Ramadan namaku ... - Utusan Malaysia

Ramadan namaku …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Daun kalendar Hijrah menunjukkan hari telah melangkah ke tanggal 27 Rejab, hari Isyrak dan Mikraj. Satu hari yang penuh bersejarah bagi umat Islam dalam menyantuni sebuah peristiwa besar dan luar biasa. Pengembaraan teragung oleh baginda Rasulullah SAW, sejarak sepertiga malam menghadap Yang Maha Esa, dikurniakan amanat dan wahyu dengan solat lima waktu. Solat yang pada awalnya diperintahkan 50 waktu ke 10 waktu dan akhirnya menjadi 5 waktu.
Pun demikian masih ramai tidak mampu untuk menunaikan solat sejumlah itu. Apatah lagi jika jika ia dikekalkan ke angka 50 waktu. Demikianlah besarnya hikmah pengembaraan Israk dan Mikraj baginda yang singkat itu.
Huang Jiangmi atau lebih mesra dengan panggilan Jimmy secara diam-diam mencongak nama-nama rakannya yang agak culas untuk menunaikan solat lima waktu. Dia tersenyum sendiri sambil merenung jauh-jauh.
“Kau percaya, manusia naik ke langit ketujuh dengan Buraq untuk bertemu Tuhan. Tempoh satu malam pula itu. Macam cerita rekaan Sains saja.” Mazlan hanya tersenyum diam. Di wajah Jimmy masih tergambar seribu persoalan tentang isi ceramah Israk dan Mikraj yang baru diikutinya dari dalam kereta yang diparkir di dalam kawasan masjid sebentar tadi.
Sudah hampir seminggu dia terpaksa menghantar dan mengambil Mazlan di masjid kerana kakinya terseliuh semasa bermain tenis. Jimmy lebih suka menunggu Mazlan dalam kereta sambil mendengar ceramah agama yang biasa diadakan selepas solat Maghrib.
“Buraq itu bermaksud kilat cahaya. Tak hairanlah kelajuannya seperti kilat bahkan melebihi kecepatan cahaya. Semua ni memang basic physic la bro.” Mazlan menepuk-nepuk bahu Jimmy cuba memberikan lebih gambaran.
“Memang aku percaya. Itulah kebesaran Allah SWT. Peristiwa itu terjadi atas kuasa dan izin-Nya. Nah, ambil buku ini dan cuba kau baca tentang peristiwa Isyrak Mikraj itu.” Mazlan menghulurkan buku bertajuk Rahsia Di Sebalik Israk Mikraj Rasulullah’.
Sejak dari sekolah menengah lagi Mazlan menjadi pakar rujuk tentang Islam kepadanya. Mazlan adalah role model lelaki Islam untuk dia contohi, bukan sekadar seorang sahabat.
“Jika kita tinggal solat sekali sekala masa sibuk boleh kan?” soal Jimmy dalam suara termengah-mengah sambil mengikuti Mazlan dari belakang menuju ke musalla tidak jauh dari gelanggang bola keranjang.
Latihan petang itu tamat agak lewat dari biasa. Pertandingan akhir kejohanan bola keranjang antara sekolah-sekolah menengah akan berlangsung dalam masa dua minggu sahaja lagi. Latihan dimulakan seawal pukul 3.30 petang.
“Aku nak kejar solat Asar ini. Waktu solat dah nak habis. Waktu Maghrib awal sekarang. Kita bincang nanti ya.” Beritahu Mazlan sambil berlari masuk ke musalla.
Jimmy hanya diam memerhati gelagat Mazlan. Dia lihat bagaimana Mazlan berwuduk. Dia pernah beberapa kali mencuba, namun masih belum hafal turutannya. Kadang-kadang dia tersenyum sendirian kerana bebal mengingatinya. Pernah dia cuba bersolat di belakang Mazlan. Minatnya kian mendalam untuk mendalami agama Islam. Ada beberapa buku tentang solat yang diberi Mazlan.
Mazlan yang bersekolah di salah sebuah sekolah China di mana terdapat beberapa pelajar Melayu saja. Mereka terpilih mewakili pasukan bola keranjang sekolah. Mereka terpaksa meneruskan latihan meskipun di bulan Ramadan.
Jimmy kagum dengan kekentalan hati Mazlan, boleh berlatih dan bermain dengan baik meskipun berpuasa. Jimmy serta rakan sebangsanya yang lain juga tidak tahan dengan keadaan sebegitu, lebih-lebih lagi ketika dalam sesi latihan. Rasa dahaga membuatkan mereka cepat letih dan mengalah.
Kemeriahan suasana Ramadan di kampung sentiasa bermain-main dalam ingatan Mazlan. Kenangannya bersama Man Dogol membuatkan dia tersenyum sendirian. Mereka sama-sama mengejar dan menangkap ayam dalam reban di belakang rumahnya. Mek Jah, ibunya akan memasak gulai ayam untuk dijadikan hidangan bersahur. Hari pertama berpuasa adalah hari ditunggu-tunggu olehnya kerana pada kebiasaannya akan dihidangkan dengan lauk pauk istimewa seperti gulai ayam atau gulai daging.
“Jimmy dah makan banyak, esok dah boleh puasa tu. Air pun kena minum banyak juga ya.” Usik Mek Jah menghulurkan segelas air sambil ketawa mengekeh melihat Jimmy yang begitu berselera menceduk lauk gulai ayam kampung dengan ikan selayang rebus goreng dan telur goreng kulat sisir.
Mereka sudah lama berjiran serta saling menghormati pegangan agama masing-masing. Pernah Jimmy ikut solat berjemaah dan duduk bersama anak-anaknya belajar Muqadam. Jimmy hanya mengikut sahaja gerak laku solat seperti burung kakak tua. Kadang-kadang keletahnya amat melucukan.
Bila tiba Ramadan, Jimmy sering ke rumah Mek Jah. Banyak jenis kuih muih dimasak Mek Jah. Antara kegemarannya kuih gerodok telur, koleh ubi, bubur kacang dicicah dengan roti dan pengat pisang dimakan dengan pulut. Andai Ramadan jatuh pada musim durian, Mek Jah akan masukkan durian ke dalam pengat pisang. Itulah yang membuatkan pengat pisangnya begitu istimewa.
Pelbagai alasan diberi kepada Ba Ba dan Ma Ma nya untuk pergi ke rumah Mazlan terutamanya selepas solat tarawih di surau tidak jauh dari rumahnya.
Jimmy pernah cuba untuk belajar solat tarawih bersama Mazlan dan Man Dogol. Dia seronok dapat mengenakan kopiah di kepala sambil berterawih berjemaah.
Tembelangnya akhirnya diketahui oleh Ba Ba. Dia dimarah teruk dan dirotan sampai berbirat-birat di kedua-dua belah betis. Pertama kali dia tengok Ba Ba marah menyinga seperti ini. Kecut perut dibuatnya.
“Kalau kamu buat macam ini lagi lain kali, Ba Ba akan ikat kamu pada pokok limau barli yang ada banyak kerengga itu.” Tegas Ba Ba memberi amaran. Mukanya merah padam menahan marah dan suara garau Ba Ba meletup bagai halilintar menusuk ke telinganya.
“Kau ini Jimmy, puasa empat hari agama kita dalam sebulan pun tak pernah. Ini kan pula sebulan. Kakak ajak kamu sembahyang di Wat kamu tak nak. Apa nak jadi dengan kau ni hah.” Bentak Mei Ling melantangkan bebelannya ke arah Jimmy. Dia hanya diam sambil pekakkan telinganya.
Kakaknya terus mengugut Jimmy dengan cerita ngeri orang berkhatan. Seram sejuk dibuatnya. Ketakutannya hilang apabila diceritakan oleh Mazlan dan Man Dogol yang sudah lama berkhatan. Dia sedar, cerita itu adalah rekaan kakaknya semata-mata.
Zaman kanak-kanaknya kini sudah berlalu.  Hasrat untuk memilih Islam sebagai agama anutannya sudah lama tersemat di hati.  Dia sendiri hairan kenapa hatinya nekad untuk menerima Islam sedangkan dia amat memahami akan keagungan agama yang diturunkan oleh Yang Maha Berkuasa di alam ini.
“Aku risaulah Lan. Penyakit kencing manis yang aku hidapi ini semakin hari semakin membimbangkan pula. Apa harus aku buat sekarang.” Bisik Jimmy cuba berkongsi kerisauannya dengan Mazlan. Dia tidak mahu menjadi seperti Ba Ba yang sudah kehilangan sebelah kaki akibat kompilasi penyakit itu.
“Eloklah kau cuba berpuasa. Dengan berpuasa, kamu dapat mengawal kandungan gula di dalam tubuh kamu.” Beritahu Mazlan yang bertubuh tegap dan sasa. Dia kelihatan sihat dan bertenaga meskipun usianya sudah agak lanjut.
“Jia suruh aku amalkan diet Intermittent fasting (IF) yang dia amalkan sekarang. Dia itu nak kurus.” Jimmy tersenyum mengingatkan teman wanitanya yang sangat obses dengan berat badan. Walaupun pada pandanganya dia sudah cukup kurus.
“Islam menggalakkan kita berpuasa. Isnin dan Khamis adalah hari sunat untuk kita berpuasa selain bulan Ramadan. Lagipun doa orang berpuasa Allah cepat makbulkan.” Beritahu Mazlan seperti seorang penceramah.
Sudah banyak buku tentang kelebihan bulan Ramadan yang dibacanya. Kadang-kadang dia perasan bila melihat Mazlan banyak menadah tangan berdoa ketika di bulan Ramadan.
“Terima sajalah Islam Jimmy. Kamu pun dah banyak mempelajari tentang Islam. Sudah sampai masanya kamu diberi hidayah. Akulah sahabat yang paling bahagia jika kamu memilih Islam sebagai jalan hidup mu.”
Mazlan menepuk-nepuk bahu Jimmy sambil tersenyum. Di dalam hatinya sentiasa menaruh harapan agar diberikan hidayah kepada seorang sahabat yang dianggap seperti saudaranya sendiri.
Jimmy tiba-tiba teringatkan Ba Ba dan Ma Ma yang sentiasa sakit akhir-akhir ini. Begitu juga James yang akhir-akhir ini tidak sihat.  James ialah teman rapatnya selain dari Mazlan dan Man Dogol. Dia berdoa agar umur Ba Ba, Ma Ma dan James dipanjangkan dan mereka kembali sihat. Dia sedar, jika dia memilih Islam, maka segala-galanya akan lenyap dalam hidupnya.
Namun dia sudah nekad.Sebelum Ramadan yang akan tiba dalam masa dua bulan sahaja lagi, semuanya mesti diselesaikan. Hatinya tidak sabar untuk sama-sama ke masjid bersama Mazlan bersolat tarawih dan boleh berdoa sebanyak termampu.
“Sorry Jimmy. I terlewat sikit kerana jalan sesak tadi, ada kemalangan.” Zhang Jia menghampirinya.
“You cakap ada hal penting. Apa dia?” Soalnya tidak sabar.
“I dah buat keputusan. Sepatutnya dah lama I beritahu You perkara ini. Semuanya takdir Tuhan. Tapi better late than never kan.” Beritahu Jimmy sambil merenung tepat ke wajah Zhang Jia, kekasih hatinya.
“Sebenarnya I dah convert.” Tergamam Jia seketika mendengar pengakuan Jimmy. Meskipun Jimmy sering bercerita tentang hasratnya menerima Islam, namun Jia tidak menyangka seawal itu Jimmy membuat keputusan. Dia perasan, di akhir-akhir ini Jimmy sering memberi alasan untuk tidak bertemu dengannya.
“Maafkan I Jia. I sudah nekad.” Ulang Jimmy lagi menampakkan kesungguhan hatinya untuk memeluk Islam dan menjadi seorang Muslim.
“Habis, macam mana dengan I. Sudah hampir lima tahun kita bersama. Kita sudah janji untuk hidup bersama. I benar-benar sayang dan cinta pada You, Jimmy.” Zhang Jia terus menangis tidak dapat menahan sebak di hatinya. Semakin lama semakin kuat suara tangisannya membelah keheningan suasana.
“Perasaan I tidak pernah luntur untuk You, Jia. Tidak pernah berubah. You cinta pertama dan terakhir dalam hidup I. Percayalah Jia.” Pandangan Jimmy tertumpah ke wajah gadis yang bertakhta di hatinya selama ini.
“Jimmy, bawalah I bersama You. I sanggup memilih Islam demi cinta I pada You. Sebenarnya I pun sudah lama berhasrat menjadi seorang Muslimah demi menghalalkan perhubungan kita berdua. Percayalah Jimmy. Bawalah I bersama. I sudah memikir semasak-masaknya tentang keputusan ini. I rela berkorban demi untuk hidup bersama You hingga ke Syurga.” Kata-kata Jia itu seperti menyedarkan Jimmy dari sebuah mimpi. Dia tidak menyangka Zhang Jia sanggup berkorban demi cintanya.
Satu rahmat yang tidak dapat digambarkan dalam hatinya. Nikmat untuk dijadikan sebagai seorang Muslim yang dikurniakan dengan pasangan hidup yang bakal menyempurnakan impiannya.
Ya, nama Jimmy kini ditukar kepada nama Islamnya. RAMADAN BIN ABDULLAH HUANG, mengambil sempena hadirnya bulan penuh keberkatan iaitu bulan Ramadan Al-Mubarrak.
Anak matanya menjeling ke arah wanita yang sedang duduk tidak berapa jauh dari tempatnya sambil tekun bermain dengan seorang puteri yang cantik parasnya, Intan Maizura, anak sulung hasil perkongsian hidupnya dengan Nur Ain Hidayah binti Abdullah.
Gadis cinta pertama dan terakhirnya, Zhang Jia, kini sah menjadi isteri dalam mahligai hidupnya.  Takdir Illahi, Ramadan yang penuh berkah. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya