PRK Sungai Bakap: Calon Pas, kerusi Pas - Mohd. Amar

PRK Sungai Bakap: Calon Pas, kerusi Pas – Mohd. Amar

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas mengenal pasti calon dari parti itu untuk diketengahkan mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Bagaimanapun, parti itu menyerahkan kepada Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang bagi memuktamadkan pemilihan calon berkenaan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, buat masa ini, masih pada peringkat awal bagi perbincangan berhubung penetapan calon itu dan keputusan mengenainya juga belum ditetapkan oleh kepemimpinan tertinggi parti.

“Parti belum buat apa-apa keputusan cuma kita juga pada masa sama masih menunggu cadangan daripada Badan Perhubungan Pas Negeri Pulau Pinang di mana mereka akan bincang serta mengangkat cadangan (calon) itu kepada Pas Pusat.

“Setakat ini (kerusi itu) adalah untuk calon kitalah memandangkan kerusi tersebut (Sungai Bakap) merupakan kerusi Pas,” katanya ketika ditemui di Kompleks DUN negeri di sini hari ini.

Mohd. Amar berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada parti itu sudah bersedia dan mempunyai calon untuk diletakkan bertanding pada PRK DUN Sungai Bakap.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong setelah penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Dalam pada itu, Mohd. Amar berkata, parti itu sememangnya mempunyai calon mereka sendiri namun penetapan secara rasmi hanya boleh diputuskan selepas mengambil kira cadangan Badan Perhubungan Pas negeri.

“Calon itu ada cuma yang tepat kita tak tahu lagi sebab Pulau Pinang ini ada pertimbangan sendiri dan kita tak mahu campur tangan serta memberi ruang pada Pas negeri kerana mereka lebih mengenali calon tempatan di sana.

“Pas Pusat tiada maklumat lengkap malah kita juga akan buat kajian dahulu tentang kesesuaian calon dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN