Mengangkat budaya Adat Perpatih - Utusan Malaysia

Mengangkat budaya Adat Perpatih

Tanjong yang menampilkan pelakon hebat, Datuk Jalaluddin Hassan akan dipentaskan di Istana Budaya pada 9 hingga September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Baik diterima dek muafakat,
Buruk ditolak dek rundingan,
Tak ada yang keruh yang tak jernih,
Tak ada yang kusut yang tak selesai.
Usang-usang diperbaharui,
Lapuk-lapik dikajangi.
Sekali air bah,
Sekali tebing berubah,
Sekali raja mangkat,
Sekali adat beralih,
Sekali tahun beredar,
Sekali musim bertukar.’

(Sumber: Portal rasmi kerajaan Negeri Sembilan)

Begitulah kedinamikan adat perpatih yang termaktub dalam perlembagaannya yang dipaparkan dalam bentuk puisi. Adat Perpatih adalah satu sistem kemasyarakatan yang lengkap. Sistem ini tidak statik tetapi dinamik kerana memberi ruang, peluang dan peraturan untuk mengubahnya mengikut masa, keadaan dan zaman.
Adat ini adalah amalan hidup yang jauh lebih lama daripada Common Law yang hanya bermula sekitar tahun 1066 Masihi yang berasal dari alam Minangkabau.
Adat Perpatih telah dibawa dan diterima pakai di Negeri Sembilan oleh para perantau yang mula meneroka wilayah ini sekitar abad ke-12.
Walaupun Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat pedalaman Negeri Sembilan telah melalui proses pengubahsuaian, namun dasar adat ini masih kekal iaitu menjuraikan keturunan berdasarkan sistem nasab ibu atau matrilineal.

MEMARTABATKAN ADAT PERPATIH
Dalam pada itu, usaha memartabatkan Adat Perpatih di negeri ini diterjemahkan menerusi pementasan teater bertajuk Tanjong yang bakal menampilkan pelakon hebat Datuk Jalaluddin Hassan dan kartunis, Ujang.
Menurut pengarah teater Prof. Dr. Ahmad Rashidi Hasan, selain memartabatkan seni teater yang kian pudar, naskhah sulungnya itu turut mengangkat budaya Adat Perpatih untuk mendidik masyarakat.
“Pementasan ini adalah bertujuan memberikan wadah buat anak muda dan kanak-kanak khususnya komuniti ASAR untuk melakukan aktiviti bermanfaat, menyemai minat melakukan aktiviti keseniaan, membentuk keyakinan diri selain mempertunjukkan kisah Adat Perpatih kepada masyarakat am.
“Sebahagian keuntungan daripada teater ini juga disalurkan bagi membantu keluarga dan pendidikan anak-anak ASAR dan yang memerlukan,” katanya.

PEMENTASAN TANJONG
Dr . Ahmad Rashidi berkata, Tanjong yang akan dipentaskan pada 9 hingga 11 September ini menceritakan krisis yang dilalui Luak Tanjong apabila Bugis dan Belanda menyerang Johor mengakibatkan Datok Penghulu Luak Tanjong, Tok Nagho terpaksa belayar ke Tanah Minangkabau untuk memohon perlindungan Pagaruyung.
“Tok Nagho melantik anaknya Baroq untuk menjadi penghulu. Dalam perjalanan ke Minangkabau, Tok Nagho meninggal dunia dan mengakibatkan kekosongan tampuk pemerintahan.
“Mengikut Adat Perpatih, tampuk pemerintahan seterusnya perlu diserahkan kepada Tok Pedano namun Baroq tidak mahu mengikut aturan Adat Perpatih dan ingin terus memegang kuasa.
“Ketidaktentuan tampuk kepimpinan ini mengakibatkan berlakunya perselisihan faham dan pertumpahan darah di dalam Luak Tanjong,” katanya.
Teater Tanjong ini merupakan sebuah karya teater terbitan Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan.
Tiada siapa menyangka, Teater ASAR Negeri Sembilan pada mulanya hanya dari sebuah kelab teater kecil di pekan Kuala Pilah dan digerakkan oleh ibu bapa pelakon dan ahli keluarga yang terlibat, kini akan dipersembahkan di pentas teater terbesar paling berprestij di Malaysia, iaitu di Istana Budaya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya