Lelaki sejati - Utusan Malaysia

Lelaki sejati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mata Sui Sian membelingas melihat persekitarannya. Pelanggan yang masuk ke restoran itu semakin banyak. Ada datang bersendirian, ada bersama kawan-kawan, dan ada diiringi ahli keluarga. Maklumlah, hari itu adalah sambutan ulang tahun restoran itu. Jadi, pihak pengurusan restoran mengadakan jamuan bufet dengan harga istimewa. Tujuannya sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan setia.
Suasana di restoran itu semakin sibuk dan meriah. Kelihatan pelayan menghidangkan pelbagai juadah dan penganan enak. Seorang pelayan mendekati Sui Sian. Di tangannya ada sebuah teko kopi dan sebuah teko teh.
“Mahu kopi atau teh, puan?” tanyanya dengan sopan.
“Bagi saya kopi. Terima kasih,” jawab Sui Sian ringkas. Sememangnya tengah hari Sabtu ini baru bermula baginya. Hari ini dia tidak perlu ke pejabat dan semua projek dalam tangannya berjalan lancar. Inilah ruang untuk dirinya bermalas-malas. Badannya terasa letih. Dia perlu ada secawan kopi untuk memulihkan tenaganya.
Sedang Sui Sian enak menikmati spageti, tiba-tiba dia disapa oleh seseorang.
“Selamat tengah hari, puan. Adakah tempat duduk ini kosong? Bolehkah saya duduk di sini? Semua kerusi sudah penuh,” tanya lelaki itu.
“Boleh, duduklah,” pelawa Sui Sian.
“Terima kasih. Saya Hua Min,” kata lelaki itu. Serentak itu, tangannya dihulurkan. Gayanya sopan dan mesra.
Mata Sui Sian tertancap pada lelaki yang masih terpacak di hadapannya. Agaknya umurnya baru 30-an. Mukanya tampan, dan penampilannya kemas. Siap dengan baju kot dan tali leher.
“Saya Sui Sian. Eloklah encik ambil makanan cepat-cepat, nanti sejuk pula,” jawab Sui Sian, sambil menjabat tangan Hua Min. Dia mahu mengalihkan pandangan dan perhatian lelaki itu daripada dirinya. Yalah, lelaki yang belum dikenali. Siapa tahu hati budinya? Entahkan dia malaikat atau musang!
“Terima kasih kerana puan sudi berkongsi meja dengan saya. Hari ini pelanggan melimpah-ruah. Pastilah kerana harga tawaran istimewa menjadi punca tarikannya,” kata Hua Min. Dia berusaha memecah ais pertemuan dan menghangatkan perbualan. Dia nampak ceria dan bersemangat.
“Yalah. Makanannya sedap dan murah. Siapa mahu lepas peluang ini? Esok harga akan seperti biasa,” kata Sui Sian.
“Saya ini terlibat dalam industri hartanah. Rutin hidup saya sibu. Selalu ke sana ke mari melayan pelanggan. Hari ini baru ada kelapangan,” sambung Hua Min.
“Saya pula pegawai eksekutif dalam bidang pemasaran,” kata Sui Sian. Dia mula menaruh minat. Mungkinkah tersaji peluang perniagaan di depan matanya? Syarikat hartanah tentu banyak membuat iklan mempromosikan produknya.
“Oh, begitu! Lain kali kalau saya hendak mengiklankan projek perumahan atau komersial, bolehlah saya menghubungi puan,” kata Hua Min, tersenyum-senyum.
“Terima kasih. Harap-harap kita dapat bekerjasama dalam urusan perniagaan pada masa depan, “ kata Sui Sian. Ada keriangan tersirat pada suaranya. Perbualan mereka makin mesra dan menyeronokkan.
“Nah, inilah kad perniagaan saya. Hubungilah saya pada bila-bila,” kata Hua Min. Dia meminta diri, dan terus beredar keluar dari restoran itu.
Mata Sui Sian mengekorinya kelibat Hua Min yang semakin menjauh, dan kemudiannya hilang dalam lautan manusia. Entah mengapa, pemergian Hua Min tiba-tiba mengundang bilah-bilah kesunyian yang meradak hatinya.
Sui Sian bersandar di kerusi. Dalam zaman pertengahan umur ini, dia masih hidup membujang. Masih sebatang kara. Rakan-rakannya hampir semuanya sudah mendirikan rumah tangga. Malahan sudah menimang cahaya mata. Kebahagiaan hidup begitu belum terjangkau dan terasa olehnya. Sui Sian mengeluh. Dia anak yatim piatu. Sekurang-kurangnya itulah yang dimaklumkan kepadanya oleh ketua rumah amal tempat dia diasuh dan dibesarkan. Dia juga tiada saudara-mara. Mujur juga ada rumah amal yang sudi menerimanya. Dengan itu, dia tidak perlu menjadi gelandangan. Kalau sakit pening, dia dirawat sampai pulih. Dia harus bersyukur.
Dalam keriuhan suara dan gelak ketawa rakan-rakan di rumah amal, ada kalanya Sui Sian merasakan dunianya sunyi dan terasing. Sifat pendiamnya memburukkan lagi keadaan. Dunianya terasa senyap dan sunyi. Hal ini mendorongnya untuk menemani buku pada setiap masa. Dia tekun belajar. Dia mahu menolak kesunyian keluar dari lubuk hatinya dengan sedaya upaya.
Sesudah tamat pengajian di universiti, dia mendapat tawaran kerja daripada sebuah syarikat perniagaan. Dari usia 20-an hingga kini, fokusnya hanya pada kerja. Mungkin itulah sebabnya setakat ini masih belum ada kumbang yang tergerak hati untuk menyunting bunga di taman?
Tapi bagi kebanyakan orang, 43 tahun sudah lebih daripada layak untuk seseorang wanita menyandang gelaran ‘andartu’ (anak dara tua). Sui Sian kurang bersetuju. Bukankah di dunia Barat, ada yang tua masih ada hati untuk bertunang dan berkahwin?
Satu pagi Sabtu beberapa minggu kemudiannya, Sui Sian dikejutkan daripada tidur oleh jeritan telefon. Sui Sian hairan. Siapakah yang menelefonnya pagi-pagi hari begini? Hatinya menyumpah. Dengan malas, Sui Sian mengangkat telefonnya.
“Helo, Sui Siankah di sana? Hua Min di sini,” kedengaran suara ceria di hujung talian.
“Ya, selamat pagi,” jawab Sui Sian. Entah apa sebabnya, dia tidak pula marah, apabila mendengar suara Hua Min.
“Pagi indah macam ini mahukah temani saya minum di Kafe ABC?” Hua Min bertanya. Dia kedengaran bersungguh-sungguh,
“Oh, begitu. Baiklah. Saya bersiap,” jawab Sui Sian.
“Yalah, dalam masa 30 minit saya akan sampai,” kata Hua Min. Suaranya dibumbui nada keriangan. Selepas mandi, dia bersolek nipis, lalu mengenakan pakaian paling cantik di dalam almari pakaiannya. Macam dating pula rasanya, bisik hatinya.
Suasana segar pagi bertambah indah dengan hati yang riang. Makanan dijamah pun terasa lebih sedap berbanding biasa. Perbualan rancak mewarnai pagi yang biasanya hambar bagi Sui Sian. Dia cukup bahagia.
Pertemuan yang dilimpahi kegembiraan itu berangkai dengan banyak lagi pertemuan. Ada kalanya makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Yang menghairankan Sui Sian jemputan Hua Min biasanya datang mengejut, tak tentu masa. Satu lagi kepelikan yang diperhatikan Sui Sian adalah Hua Min gemar bertopi dan memakai cermin mata hitam, terutamanya jika keluar bersamanya pada waktu siang. Apabila ditanya sebabnya, Hua Min menjelaskan muka dan matanya sensitif kepada cahaya matahari. Sepanjang perjumpaan Hua Min sentiasa bersikap pemurah. Dia menanggung semua bayaran makan minum dan percutian mereka. Ada beberapa kali Sui Sian hendak menjelaskan bayaran, tetapi ditolak sopan oleh Hua Min.
Hubungan rapat antara pasangan teruna dara tidak dapat tidak akan mencetuskan pertanyaan tentang nasib dan masa depan bersama-sama. Sui Sian ingin mendapatkan kepastian daripada Hua Min.
“Ada kalanya aku berasa rendah diri. Kau kaya-raya, tinggi dan tampan, sedangkan aku serba sederhana. Malahan 10 tahun lebih tua daripada kau!” kata Sui Sian.
“Itu bukan perkiraan utama. Bagi saya, yang penting kau tenang dan matang. Kau juga bersifat penyayang. Jurang usia tidak akan menjadi halangan kepada hubungan kita,” kata Hua Min.
Pada satu petang Ahad sewaktu mereka berbual di taman bunga, Sui Sian terkejut besar apabila melihat Hua Min berlutut sebelah kaki kiri di hadapannya. Tangan Hua Min menyuakan sebutir cincin berlian kepadanya.
“Sudikah kau menjadi tunangku, Sui Sian?” kata Hua Min penuh ikhlas.
“Ya! Ya! Saya terlalu gembira!” laung Sui Sian. Dia mendepangkan tangannya memeluk Hua Min. Air mata kegembiraan memecah empangan matanya. Orang ramai di taman bunga itu ada juga yang ikut terharu. Mereka bertepuk tangan sebagai tangan sokongan.
Hidup bagaikan roda putaran. Ada kalanya kita di atas, dan ada kalanya kita di bawah. Suatu hari Sui Sian mendapati Hua Min bermuram durja. Dia lebih banyak berdiam diri. Tidak lagi ceria, seperti selalu.
“Hua Min, apakah sudah terjadi? Kongsilah masalah dengan aku. Bukankah aku tunangmu? Lagipun, melihat kau asyik bersedih, hatiku tidak dapat bertenang. Beritahulah aku apa-apa masalah yang kau hadapi, “ desak Sui Sian.
“Kalau aku maklumkan, aku takut akan menyusahkan kau. Itu bukan kehendak aku. Biarlah aku menanggungnya seorang diri,” kata Hua Min. Dia kelihatan keberatan untuk membuka mulut.
“Ah, apa yang kau merepek ini? Masalah kau adalah masalah aku. Bukankah kita sudah bertunang, dan tak berapa lama lagi akan berkahwin? Beritahu aku masalahmu. Biar betapa susah sekalipun, demi cinta, aku tetap bersama-sama kau,” tegas Sui Sian.
“Sebenarnya begini. Syarikat hartanahku mengalami kerugian teruk. Ada pekerja aku berbuat khianat. Dia melarikan wang tempahan rumah banyak pelanggan, dan aku terpaksa mengganti wang itu. Kalau tidak, aku akan dihadapkan ke mahkamah, dan syarikat aku pasti lingkup!” kata Hua Min.
“Berapa banyak wang kau perlukan. Aku ada sedikit wang simpanan. Mungkin dapat menolong kau,“ kata Sui Sian. Dia sanggup melakukan apa saja, asalkan mendung di wajah Hua Min berarak pergi.
“Aku sudah mengeluarkan semua wang simpanan yang ada, ditambah dengan pinjaman daripada bank. Namun, masih kekurangan RM 80,000!” kata Hua Min.
“RM80,000? Tak apa. Esok aku akan keluarkan wang. Yang penting, masalah ini berlalu. Wang boleh kumpul semula,” kata Sui Sian.
“Terima kasih, Sui Sian. Memang aku tidak tersilap pilih. Kau teman hidup sejatiku. Bila perniagaan aku pulih, aku pulangkan semula wang itu,” kata Hua Min.
Sudah berhari-hari Sui Sian putus hubungan dengan Hua Min. Telefonnya tidak ada respons. Hua Min seakan-akan sudah lesap dari muka bumi ini. Hati Sui Sian resah gelisah setiap hari, bagaikan cacing kepanasan. Janganlah sesuatu kejadian buruk menimpa Hua Min.
Satu petang Rabu, Sui Sian diberi pelepasan rehat oleh majikannya. Majikannya menyarankan agar dia bersiar-siar untuk meredakan tekanan yang merundungnya. Mereka dapat merasai Sui Sian sedang menghadapi masalah dan trauma yang dahsyat.
Biar betul! Tiba-tiba Sui Sian ternampak Hua Min sedang berbual mesra dengan seorang perempuan muda. Tangannya merangkul pinggang ramping perempuan itu. Sui Sian cukup pasti. Itulah Hua Min, meskipun dia mengenakan cermin mata hitam dan memakai topi.
“Hua Min, apa makna semuanya ini? Aku asyik menghubungi kau tetapi tiada jawapan. Rupa-rupanya kau berseronok dengan perempuan lain. Hei, perempuan tak tahu malu, tahu tak lelaki ini tunangku?” Tengking Sui Sian. Kemarahannya terus meledak, didorong api cemburu.
Hua Min terpinga-pinga. Dia mengelak ke tepi.
“Jaga mulut kau baik-baik, perempuan gila! Siapa tunangmu? Ini suamiku. Kami dah berkahwin selama tiga tahun. Anak sudah dua orang,” jerkah perempuan itu.
Tiba-tiba mata Sui Sian berpinar-pinar. Dia terus rebah. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya