CHEESEKUT atau cheesecake biskut adalah pencuci mulut yang digemari hampir setiap lapisan umur. Rasanya yang lemak berkrim, manis dan sedikit masin menjadikannya hidangan yang sesuai untuk minum petang.
Lebih menarik, resepi ini sangat mudah disediakan, tidak memerlukan banyak bahan dan yang penting tidak perlu dibakar!
Hanya dengan biskut, keju krim dan beberapa bahan asas lain, anda boleh menyediakan cheesekut yang lazat di rumah. Mari kita lihat cara membuat pencuci mulut yang ringkas tetapi pasti memikat selera ini.
BAHAN-BAHAN
- 200 mililiter susu penuh krim
- 2 sudu besar susu pekat
- 100 gram krim keju
- 3 keping biskut lemak manis
PILIHAN TOPPING ATAU PERISA
- 2 sudu besar serbuk nestum
- 2 sudu besar serbuk coklat
- Biskut oreo yang telah dihancurkan
- Biskut lotus biscoff yang telah dihancurkan
- Lotus biscoff spread
CARA-CARA
Mulakan dengan mencampurkan susu penuh krim, susu pekat dan krim keju ke dalam mangkuk besar. Pukul adunan sehingga semua bahan sebati.
Seterusnya, celupkan biskut lemak satu per satu ke dalam susu penuh krim untuk melembutkan biskut. Setelah dicelup, susun lapisan pertama biskut dalam bekas pilihan secara rapat-rapat supaya lapisan sekata.
Kemudian, ratakan campuran krim keju di atas lapisan biskut sehingga menutup keseluruhannya. Pastikan setiap lapisan krim keju disapu dengan sekata untuk memberikan rasa yang enak di setiap gigitan.
Taburkan topping pilihan anda di atas lapisan krim keju. Boleh letakkan serbuk nestum, serbuk coklat, serbuk biskut Oreo atau biskut Lotus yang dihancurkan. Taburan ini akan memberi tekstur tambahan yang menarik.
Ulangi langkah-langkah ini untuk membentuk tiga lapisan. Pastikan setiap lapisan diikuti dengan susunan biskut yang dicelup susu, diikuti krim keju dan taburan topping.
Apabila tiga lapisan telah siap, tutup bekas dan masukkan ke dalam peti sejuk. Biarkan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya selama tiga jam.








