Lagu puisi makin sepi dan bakal mati? - Utusan Malaysia

Lagu puisi makin sepi dan bakal mati?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMUNCULAN kumpulan K-pop, selain lagu-lagu tempatan yang sarat dengan kekecewaan dalam bercinta sedikit sebanyak menenggelamkan lagu puisi yang satu ketika dahulu begitu popular dalam industri muzik tanah air.
Nama-nama kumpulan seperti Titra, Kopratasa, Ahmad Ramli dan Julfikar Ahmad Shah begitu gah dan seringkali disebut-sebut peminat tempatan ketika itu.
Kini, agak sukar mendengar siulan lagu berbentuk puisi dalam kalangan anak muda terutama yang berusia belasan tahun.
Malah, peminat lagu puisi juga semakin mengecil di saat berkembang pesatnya era teknologi dan kebanjiran artis sama ada dalam atau negara luar.
Apa yang membim­bangkan, lagu puisi juga semakin dipandang sepi segelintir penyanyi popular.
Jadi di manakah sebenarnya darjat lagu-lagu puisi yang satu ketika dahulu berjaya diangkat dan menjadi pilihan?
Bagi salah seorang anggota kumpulan Kopratasa, Siso atau nama sebenar Syed Indera Syed Omar, banyak faktor mempengaruhi kemerosotan populariti lagu puisi.
Katanya, jika dibandingkan dengan dikir barat, pendedahan puisi kepada generasi muda di negara ini hakikatnya agak lambat sehingga menjadi sendu dan tidak dihargai.
“Dikir barat masih ada tempat dan diterima dalam kalangan masyarakat Kelantan sebab daripada kecil lagi mereka sudah melihat persembahan dan didendangkan dengan lagu-lagu sedemikian.
“Apabila umur 20 tahun ketika menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), mereka tahu menjiwai dan menjadi individu yang menghargai dikir barat selepas ia lama meresap dalam sanubari,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Apa yang mendukacitakan kata Siso, lagu puisi juga tidak dianggap sebagai sebuah karya atau persembahan hebat dan hanya menjadi tempelan kepada majlis-majlis tertentu sahaja.
“Lagu puisi ini macam hiasan bunga atas meja. Misalnya, ada ada menteri nak datang tempat itu dan mejanya perlu ada bunga sebagai hiasan berharga sekadar RM50, sedangkan persiapan lain harganya beribu ringgit.
“Begitu jugalah dengan lagu. Sebab itu penyanyi lagu puisi tidak sehebat lagu pop,” jelasnya.
Apa yang menyedihkan, sepanjang Siso bergiat aktif dalam bidang ini, beliau pernah ditawarkan dengan bayaran hanya RM100 sahaja untuk satu-satu persembahan.
Jelasnya, ini secara tidak langsung menyebabkan individu atau kumpulan yang menyampaikan lagu puisi kurang dihormati dan dile­takkan pada taraf yang rendah.
“Keba­nyakan yang ada dalam kepala orang apabila sebut lagu puisi, mereka hanya bayangkan satu gitar ‘tong’. Perkara lain mereka tidak terbayang. Contohnya, ada kumpulan orkestra atau pemuzik latar.
“Jadi tanggapannya sebegitu sedangkan sebelum ini sewaktu Kopratasa membuat persembahan di sebuah syarikat penyiaran kerajaan, mereka sediakan kumpulan orkestra dan di Dewan Bahasa Pustaka pun begitu. Justeru perlu ada pihak menjentik masyarakat supaya ada kesedaran,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Siso turut menjelaskan, salah satu ciri lagu puisi adalah puisi sedia ada yang disampaikan secara berlagu.
“Ciri-ciri lagu puisi adalah lagu yang dicipta berdasarkan senikata atau puisi sedia ada. Berbeza lagu pop, melodi datang datang dulu, kemudian lirik. Akan tetapi, kalau lirik ada unsur puisi, automatik jadi lagu puisi.
“Empat ciri utama juga perlu ada dalam puisi iaitu tema, amanat, bahasa dan emosi.Puisi juga ada metaforanya atau perbandingan yang membawa maksud lain,” jelasnya.
Siso turut berharap agar lebih banyak cerita berkaitan pemuzik atau kumpulan yang membawakan lagu puisi diketengahkan kepada masyarakat dalam usaha mengangkat semula salah satu cabang seni ini dalam kalangan generasi muda. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya