adalah sementara.”
Bercakap melalui WhatsApp secara video. Sedang di rumah pesara yang nampak selesa dan dijaga. Mungkin pembayaran mahal tetapi untuk apa duit bila sudah tua?
“Tualah bersama saya, yang terbaik masih ada, telah mengajar kita untuk menunggu keajaiban pencapaian yang mengubah permainan walaupun pada waktu senja dalam hidup kita.”
Kata Nasir lagi dengan senyuman menculik. Wajahnya telah berubah dengan kepala botak dengan sakit kencing manis. Begitu positif.
“Manusia menganggap diri mereka sangat diperlukan, tetapi kubur dunia dipenuhi dengan orang yang sangat diperlukan, yang menyangka kehidupan akan terhenti sepenuhnya jika mereka tidak lagi wujud.” Ada benar kata-kata Nasir yang memujuk untuk bernikah dan tinggal di rumah bersara untuk orang tua. Berkongsi kehidupan tua.
“Ramai yang percaya bahawa umur hanyalah angka selagi mereka tidak mempunyai kecacatan atau OKU seperti saya. Kebanyakan orang menyedari mereka sudah tua apabila orang lain menunjukkan rasa hormat dan penghormatan baru kepada mereka. Tradisi merawat orang tua memberi mereka rasa penting.” Sekali lagi Nasir yang duduk di kerusi roda sebagai OKU tersenyum kerana sikapnya positif dengan terus menulis dan mengajak aku untuk menulis bersama. Tentang usia 60.
Dengan pengalaman Covid-19 menunjukkan kematian adalah tinggi di kalangan orang tua di rumah orang tua, Nasir terselamat.
Tiba-tiba teringatkan Shakespeare tentang tujuh peringkat dalam kehidupan, tetapi bukan berdasarkan umur. Pada perubahan keutamaan dan kekuatan badan. Pertama, bayi, kemudian budak sekolah, kekasih, askar, hakim, lelaki tua dan akhirnya kebudak-budakan dan kelalaian semata-mata, tanpa gigi, tanpa mata, tanpa rasa, tanpa segala-galanya.
Pasti tiada siapa yang dapat melarikan diri dari peringkat ini, tetapi proses penuaan berbeza antara manusia, bergantung kepada banyak faktor. Menyaksikan setiap hari anak muda dan orang tua, menjadikan sebarang klasifikasi orang berdasarkan umur tidak bermakna.
Bagi aku orang di sekeliling hanya terus bertambah kecil bilangannya. Orang dalam generasi ibu bapa dan sebahagian besarnya telah meninggal dunia manakala ramai rakan sebaya telah pergi dan akan semakin sukar untuk menjaga diri sendiri dengan generasi muda semuanya akan sibuk dengan kehidupan mereka sendiri. Apa lagi anak-anak enggan menjaga.
Kini hari-hari kekosongan dan perlu belajar bagaimana untuk hidup bersendirian, dan menikmati dan menerima kesendirian. Kalau tidak berkahwin lagi untuk berkongsi pengalaman. Sememangnya masyarakat akan semakin kurang mengambil berat. Tidak kira betapa gemilang kerjaya sebelum ini atau betapa terkenalnya seseorang, penuaan akan sentiasa mengubah menjadi seorang lelaki tua dan wanita tua biasa.
“Tumpuan tidak lagi menyinari dan perlu belajar bertahan dengan senyap di satu sudut. Untuk menghargai keriuhan dan pandangan yang datang selepas masa muda berlalu dan kita mesti mengatasi keinginan untuk iri hati atau merungut dengan keadaan.” Begitu kata Faridah yang berbaring dek uzur seluruh badan walau usia sebaya.
Ternyata aku melihat jalan di depan akan berbatu dan penuh dengan ketidakpastian. Dengan sakit patah tulang, strok, penyumbatan kardio-vaskular, atrofi otak dan kanser. Semua adalah tetamu yang mungkin boleh melawat pada bila-bila masa, dan tidak akan dapat menolak. Ternyata perlu hidup dengan penyakit untuk melihat penyakit sebagai kawan.
Kata Faridah yang positif dengan keadaan anggota tidak boleh bergerak dengan menulis autobiografi.
“Seperti saya meniarap di katil, kembali ke keadaan bayi. Ibu membawa kita ke dunia ini di atas katil, selepas perjalanan yang penuh liku-liku dan kehidupan yang penuh perjuangan, kita kembali ke titik permulaan kita, di atas katil dan kepada keadaan yang perlu dijaga oleh orang lain.”
Nasiblah Faridah berwang dan menggaji dua jururawat.
Satu-satunya perbezaan kepadaku kerana pernah mempunyai ibu untuk menjaga, apabila bersedia untuk pergi dan mungkin tidak mempunyai saudara untuk menjaga seperti Faridah.
“Walaupun kita mempunyai saudara, penjagaan mereka mungkin tidak pernah dekat dengan penjagaan ibu dengan lebih cenderung dijaga oleh kakitangan kejururawatan yang tidak mempunyai hubungan, memakai senyuman di wajah sambil membawa keletihan dan kebosanan dalam hati. Berbaring dan jangan susah, ingat bersyukur dengan apa yang ada.” Sedih mengenang semuanya namun hidup perlu diteruskan.
“Akan ada banyak scammers dan penipu di sepanjang jalan. Ramai daripada mereka tahu warga tua mempunyai banyak simpanan. Scammers akan terus memikirkan cara menipu wang warga tua melalui panggilan telefon, mesej teks, mel, sampel makanan dan produk, skim cepat kaya, produk untuk awet muda atau pencerahan, pada asasnya, apa yang mereka mahukan adalah mendapatkan semua wang.”
Begitu ingatan Anidah dalam video agar berhati-hati pegang wang dan wang tidak lama lagi terus berpisah, jadi belanjakan wang dengan bijak.
Apabila mencapai usia 60 tahun, adalah baik melihat kehidupan seperti apa adanya, menghargai apa yang ada, menikmati kehidupan selagi mampu, dan tidak memikul masalah masyarakat atau hal ehwal anak cucu sendiri.
Apabila diri semakin tua, menjadi lebih baik sekiranya dapat memahami apa itu rasa hormat dan apa maknanya. Pada hari-hari terakhir dalam kehidupan perlu memahami maksudnya, melepaskan keterikatan untuk menyediakan mental.
“Jalan alam adalah cara hidup, kita pergi dengan alirannya, dan hidup dengan ketenangan.”
Kembali Nasir bersuara dengan video mengenai pesakit Covid-19 yang lebih tua diheret keluar dari hospital, laporan luar biasa muncul mereka disingkirkan untuk beri ruang kepada pesakit lebih muda.
Doktor terpaksa memilih pesakit yang mereka mahu memakai ventilator kerana kekurangan sistem sokongan. Melarang orang berumur 60 tahun ke atas daripada melakukan aktiviti luar adalah kejam. Terdapat ramai orang sangat produktif dalam seni, budaya, karyawan, sukan, masakan dan lain-lain yang kehilangan mata pencarian.
“Tetapi penulis seperti saya akan tahu bahawa nyanyuk telah berlaku apabila mendapat slip penolakan daripada editor. Sesungguhnya, ada kehidupan di luar 60 tahun dan kehidupan mesti dinikmati tanpa belenggu selain langkah pertahanan sukarela terhadap penyakit seperti wabak Covid-19.”
Lantas aku menyuarakan pendapat untuk Nasir yang mengharapkan jawabanku dalam usia 60 tahun dan waktu yang semakin terhad untuk kemurungan dan kepiluan, bergembiralah dengan hari yang tinggal.
“Saya menerima pinanganmu.”
Kataku disambut takbir oleh Nasir yang tiba-tiba bangkit dari kerusi roda kerana langit beransur menjadi terang kembali! – MINGGUAN MALAYSIA

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN