Masuk ke dalam serunai - Utusan Malaysia

Masuk ke dalam serunai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerpen karya HASHIM LATTIF

MENDEPAKAN lengan kiri dan kanan saat gong ditingkah dan gendang dipalu, dia melayangkan tumbukan dan sepakan padu ke hadapan. Kemudian dia berpaling ke belakang, memamerkan bunga bengisnya lalu memper­kemaskan bucu empat persilatannya sebelum dia menebarkan sekali lagi sepakan angin ke hadapan. Pergerakan persilatannya makin kukuh kemas dan rimbun cermat. Dia menghunjam tumpat tumit kakinya kemudian dia berada di dalam kedudukan kaki Hanuman hendak membaling musuh.
Seligi matanya tepat memerhatikan ke arah serunai yang disandarkan berhampiran dengan gendang ibu. Perlahan-lahan dia masuk ke dalam perut serunai berpipit daun lunta yang diukir cermat dengan ukiran bunga awan larat itu.
“Aku tak suka penjajah mencampuri urusan kehidupan kampung kita! Kita ada ketuaaa!” tukas Ngah Jusuh. Dia memusingkan kelewang jambulnya kemudian dia menetak umbi kayu mesa dengan nada marah. Tercelup mata kelewang itu ke umbi pohon kayu yang keras itu.
“Kalau kau tak suka, aku lagi tak suka!” itu jawab Wan Semail. Rasa marahnya bagaikan halilintar memangkas bumi.
“Lalu bagaimana?” Ngah Jusuh mengusul.
“Kita kena halang mereka!” tegas Wan Semail.
“Maksud kau?” Ngah Jusuh bercekak pinggang. Kelewang jambulnya dipusing acap kali.
“Kita kena sekat pergerakan tali barut penjajah,” Wan Semail menyalakan hasrat hatinya.
Betul! Ngah Jusoh menetak akar kelapa. “Kita kena segera. Kita tebas kepala mereka yang mahu merosakkan kampung kita. Kampung kita sudah amannnn!”
“Kalau tak sekat kita semua akan sesat!” jawab Wan Semail.
“Ayuh! Kita mulakan langkah perajurit! Kita halang mereka!” Ngah Jusuh marah lagi. Dia melepaskan sepakan angin belasan kali.
“Allahu akbar!” Wan Semail memanggil semula jurus persilatannya.
Ngah Jusuh dengan Wan Embong berjalan ke sebelah kanan. Mereka membawa bersama semangat hulubalang bertindan panglima di dalam diri. Rasa marah melonjak di dalam diri dua hulubalang itu.
Kenapa harus menggugat kampung yang sudah aman? Kenapa tidak membuka kuku kuasa di kampung lain? Apakah penjajah gementar bila hendak ke kampung lain? Tali barut? Kamulah yang telah membarut tubuh orang kampung dengan jumlah janji yang tidak pasti. Ahhhhh!
Tanpa banyak bicara, ketika beberapa ekor anak burung candik berloncatan di atas buluh pemegang tetiang, Ngah Jusoh dengan Wan Semail meneruskan hasrat mereka, memintas tali barut yang mungkin sedang mencanangkan kebaikan penjajah. Melompati parit dengan senjata yang masih berada di tangan, Ngah Jusuh dengan Wan Semail melintasi denai berair cetek. Ternyata sangkaan dua hulubalang itu benar. Tali barut penjajah sedang mengukir janji menimbun cerita perihal kehidupan terbaik, sekiranya menyokong penjajah.
“Balik!” sergah Ngah Jusoh. Dia memegang hulu kelewang jambulnya kemas-kemas dalam genggaman tangan.
“Tidak!” jawab salah seorang tali barut penjajah.
“Kelewang ini akan ajar kamu!” Ngah Jusoh mamaerkan muka harimaunya.
“Ahhhh!” tali barut berkain pelilit kepala warna hitam menukas lagi tutur Ngah Jusoh.
Wan Semail membingkas kebenciannya. Dia mencekak kemas hulu kerisnya.
Pergelutan berlaku. Tikam menikam, tepis menepis. Elak mengelak. Layang melayang. Ahhh! Nahhh! Cisss! Kelewang Ngah Jusoh menebas kepala talibarut dan keris Wan Semail menembusi perut seorang lagi pengkhianat bangsa.
Tam!Tam!Tam! tiga das tembakan meletup di perut udara. Ngah Jusoh dengan Wan Semail terjun ke dalam sungai berair keruh.
Pendekar muda berkumpul di celah pelepah bukit. Mereka sudah membuat pelbagai persiapan rapi, bagi menentang bajingan berpedang panjang. Mereka sudah menghunjam tekad dan memaku istiqamah! Maruah agung agama tetap disanjung apa lagi dengan bunga bangsa. Mereka tidak akan berdiam diri. Kalau surau itu mereka hendak rombak dan letupkan, mereka akan tetang habis-habisan. Surau itu lambang penyatuan ummah. Bermandi darah berhujan peluru, mereka tidak takut. Perkataan gerun sudah tidak rimbun di dalam kehidupan mereka. Mereka sudah memasak janji, berikrar hulubalang bertitih panglima, agama tetap disanjung, bangsa tetap disayangi.
Lembing dan seligi nibung, pedang dan keris berkapuh tumpat tombak, golok tapir dan kelewang jambul sudah siap di tangan. Panah dan lading, juga antara senjata yang bakal menebuk tubuh lelaki bersenapang panjang. Mereka tahu, mereka bakal berdepan dengan bala tentera yang besar. Bukan itu sahaja. Mereka juga bakal diintip oleh musuh yang bernama bajingan dalam selimut. Namun mereka tidak takut dan gusar kerana mereka ada bongkah keyakinan. Mereka isi batas dada dengan ilmu peperangan. Mereka selalu baca laila hailla anta subhana kain ni kuntun minal zalimin. Lalu semua itu sudah rimbun di dalam dada pendekar muda waima lelaki berlilit kain merah di kepala.
“Mereka hendak bakar surau kita! Apakah kita harus berdiam diri dan melihat sahaja tempat kita khatam al-Quran dan belajar azan itu hangus begitu sahaja?” Itu lantunan pertanyaan lelaki berlilit kepala dengan kain merah. Tubuhnya bersasa, urat betisnya membanir seperti akar kelapa, bertubuh tinggi lampai dan berambut agak panjang, berjambang, mencecah bahu.
“Tidakkkk!” jawab puluhan pendekar muda berhati waja. Mereka serentak membaling senjata masing-masing ke arah pokok sengkuang tinggi.
“Lalu?” lelaki berlilit kain merah di kepala itu mengajukan lagi pertanyaan.
“Kita kena tentang tentera bersenapang panjang itu,” jujur jawapan pendekar muda berhati waja.
Lelaki yang memakai kain pelilit merah di kepala mengepal penumbuknya. Dia menumbuk angin beberapa kali. Marahnya sudah mendidih seperti besi panas dicurahkan air. Geramnnya sudah berlambakan di dalam anjung dirinya. Terbingkas dalam istiqamahnya, mahu sahaja di memarang kepala lelaki bersenapang panjang itu dengan golok tapir yang berada di pinggangnya. Mahu sahaja dia bakar markas lelaki jahat yang berkepala botak itu.
Namun dia kena bersabar kerana sabar seminit itu akan berikan kemenangan berlanjutan. Sesekali dia menjeling ke arah pedang yang terlintang di atas belakangnya. Pedang berbentuk buaya berenang itu akan dilayangkan bila bertemu dengan lelaki yang mengendong senapang panjang.
Mereka terus melompati anak denai dan merenangi sungai yang dijajari dengan pohon sagu dan nipah. Dalam jiwa mereka, semuanya sudah terbingkas rasa marah yang tidak ada hujungnya. Mereka cukup bosan dengan lelaki berkepala botak yang tidak mempunyai rasa peri kemanusiaan. Mereka akan tetak ke semua lelaki bajingan itu. Angkat kaki kanan ada maruah yang mesti dijulang. Angkat kaki kiri ada kejahatan yang mesti ditebas! Depa tangan kiri terbuhur agama yang wajib dipuncakkan. Kilas tangan kanan ada kewajipan yang mesti ditunaikan.
Awan cantik seperti mula-mula tentera berkepala botak menjejakkan kaki di tanah bertuah ini. Kesemua mereka, pendekar muda dan tua, kecil dan besar, semuanya berhati harimau, melepasi sudah denai dan parit, menyusuk ke dalam siratan akar reribu lalu terus menuju ke markas yang terletak di pelepah bukit.
“Ingat!” kata lelaki yang memakai kain pelilit kepala warna merah. “Kita semua hulubalang! Kita adalah panglima. Perajurit berhati harimau!”
Kesemua pendekar jujur itu memaku semangat dengan apa yang dinyatakan oleh lelaki berkain pelilit kepala warna merah. Mereka sudah tetapkan hati. Lelaki berkepala botak mesti dihapuskan meskipun ada nyawa yang melayang. Soal sekarang adalah hal-hal berjangkitan dengan maruah dan agama. Perkara yang menuntut aras kepahlawanan bangsa, bukan hal yang remeh temeh.
“Kemenangan ada di depan mata. Kita kena raih dengan usaha dan doa. Selamat berjuang! Allah pasti tunjuk jalan kemenangan buat kita selangkah demi selangkah!” itu ungkapan jujur daripada lelaki berlilit kain warna merah di kepala.
“Allahuakbarrrr!” seluruh suara pendekar muda dan sesiapa yang bergelar pendekar melambungkan selendang semangat dalam ikhtiar meletakkan keadilan.
Terus sahaja kesemua hulubalang bertindan panglima, melompati lagi, parit-parit dan alur di hadapan, menujulang bersama panji agama dan bangsa, melintasi pelepah bukit dan apa sahaja rintangan di hadapan demi kelangsungan sebuah perjuangan. Di dalam anjung hati mereka tidak ada cerita lain, kecuali mahu membesakan agama dan bangsa. Tentera berkepala botak bakal ditumbangkan satu persatu meskipun dengan panah dan kelewang jambul. Perjuangan, perlu diteruskan dengan usaha yang berlanjutan dan jitu.
Perjalanan terhenti bila agak ramai juga lelaki bersenapang panjang berada di hapan mereka. Namun mereka tidak gentar dan akhirnya ratusan anak panah menusuk tubuh lelaki berkepala botak yang membawa pedang dan senapang panjang.
Bukan itu sahaja, kelewang dan golok tapir juga memancung dan memangkas kepala kesemua mereka yang berkepala botak itu. Dan akhirnya anak denai itu dipenuhi dengan darah lelaki berkepala botak.
Langit gelap gelemat dan hujan turun dengan begitu lebat sekali, membasahi bumi di kawasan kebun getah, berdekatan dengan pelepah gunung yang tinggi. Rumah-rumah di kawasan itu masih dikelambui asap nipis. Bukit dan belantara juga sudah hangus terbakar. Kerbau dan lembu, itik, ayam dan angsa telah menjadi abu selepas semuanya dicampak ke dalam api dan dibiarkan terbakar begitu sahaja. Di hilir jauh terlantun sulur cerita mengatakan bahawa keretapi tergelincir dan salah sebuah gerabaknya telah dibakar.
Ujian buat negara dan orang kampung sudah bersedia dengan senjata masing-masing, menggali tanah tanih untuk dijadikan perangkap dengan menanam besi tajam, membuat jerangkap samar, serpihan kaca dan segala jenis kayu tajam ditanam di dalam lubang. Semua itu dilakukan hanya kerana mereka sayangkan kebun dan tanah dusun.
Beberapa kujur tubuh bersederhana tinggi meredah semak samun, memijak akar-akar reribu yang bergelimpangan di perut belantara. Ada mata-mata yang memerhatikan kujur tubuh itu dan mereka bersedia menentang kesemua lelaki yang bersenjata senapang patah dan carbine. Marahnya kepada mereka tidak kunjung padam.
Dia, dengan persilatan dan kehebatan jurus yang ada di dalam diri, dengan tali perangkap yang berada ditubuhnya, rasa mahu balas dendam kembali merimbun di dalam dirinya. Kematian keluarganya bukan boleh didiamkan begitu sahaja. Maruah keluarganya tetap dijaga dan dijulang setinggi langit. Dia anak pahlawan. Dia ada darah panglima di dalam siratan urat di dalam tubuhnya!
Dia memintas perjalanan beberapa kujur itu yang mahu ke sebelah hilir. Dia sudah sabar menanti dan menunggu. Dengan pengamatan diri dan boleh membaca langkah serta pergerakan serta deru nafas musuh, dia memintas di hadapan dengan melakukan penyamaran. Marahnya terhadap bajingan bersenjata carbine itu tidak kunjung padam. Dengan anak panah yang dibawanya, dia terus melepaskan busur ke arah bajingan bersenjata itu. Satu persatu musuh tumbang dan darah berjatuhan di atas dada daun di pelepah bukit dan belantara tebal.
Agak lama dia masuk ke dalam alur serunai. Hari ini dia melakukan langkah sembah dan memecah bucu empat sebelum keluar dari perut alat dan lenggok pahlawan yang meremang bulu roma perjuangan dan keberanian itu. Dia tahu, semua kita adalah hulubalang jati, bertindan panglima dan pendekar handalan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.