Menyelongkar puisi Sriwati Labot - Utusan Malaysia

Menyelongkar puisi Sriwati Labot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sumbangan penulis wanita Sarawak dalam kesusasteraan Melayu tidak boleh dinafikan. Nama-nama seperti Ratnawati Jamil, Latifah Shebli, Hajijah Jais dan Jamilah Morshidi ialah antara penulis wanita negeri itu yang mewarnai jagat sastera Malaysia.
Selain nama yang dinyatakan, penulis Sriwati Labot turut disenaraikan sebagai penulis wanita berwibawa Sarawak.
Ini diakui oleh penulis Ja’afar Hamdan bahawa bersama-sama gagasan kewibawaan Sriwati Labot, memberi satu petanda bahawa penulis wanita di Sarawak masih terus membina legasi dan memanfaatkan partisipasi kepengarangannya (Utusan Borneo Online).
Malah Sriwati Labot dianugerahkan Penulis Harapan 1997/1998 dalam Anugerah Sastera Negeri Sarawak 1998.
Tahun 2020, Sriwati tampil dengan buku kumpulan puisi bertajuk Luka Merpati, diterbitkan oleh Pena Padu Press.
Buku Luka Merpati ini turut dilancarkan bersama 10 buku ahli Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) pada 21 Oktober 2021 di Majlis Pelancaran Buku Penulis PUTERA dalam program Kolokium 40 Tahun PUTERA anjuran PUTERA dengan kerjasama DBP Sarawak.
Buku Luka Merpati ini menghimpun sejumlah 80 puisi. Sehubungan itu, apakah gagasan kewibawaan Sriwati terkandung dalam Luka Merpati?
Sebagai Penulis Harapan Anugerah Sastera Negeri Sarawak, apakah Sriwati mampu memikul tanggungjawab sebagai penulis berwibawa dan seterusnya membina legasi dan partisipasi dalam jagat sastera Malaysia?
Berdasarkan tulisan Sekilas Pandang oleh Zainal Abidin Suhaili (Abizai) menyatakan bahawa banyak ditemukan puisi yang membicarakan tentang persoalan cinta dan kasih sayang.
Justeru, apakah gagasan yang terkandung dalam buku Luka Merpati?
Apabila disorot keseluruhan puisi, dapat ditemukan puisi-puisi yang memiliki kekuatan tersendiri.
Sebagai contoh puisi Luka Merpati yang dijadikan tajuk buku ini. Jelas sekali puisi ini sebuah puisi metafora yang memerlukan pembaca mempunyai daya fikir yang tinggi. Dari permulaan baris hingga ke akhir baris, unsur metafora jelas terpancar.
Sudah tentu tafsiran pembaca pelbagai seperti pengakuan Sriwati dalam Prakata bahawa dia hanya menulis puisi dan menyerahkan kepada pembaca untuk menilai dan mentafsir sendiri. Ini bertepatan dengan Teori Anjakan Makna oleh sasterawan negara, Datuk Rahman Shaari.
Demikian juga dengan puisi bertajuk Cerita yang Belum Bermula. Puisi ini bertemakan keesaan Allah yang maha Esa. Kelebihan puisi ini adalah gaya bahasa yang digunakan dalam puisi ini. Unsur anafora amat jelas dalam setiap rangkap puisi.
Gaya pengulangan perkataan menjadikan ritma atau irama puisi menjadi lembut dan menarik bila dibaca atau dideklamasikan.
Malah nada puisi ini mampu menyentuh emosi jika si pendeklamasi bijak menggunakan intonasi suara.
Sriwati Labot turut menulis puisi tentang ibu. Ibu sebagai objek yang paling berharga, dihormati dan disanjung, sering menjadi tema utama dalam puisi.
Rasa cinta, hormat dan sayang pada ibu diterjemahkan dalam puisi sebagai gambaran bahawa ibulah segala-galanya.
Tetapi puisi yang ditulis Sriwati ini menggambarkan sebaliknya.
Tajuk puisi Khilaf Seorang Ibu menggambarkan bahawa seorang ibu sanggup berdalih demi kerana anak-anak.
Itulah pengorbanan seorang ibu yang tidak diketahui oleh anak-anak. Inilah kekuatan puisi ini kerana digambarkan secara paradoks.
Menurut Arbak Othman, puisi adalah wadah pengucapan intelektual dan pengalaman manusia secara indah dan halus.
Melalui puisi kita akan mengenal dan membaca idea dan fikiran penyair sehampir boleh.
Ini dapat dikesan dalam puisi Kesaktian Kata. Keintelektual itu jelas apabila Sriwati menggunakan Rawana sebagai objek dalam puisi. Diperturunkan rangkap penuh puisi tersebut.

Kesaktian Kata
Wahai rawana di puncak hukama
jadikanlah aku sebuah kota tanda
kerana kau tidak perlukan jiwa
ambil saja rangka
dan jangan kau pinta cinta.

Lupakah kamu wahai rawana
gunung pun runtuh hanya dengan doa
laut terbelah, bumi merekah
masihkah kata-kata kau anggap lemah?

Kata-katalah yang memberi cinta
memugar haruman hati
membentuk neraca nurani
menyalur alir bicara
meraut halus akal budi.

Andainya suara kata kau humban ke tepi
kekallah kau menjelma sebagai rawana
yang tidak mengenal warna rasa
pada keindahan kelopak jiwa.

Harap engkau mengerti
sakti suara ini.

Malah Ja’afar mengiktiraf puisi ini sebagai antara lima sajak terbaik di Sarawak tahun 2021.
Melalui sajak ini, Sriwati masih mampu memperkukuhkan nilai kata imej secara harmoni, mulus dan tulus (Utusan Borneo Online).
Justeru, apakah mesej tersirat yang hendak disampaikan Sriwati dalam sajak ini? Pengucapan intelektual jelas tergambar pada setiap baris puisi ini.
Tidak dinafikan persoalan cinta dan kasih sayang begitu dekat dengan masyarakat. Sama ada novel, cerpen, drama, telemovie dan filem, tema cinta dan kasih sayang sering diangkat menjadi bahan utama dalam karya.
Meskipun Luka Merpati sarat dengan persoalan cinta dan kasih sayang, nilai intelektual dapat dikesan dalam beberapa puisi.
Ini menggambarkan bahawa Sriwati adalah penyair yang mampu memikul tanggungjawab sebagai penulis berwibawa dan berwawasan dalam jagat sastera.
Kesimpulannya, meskipun yang diperkatakan hanya beberapa puisi di ruang yang terbatas ini, wibawa Sriwati Labot dalam Luka Merpati dapat dipertahankan kerana puisi-puisi dalam Luka Merpati memiliki gagasan pemikiran yang mampu mencabar minda pembaca dan boleh menjadikan pembaca seorang pentafsir yang bijak menyelongkar makna puisi. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya