Kelazatan lamb shank tak terbanding - Utusan Malaysia

Kelazatan lamb shank tak terbanding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGGUH beruntung warga Cyberjaya, ia bukan sahaja terkenal sebagai bandar digital, malah makanan juga sedap-sedap. Mingguan Malaysia kali ini membawakan sebuah restoran yang boleh memenuhi selera mereka yang mendambakan keenakan daging bahagian kaki kambing (lamb shank) yang dimasak sempurna.
Isinya cukup lembut, namun masih mengekalkan tekstur kambing yang khusus. Ia dibanjiri pula stew pekat hasil gabungan air rebusan kambing bersama rempah-ratus dan herba Barat, sekali gus menghasilkan sensasi rasa yang memukau. Demikian pengalaman mengunjungi Giggles and Geeks, yang terletak di Persiaran Cyber Point Selatan, Cyberjaya.

PERTARUHKAN MENU
ONE STOP
Menurut Pengurus Restoran, Nor Shahidah Ismail, 32, Giggles and Geeks mula beroperasi seawal 2020, menawarkan lebih 200 menu hidangan Barat, minuman, pastri dan kek.
“Ini memberi kelebihan kepada kami, yang mana pelanggan boleh mendapatkan segala macam hidangan premium pada harga berpatutan. Tak hairan jika ada yang menganggap kami sebagai one stop center, semua boleh dirasai di sini,” katanya.
Ujar Nor Shahidah yang sudah menceburi dunia kulinari hampir 15 tahun, restoran milik bumiputera ini mempertaruhkan aneka hidangan kelas tinggi dan premium, pada harga berpatutan.
“Ada lima menu laku keras yang memang sering mendapat sambutan. Ini termasuk lamb shank, kepingan kambing panggang, double cheese beef burger, aglio olio grilled chicken chop serta wagyu striploin.
“Tak keterlaluan andai dikata, bahawa semua itu memang sangat laku keras. Misalnya, kami banyak kali berdepan situasi apabila pelanggan memesan hidangan, kami terpaksa beritahu bahan mentah untuk hidangan tersebut sudah kehabisan. Ini sering berlaku kepada menu burger, lamb shank serta cop kambing,” katanya.

BUATAN SENDIRI
Diaju soalan, apakah kelebihan restoran ini berbanding pesaing lain, Nor Shahidah berkata, kawalan rapi ke atas kualiti dan mutu hidangan menjadi titik tolak yang membolehkan perniagaannya maju.
“Kami tak goyang dengan pesaing lain, sebab mutu dan kualiti di sini memang sentiasa dikawal ketat. Selain itu, kami juga banyak buat kajian bahawa jarang mana-mana restoran makanan Barat yang mempertaruhkan menu lamb shank, itu juga menjadi kekuatan kepada jenama kami,” jelasnya.
Selain itu, katanya, pihaknya juga tampil lebih agresif dalam menawarkan menu kepada pelanggan, demi memastikan mutu dan kualiti terjaga. Ini termasuk membuat sendiri roti, patty burger serta aneka jenis sos.
“Roti burger di sini dibuat sendiri, begitu juga roti bawang putih yang dicecah dalam sup cendawan yang lemak berkrim. Pada masa sama, kami menggunakan resipi sendiri menghasilkan patty burger yang seimbang antara nisbah daging dan lemaknya,” katanya.

ENAK TAK TERUNGKAP
Pengalaman menjamah puluhan menu yang dihidang, ternyata menterjemahkan pekerti krew restoran yang amat meraikan kunjungan kami. Menu pertama yang menjentik sanubari semestinya lamb shank di sini.
Ia mempunyai aroma tersendiri yang wangi, disadur sempurna dengan sos pekat ibarat stew. Jelas terasa keharuman rempah thyme dan rosemary, malah hidangan itu tambah kaya dengan kentang putar yang lemak berkrim.
Beralih ke pinggan lain, krew Mingguan Malaysia turut dijamu hidangan mewah wagyu striploin. Berbeza dengan pesaing lain, stik wagyu bahagian batang pinang itu menawarkan sensasi rasa yang memukau, apabila ada kesan ‘char’ atau kerak rangup pada luaran, namun kekal berjus di dalam.
Pada masa sama, kami dijamu double cheese beef burger. Patty yang digunakan sangat beraroma, dipanggang sempurna namun mengekalkan tekstur yang berjus. Tak cukup dengan itu, dihidangkan juga sepinggan spaghetti aglio olio yang dipadankan bersama cop ayam panggang.
“Ini semua antara menu paling laku keras dan sering mendapat sambutan. Kami syorkan kepada pelanggan agar membuat pesanan sebelum berkunjung, untuk memastikan hidangan dapat disiapkan sempurna kerana adakala, memang kami kehabisan stok bahan mentah sebab permintaan terlalu tinggi,” jelasnya. – Mingguan Malaysia 

 

Giggles and Geeks

Alamat: Ground Floor, Bio-X Centre, Persiaran Cyber Point Selatan, Cyber 8, Cyberjaya
Telefon: 019-845 0418
Menu memukau: Lamb shank, cop kambing panggang, double cheese beef burger, wagyu striploin
Tips: Disarankan buat tempahan menu dan tempat duduk lebih awal

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya