Tapai ubi emak - Utusan Malaysia

Tapai ubi emak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rancangan emak untuk menyelesaikan kerja membuat tapai ubi sebelum solat Asar berjaya dilaksanakannya, malah pasu untuk memeram tapai siap dibungkus rapi dengan kain 20 minit sebelum azan. Pada saya ini pencapaian lebih baik sebab sekali ini emak menggunakan lebih banyak ubi, kerana kebetulan, tiga rumpun ubi yang emak minta tolong galikan menghasilkan jumlah ubi yang lebih banyak daripada biasa.

Ya, memangnya bukan biasa. Sebelum ini, biasanya apabila saya atau abah sekali pun menggali ubi, serumpun hanya akan menghasilkan lima atau enam tukul ubi yang boleh digunakan untuk membuat tapai. Tetapi sekali ini, daripada tiga rumpun yang digali, saya mendapat 24 tukul dengan setiap tukul, jika dikerat sepanjang jari telunjuk, emak akan mendapat empat buku.

Jadi keseluruhannya, kalau penapaian berjaya, emak akan menghasilkan 96 buku tapai, dan jika dibungkus dengan purata tiga buku sebungkus, emak akan mendapat 32 bungkus. Dengan harga 20 sen sebungkus, emak akan mendapat RM6.40, cukup untuk membeli lebih daripada segantang beras dan beberapa tahil ikan bilis dan udang sambal serta beberapa keping sotong kering.

Tetapi apakah jumlah ubi yang lebih banyak kali ini suatu kebetulan. Ataukah semua ini rahmat tambahan daripada Tuhan, Tuhan yang Maha Tahu bahawa emak dan saya akan menghadapi pelbagai dugaan dan kesusahan selepas pemergian abah ke alam Barzakh. Tuhan yang pasti memerhati dan mengasihi kami berdua.

Semoga Tuhan akan pertingkatkan juga ketekunan dan ketelitian emak, walaupun saya akui emak memangnya sangat tekun dan teliti dalam membuat kerja. Kalau bukan kerana dua sifat itu, emak tidak akan menangguhkan makan tengah harinya sehingga pasu pemeraman tapai dibungkus kemas dan ketat serta disimpan di sudut sebelah almari pakaian di ruang tengah rumah yang terlindung daripada cahaya matahari.

Sebaik saya membersihkan diri selepas pulang dari kebun tadi emak sudah berpesan, “Mak tengah kukus ubi ini. Mak nak ragikan sebelum Asar. Jadi mak tak sempat sediakan lauk untuk makan tengah hari. Nasi mak dah masak. Lauk Lan masaklah ikut selera Lan.”

Saya memang sudah biasa dengan pesanan begitu, dan sudah faham benar akan maksudnya, yang emak akan memberi tumpuan penuh pada kerja yang akan dan sedang dilaksanakannya, dan pada masa sama dia tidak mahu sesiapa mengganggu, walaupun hanya bertanya soalan atau mengajak makan.

Saya pun tidak sampai hati hendak merungut-rungut. Saya tunaikan sahaja dengan ikhlas demi emak, abah dan diri saya juga. Apalah sangat susahnya menggoreng seekor dua ikan masin, atau merebus dua ke tiga biji telur ayam yang boleh diambil terus dari reban, atau mencelur pucuk ubi, kangkung dan bayam; atau masak lemak cili padi pucuk paku dengan ikan keli atau masak lemak tempoyak pucuk tangki dengan ikan puyu, atau membuat sepiring sambal belacan, atau semangkuk sambal tumis ikan bilis, atau pun semangkuk kicap bercampur bawang dan cili hijau ditambah cuka.

Tidak mungkin saya akan memasak kurma ayam atau daging, atau kari tulang rusuk lembu atau kambing, atau rendang itik salai, walaupun semua itu menyelerakan saya, kerana bahan-bahannya jarang-jarang sekali ada di rumah kecuali apabila sudah dekat dengan hari raya.

Sesekali abahlah yang memuji masakan saya, “Sedap, bertambah abah makan. Esok lusa bila abah dan emak ke sawah dan balik senja, atau ke hutan mencari petai, kerdas atau cendawan, bolehlah Lan masak lagi.

Tapi hati-hati dengan api di dapur.”

Biasanya setelah memuji itu, abah menoleh ke muka emak, tetapi emak tidak menoleh pun kepada saya.
Saya diam sambil tertunggu-tunggu anggukan atau senyuman yang tidak kunjung muncul dari emak.

Di dalam jiwa terlakar azam untuk menghasilkan masakan yang lebih enak.

Dan pada tengah hari itu saya makan nasi berlaukkan ikan sepat masin goreng, pucuk ubi celur, sambal belacan dan ulam petai, sambil memerhati emak di ruang tengah rumah yang sedang mengeluarkan buku-buku ubi dari kukusan untuk dibiarkan sejuk di atas nyiru buluh berlapik daun pisang.

Seperti setiap kali membuat tapai, khususnya di peringkat menyejuk dan meragikan tapai, emak akan memakai tudung membalut seluruh jemalanya sehingga tiada sehelai rambut pun terdedah dan separuh wajahnya dibalut dengan kain batik, termasuk hidung dan mulut.

Apakah ini sebabnya kenapa emak tidak menjawab soalan-soalan saya mengenai proses penapaian ubi kayu yang sedang dilakukannnya.

Misalnya, apabila saya bertanya kenapa bahagian luar tukul ubi perlu dikikis sedangkan kulitnya telah dibuang, emak senyap. Begitulah, apabila saya bertanya kenapa ubi perlu disejukkan terlebih dahulu, sebelum ditaburkan serbuk ragi ke atasnya, emak diam.

Begitu juga apabila saya bertanya kenapa pasu tempat ubi yang telah diragi itu diperam perlu di balut sebegitu rapi dan ketat dan disorok ditempat yang gelap, emak bungkam. Dan emak mendengus apabila saya bertanya kenapa tiada sesiapa dibenarkan rapat untuk melihat apa yang dia kerjakan dengan tujuan untuk belajar.

Pada mulanya memang saya kecil hati. Tetapi saya pendamkan sebagai rangsangan untuk belajar menjadi pembuat tapai yang lebih baik daripada emak.

Dan saya sedar, untuk menjadi lebih baik daripada emak, adalah sukar kerana emak memang sudah cukup baik.

Tapai yang dibuat emak sudah cukup baik, rasanya manis; ubinya lembut, berwarna putih dan basah berkilau; air tapainya melimpah; dan penampilannya cukup menggoda dan menyelerakan.

Jualannya pasti laris dan tidak mengambil masa yang lama.

Salah seorang yang tidak pernah tidak membeli jualan saya ialah rakan sedarjah saya, Tan Bee. Setiap kali berjualan ke pekan Ulu Beranang, dia selalu menunggu di muka pintu kedai bapanya, Ah Bong.

Bukan setakat sebungkus, tetapi lima bungkus sekali. “Sedap dan manis. Kami sekeluarga suka.” Pujian itu mengembangkan semangat saya. Lalu persahabatan kami bertambah rapat.

Di dalam semua ujian dan peperiksaan, dialah yang sukar saya atasi, khususnya bagi mata pelajaran Ilmu Hisab dan Bahasa Inggeris.

Tetapi dialah juga yang banyak membantu saya dalam kedua-dua mata pelajaran itu, temasuklah memberi naskhah-naskhah surat khabar berbahasa Inggeris yang telah dibaca. Saya baca naskhah-naskhah itu dari muka hadapan ke muka belakang. Perlahan-lahan kemahiran yang berbahasa Inggeris, sama ada secara lisan atau tulisan meningkat.

Dia jugalah yang meningkatkan minat saya kepada mata pelajaran seni lukisan. Tetapi perkembangan saya dalam bidang itu tidak lancar. Buku dan pelbagai warna yang mahal menyekat kemahuan saya untuk banyak berlatih seperti dia. Akhirnya, lukisan-lukisan dia sememangnya jauh lebih cantik dan menarik. Lukisan-lukisan dialah yang banyak dipaparkan di dinding kelas.

Namun semangat saya tidak patah, sama seperti semangat saya menjualkan tapai ubi emak. Selesai berjualan di pekan, saya menyimpang ke deretan rumah pekerja di estet. Ramai peminat tapai ubi emak di situ, termasuklah seorang lagi rakan sekelas saya, Raju.

Seperti di pekan, setiap kali saya sampai, ramai yang berkerumun untuk membeli, dan masing-masing mengenali saya sebagai anak bilal penjual tapai. Ramai juga yang ingin tahu bagaimana emak membuat tapai sampai begitu manis dan sedap.

Tetapi pertanyaan-pertanyaan mereka itu tidak sekali pun saya ajukan kepada emak. Malah sejak kebelakangan ini saya tidak lagi mengulangi soalan-soalan saya sendiri kepada emak. Mungkin emak tidak perasaan.

Mudah-mudahannya begitulah, kerana saya sudah tahu jawapan kepada soalan-soalan itu sejak sebulan lalu, sejak saya ditinggalkan di perpustakaan di tingkat bawah bangunan Pejabat Daerah Seremban, sementara emak, abah dan Pak Long Jusoh naik ke Pejabat Tanah di tingkat satu. Kesempatan itu saya gunakan untuk mendapat jawapan kepada semua soalan yang bersesak-sesak di benak saya.

Dengan mengumpulkan seluruh keberanian dan membuang perasaan malu, saya memohon untuk mendaftar menjadi ahli perpustakaan, dan sekali gus meminjam dua buku setelah hampir sejam mencari buku yang menepati persoalan yang menyesakkan kepala saya, dan berjanji akan memulangkannya melalui perpustakaan bergerak yang singgah di sekolah sebulan sekali. Alhamdulillah, saya bukan sahaja sudah boleh menjawab soalan-soalan yang selalu saya ajukan kepada emak itu, tetapi juga kepada soalan yang ditanyakan kepada emak melalui saya. Malah sudah ada yang mengajukan pertanyaan itu yang sudah mula mencuba-cuba membuat tapai ubi.

Malah melalui buku-buku itu juga, saya sudah tahu cara bagaimana membuat tapai pulut, dan juga cara membuat ragi yang digunakan. Insya- Allah saya akan mencuba membuatnya secara rahsia supaya akhirnya emak akan memuji saya.

Kini setelah lebih 50 tahun, ingatan kepada usaha gigih emak membuat tapai ubi dan soalan berkaitan dengannya, membuatkan saya tersenyum.

Usaha emak itu secara tidak langsung telah membukakan dunia baru kepada saya, dunia mikrobiologi, dunia organisme-organisme sesel yang tidak nampak kepada mata kasar, kecuali dengan menggunakan mikroskop, sama ada mikroskop cahaya biasa atau mikroskop elektron. Lalu saya mengenali bukan sahaja ragi, tetapi pelbagai spesies protozoa, bakteria, kulat dan virus berbahaya dan tidak berbahaya, yang patogenik dan tidak patogenik, yang baik dan jahat.

Dan sempena cuti Hari Kebangsaan, saya ke galeri lukisan. Ada tiga lukisan saya dipamerkan, dan tanpa disangka-sangka ada seorang wanita Cina yang khusyuk memerhati salah satu lukisan itu. Sebalik dia berpaling ke belakang, sekujur tubuh saya terkesima.

“Tan Bee! Puan ini Tan Bee?” Dia pun seperti saya, tergamam. Setelah beberapa saat begitu, seperti menyegarkan semula ingatannya, dia memulangkan sapaan, “Ramlan! Aduhai lama betul kita tidak berjumpa. Itu, lukisan itu, gambar seorang wanita tua sedang membuat tapai, cantik, cantik sekali, seperti saya terpangil-panggil untuk memakan tapai ubinya”.

Kami sama-sama tersenyum lebar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya