Tetamu malam - Utusan Malaysia

Tetamu malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU kampung mulai bising. Semua orang sibuk bercakap pasal emak dan perempuan itu. Perempuan gila. Emak berkawan dengan orang gila. Setiap malam bercakap dengan orang gila di atas pelantar rumah. Mak Long bising. Pak Ngah pun bising. Kak Siah, suami Abang Aziz yang berniaga kedai runcit juga memarahi emak.
Namun, emak macam biasa. Senyum dan tidak bersuara. Aku pun rasa hairan. Betulkah emak berkawan dengan orang gila? Aku terpaksa tinggalkan emak seorang diri di rumah memandangkan sekolah yang menyediakan aliran Tingkatan Enam hanya ada di bandar Keruing. Jauh dari kampung. Aku terpaksa tinggal di asrama.
Hari ini cuti penggal pertama bermula. Sebaik sahaja aku melangkah keluar menuruni bas, Kak Siah terus memanggil aku.
“Siti, sini sekejap. Kak Siah nak cerita pasal emak kau.”
Panjang lebar Kak Siah bercerita pasal emak. Aku menarik nafas panjang sambil meminta izin untuk pulang ke rumah. Rumah aku dengan kedai Kak Siah tidaklah jauh. Dari seberang jalan, aku lihat emak sedang sibuk di laman belakang rumah. Aktiviti kebiasaannya selepas solat Asar adalah berkebun. Setakat halia, lengkuas, kunyit, ubi kayu dan ulam-ulaman memang emak tidak lagi perlu membeli.
Emak tersenyum memandang aku. Selepas bersalam, aku terus duduk di atas tangga kayu sambil melihat emak menjirus tanamannya.
“Kak Siah sudah beritahu Liza?” Tanya emak bersahaja.
“Ya,” pendek jawapan aku.
Emak terdiam dan terus mengajak aku naik ke atas rumah. Malam itu, berselera sungguh aku makan nasi berlaukkan ikan keli goreng, gulai telur itik dan telur yang digoreng bersama kulat sisir. Seperti biasa, selepas makan malam, emak akan mengajak aku mengaji al-Quran bersama-sama.
“Siti, nanti tepat pukul 12 malam, dia datang,” beritahu emak. Aku mengangguk perlahan.
Tepat pukul 12 malam, memang dia muncul seperti mana yang diberitahu oleh emak. Dia duduk bersandar di pelantaran. Seorang perempuan. Memakai baju kurung dengan sehelai selendang lusuh. Bersamanya sebungkus pakaian. Aku mengintai dari lubang dinding dengan perasaan berdebar-debar. Dia menepuk dinding rumah sambil memberi salam.
Emak membuka pintu dan terus menghulurkan sepinggan nasi dan segelas air. Emak menyuruh dia membasuh tangan. Aku memberanikan diri berdiri di belakang emak sambil memegang sebatang kayu. Persediaan. Emak menjeling sambil tersengih. Aku terasa malu.
“Inilah anak saya, Siti,” beritahu emak kepadanya. Dia hanya memandang. Dia terus makan tanpa sepatah kata. Selesai makan dan minum, dia memandang kami sambil tersenyum.
“Hari ini Lijah buat apa?” tanya emak.
“Tunggu Milah di tebing sungai,” beritahunya sambil melihat langit. Emak diam.
Lijah bangun dan merenung emak.
“Milah cakap, ibu mesti datang hari-hari jumpa Milah di tebing sungai,” beritahu Lijah sambil mengambil bungkusan miliknya.
Emak melihat aku.
“Lijah, kakak tutup pintu ya,” beritahu emak sambil menghulurkan bantal dan kain selimut. Lijah angguk.
Aku mengintai dari dalam rumah dan Lijah sedang menangis.
Emak kemudian memanggil aku lalu bercerita kisah Lijah. Seorang isteri yang kehilangan anak kerana lemas di sungai ketika menemaninya membasuh kain. Kemudian, suaminya telah berkahwin lain dan menceraikan Lijah. Tekanan emosi menyebabkan Lijah kemurungan. Hilang kewarasan. Setiap hari menunggu anaknya di tebing sungai. Emak memang tidak tahu dari mana asal usul Lijah. Orang kampung pun tidak mengenali siapakah Lijah sebenarnya.
“Mana emak tahu kisah Lijah?” soal aku.
“Lijah yang beritahu,” jawab emak ringkas.
“Emak percaya cakap orang tidak siuman. Kalau dia cekik emak macam mana?” Marahku.
Emak kemudian bercerita lagi. Pada malam tersebut, cuaca agak panas. Emak membuka pintu dan duduk di tangga sambil mengelap daun pisang yang diminta oleh Kak Siah. Tepung bungkus Kak Siah memang sedap dan emak mengambil upah mencari dan mengelap daun pisang. Atas permintaan Kak Siah.
“Saya lapar. Ada nasi ke?” Tiba-tiba suara sayu seorang wanita memecah kesunyian. Walau agak terkejut, emak tetap memanggilnya datang. Kebetulan nasi dan lauk masih lagi ada.
Perempuan tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Lijah, makan dengan berselera. Bermula pada malam itulah Lijah menjadi tetamu malam emak. Seminggu pertama, Lijah tidak banyak cakap. Minggu kedua dan seterusnya, Lijah sudah berani untuk berbual apabila emak bertanya. Lijah ada memberitahu yang dia akan menjaga emak.
“Kalau orang jahat datang, Lijah pukul,” kata Lijah.
Kata emak lagi, Lijah tidak busuk dan kotor. Kadang-kadang dia solat di pelantar rumah. Kata emak, setiap kali sampai di rumah, Lijah akan meminta izin untuk mandi.
“Lijah, kena mandi di telaga. Sabun mandi ada di atas tangga. Sabun ya,” beritahu emak.
Kadang-kadang emak temankan Lijah mandi sambil membasuh pinggan di atas jemuran. Lijah pula akan penuhkan air di dalam tempayan. Senang kerja emak. Tiga biji tempayan emak di jemuran penuh dengan air.
Setiap malam, emak akan pasangkan ubat nyamuk untuk Lijah. Kesian sebab di luar nyamuk banyak. Emak bukan tidak mahu ajak Lijah tidur di dalam rumah tetapi jauh di sudut hati emak tetap terselit perasaan risau.
“Itu al-Quran yang emak guna untuk ajar si Lijah. Dia yang minta emak ajarkan. Cerah hatinya. Kita nampak dia gila tetapi di sisi Allah, dia lagi mulia daripada kita,” kata emak lagi.
Aku merenung al-Quran tersebut dengan kepala yang sarat. Sedikitpun tidak nampak rasa cuak di hati emak.
“Waktu subuh, dia yang gerakkan emak. Siti tahu tak, Lijah buat solat tahajud. Siti buat?” tanya emak sambil senyum. Aku hanya mampu menjawab soalan emak dengan kenyitan mata sambil ketawa.
Pagi esoknya, selepas solat subuh, aku terus mengintai dari celah dinding. Lijah sudah tiada.
“Intai Lijah ke?” cuit emak. Aku ketawa. Emak berlalu menuju ke dapur sambil membawa selimut kegemaran arwah ayah.
Selepas ayah meninggal dunia, emak menutup pintu hatinya untuk mana-mana lelaki. Kata emak, tiada siapa yang dapat mengambil tempat ayah.
“Siti, kaupun berkawan dengan orang gila juga?’ tanya Kak Siah ketika aku kedainya untuk menghantar daun pisang.
Aku hanya ketawa sambil mengangguk sahaja. Malas nak panjangkan cerita. Begitu juga ketika emak menunaikan solat di surau, sibuk sekali jemaah wanita mencuit emak untuk bertanya tentang Lijah.
“Kau tak takut ke, orang gila itu. Bukannya boleh percaya.”
“Malam-malam memang di situ ke tempat tidurnya?”
“Sudah-sudahlah. Lapor sahaja kepada polis.”
Emak macam biasa. Hanya senyum. Sesekali mencelah supaya tidak menghampakan pertanyaan yang bertali arus.
“Kalau dia berbahaya, tak mungkin aku izinkan dia tidur di situ,” balas emak tenang.
Cuti penggal hampir berakhir. Kisah Lijah aku tulis di dalam buku catatan. Setiap malam bila dia datang ke rumah, aku catat apa sahaja aktiviti dia. Kalau emak buka pintu dan tunggu dia makan, aku duduk di belakang emak memerhatikannya. Kadang-kadang mata kami bertentang dan aku dapat lihat Lijah tersenyum.
“Cantik mata Siti, sama macam mata Milah,” kata Lijah.
Lijah tidak pernah bazirkan nasi atau makanan yang emak hidangkan. Kuku Lijah pun sangat bersih. Emak cakap, semasa mula-mula Lijah datang, kukunya agak panjang dan kotor. Emak ajar Lijah potong kuku dan bersihkan tangan. Emak memang sediakan khusus sebuku sabun mandi, ubat gigi, berus gigi, syampu, kain tuala dan sehelai kain sarung untuk Lijah. Lijah menolak apabila emak berikan kain baju lama emak. Dia tetap memakai kain baju yang dibawa di dalam bungkusannya. Mungkin ada kenangan sehingga dia menolak pemberian emak.
Esok, selepas waktu Zuhur aku akan kembali ke asrama. Tiba-tiba aku terasa seakan-akan kehilangan sesuatu. Aku meminta izin daripada emak untuk memberikan makanan kepada Lijah. Emak ketawa.
“Siapa yang hendak pegang batang penyapu?” usik emak. Aku ketawa.
Lijah merenung aku sambil menyuap nasi ke mulutnya. Dia tersenyum dan aku melihat senyumannya manis sekali. Lijah cantik. Baru aku perasan, bulu matanya lentik, hidungnya mancung dan ada lekuk di dagunya.
“Esok Siti sudah hendak kembali ke asrama. Kak Lijah datang teman emak ya,” kataku berhati-hati.
Lijah angguk sambil menghulur pinggan nasi meminta nasi tambah. Katanya nasi yang dimakan malam ini sangat sedap. Aku tersenyum bangga maklumlah aku yang masakkan gulai kuning ikan kering. Selepas makan, Lijah meminta emak mengajarnya mengaji.
“Esok, Lijah boleh mengaji lagi ke?” tanya Lijah sebaik sahaja emak selesai mengajarnya. Emak senyum dan angguk.
Emak kemudian menyuruh Lijah tidur dan mengajak aku masuk ke dalam rumah. Entah kenapa, aku tidak dapat lelapkan mata. Tiba-tiba asyik terbayang wajah Lijah. Emak sudah lama tidur. Aku merenung wajah emak. Cantik. Aku memeluk emak sambil mencium dahinya.
“Siti, bangun. Subuh,” kejut emak.
Emak kemudian memanggil aku dan menghulurkan sesuatu kepada aku.
“Lijah suruh emak berikan kepada Siti. Bungkusan kuning ini emak punya. Pesan Siti dia suruh buka malam esok,” beritahu emak.
Aku mengambil plastik berwarna hijau yang diikat kemas dengan tali rafia. Aku masukkan ke dalam beg pakaian, bimbang tertinggal di rumah. Selepas waktu Zuhur, emak menemani aku menunggu bas. Banyak nasihat yang emak titipkan.
Sebaik sahaja bas sampai, aku terus naik dan melambai kepada emak dengan penuh rasa sayu. Lebih kurang 20 minit, bas tiba-tiba berhenti dan kelihatan kenderaan lain juga bergerak perlahan. Aku melihat kereta polis dan orang ramai sedang mengerumuni mayat yang ditutup dengan sehelai kain sarung.
Hati aku berdebar-debar. Bungkusan kain di tepi mayat seperti aku kenal. Aku meluru ke arah pemandu bas dan memintanya berhenti. Hati aku kuat mengatakan yang itu adalah dia. Tanpa berlengah aku terus mendapatkan mayat tersebut.
“Kak Lijah,” aku meraung.
Menurut saksi, Kak Lijah dilanggar oleh sebuah kereta ketika hendak melintas jalan. Mayat Kak Lijah diuruskan oleh pihak hospital. Aku kemudian balik semula ke rumah dan memberitahu emak tentang kematian Kak Lijah.
Kami menangis. Bungkusan kuning dibuka dan emak menangis melihat sehelai rantai tangan budak bersama beberapa keping gambar arwah Lijah dan anaknya, Milah. Aku terketar-ketar membuka ikatan plastik hijau yang diberikan kepada aku.
“Kak Lijah, rupa-rupanya semalam adalah malam terakhir kita,” aku menangis teresak-esak. Di dalam plastik tersebut terdapat bergulung-gulung wang kertas yang diikat rapi. Aku dan emak berpelukan.
Sudah tujuh tahun peristiwa ini berlalu, hari ini aku menangis lagi. Wajah emak dan Lijah telah aku abadikan pada muka depan novel yang bertajuk ‘Tetamu Malam’.
Pelancarannya akan dirasmikan sebentar lagi. Emak tersenyum sambil mengesat air matanya. Tetamu malam, aku tahu dirimu sedang berlari di langit tujuh bersama anak kesayangan. Aku melihat wajahmu ada di setiap kelopak awan. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya