Kartun Satira: Kebebasan karya ‘dicabul’? - Utusan Malaysia

Kartun Satira: Kebebasan karya ‘dicabul’?

Kartunis Ubi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lukisan berbentuk satira sekali lagi mencetuskan polemik baru-baru ini.
Sebuah lukisan yang menggambarkan keadaan Dewan Rakyat yang diisi pelbagai jenis beruk dan terselit katak dibeli Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam masa sama, pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza turut mencetus kontroversi apabila menyiarkan satu lukisan watak kartun The Powerpuff Girls, Mojo Jojo yang mengenakan pakaian seperti persalinan diraja.
Kedua-dua lukisan ini pada asasnya dihasilkan bagi maksud tersendiri yang sudah semestinya tidak perlu diperkatakan lagi walaupun satira adakalanya dihasilkan bagi tujuan untuk mendorong perubahan sosial.
Paling penting kartun satira juga bukan perkara yang baharu di negara kita. Malah pernah mencetuskan beberapa kontroversi.
Walau apa pun tujuannya, hampir di mana-mana saja orang bercakap mengenai kedua-dua lukisan ini. Ada menyokong dan ada menentang.
Apa yang menimbulkan persoalan kini adakah karya kartun berbentuk satira mempunyai etika sama ada yang tercatat secara formal atau sebaliknya.
Mungkin bagi segelintir pihak karya kartun satira perlu di junjung di atas prinsip demokrasi, sebagaimana yang sering dilaungkan ahli politik.
Namun, hakikatnya tidak bagi rata-rata karya­wan terutama apabila menghasilkan hasil karya di negara ini.
Bagi pelukis Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Ubi berkata, setiap karya lukisan berbentuk satira masih dilingkari dengan batas-batas tertentu.
“Penghasilan karya termasuk kartun satira sebenarnya masih memerlukan etika walaupun tiada garis panduan khusus.
“Kita mungkin boleh memerli sesiapa sahaja sebagaimana di luar negara contohnya. Tetapi harus diingat. Apabila di Malaysia, kita masih ada batas dan tidak boleh melanggar atau menyentuh isu berkaitan agama, bangsa dan raja,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menyingkap berkenaan sejarah satira, ia sebenarnya berasal daripada perkataan latin yang bermaksud satur.

Zid

Satira terbahagi kepada tiga jenis dan dua lukisan tersebut tersebut dikategorikan seba­gai satira Horatian iaitu mengolok-olok seseorang atau keadaan menerusi cara menghiburkan.
Ia menjadi satu alat yang kuat dalam budaya kontemporari. Media massa khususnya filem dan televisyen menjadi platform yang begitu kuat dalam penyampaian satira kepada masyarakat sehingga kini.
Dalam pada itu, seorang lagi kartunis Mohammad Yazid Kamal Baharin atau dikenali sebagai Zid berkata, kartun satira sudah lama bertapak di Malaysia iaitu sejak tahun 70-an lagi menerusi kehadiran majalah Gila-Gila.
“Majalah ini yang mengambil model majalah satira berbahasa Inggeris yang bertajuk MAD Magazine. Kartun satira seterusnya berkembang dengan karya ilustrasi Datuk Lat.
“Tujuan satira ini sendiri sebenarnya adalah untuk mengkritik isu semasa melalui komedi. Justeru, penerimaan sudah pasti berbeza bergantung kepada pendapat individu masing-masing mengenai isu apa yang dikritik,” ujarnya.
Tambah Zid, penghasilan kartun satira tidak mempunyai garis panduan khusus kepada pengkarya.
“Cuma kita sebagai masya­rakat yang beradab perlu mengamalkan pengha­silan karya dengan cara bertang­gungjawab dan bukan semata-mata untuk menyinggung perasaan pihak tertentu.
“ Jika begitu tiada beza dengan mereka yang melakukan vandalisme di dinding-dinding bangunan awam dengan kata-kata kesat,” ujarnya.
Walau apa pun, setiap karya dihasilkan bukan sahaja cerminan pengkarya, tetapi turut menjadi penanda aras pemikiran setiap daripada kita yang menilai. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya